Menu Utama

BN tidak pernah pinggir pelajar mana-mana kaum – Budiman

SABAK BERNAM 23 April – Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan golongan pelajar daripada mana-mana kaum dalam memastikan mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang pendidikan di kawasan Parlimen Sungai Besar.

Demikian yang ditegaskan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi apabila beliau menyatakan BN sebaliknya menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 setahun bagi membolehkan pusat tuisyen percuma terus beroperasi di kawasan Parlimen itu untuk manfaat para pelajar dari kaum India, Cina dan Melayu.

“BN tidak mengamalkan amalan ‘memilih bulu’ dalam soal membangunkan rakyat . Kita berikan bantuan kepada semua rakyat sejajar dengan prinsip keadilan dan melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.


Budiman menyampaikan peruntukan RM10,000 kepada S. Seritharan bagi membiayai operasi kelas tuisyen percuma kepada pelajar India di PKK Sungai Besar, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

“Dalam soal pendidikan, kita wujudkan pusat tuisyen percuma untuk pelajar dari semua kaum. Kita mahukan setiap pelajar di Parlimen Sungai Besar ini cemerlang dan berjaya melanjutkan pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi.

“Ini kerana, hanya dengan pendidikan sahajalah kita dapat memperbaiki taraf hidup yang lebih baik pada masa depan. Saya sendiri meletakkan sasaran bahawa setiap keluarga dari semua kaum di Sungai Besar ini sekurang-kurangnya mempunyai seorang anak masuk universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis penyampaian bantuan RM10,000 bagi membiayai kelas tuisyen percuma kepada pelajar kaum India di Parlimen Sungai Besar di Pusat Khidmat Komuniti (PKK) Sungai Besar di sini hari ini.

Bantuan itu diterima Ketua MIC Bahagian Sungai Besar, S. Seritharan.

Dalam pada itu, Budiman ketika ditemui selepas majlis itu memberitahu sebanyak dua pusat tuisyen percuma untuk pelajar kaum India telah dibuka di kawasan Parlimen berkenaan ketika ini masing-masing di PKK Sekinchan dan PKK Sungai Besar.

“Saya dapati sambutan pusat tuisyen ini amat menggalakkan. Lebih kurang 40 pelajar kaum India mengambil peluang mengikuti kelas tuisyen yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 1 petang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE






Leave a Reply