Menu Utama

Tabung Haji dan ‘langau’ politik

Zulkiflee Bakar

SALAH satu hasil lawatan bersejarah Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Kuala Lumpur baru-baru ini ialah baginda memberi respons positif untuk penambahan kuota haji untuk jemaah Malaysia pada musim ini. Segala-galanya seperti mana kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom disebabkan keistimewaan hubungan yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara.

Namun apa yang lebih penting daripada itu, kita tidak boleh menafikan respons positif tersebut juga disebabkan hasil usaha keras Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang saban tahun berjaya menguruskan jemaah haji Malaysia de­ngan begitu sempurna sekali.


Walaupun kadang ka­la berdepan dengan se­rangan bermotifkan po­litik, namun semangat pengurusan kanan dan kakitangan Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji Malaysia tidak pernah tergugat. Sebagai salah seorang yang pernah membuat liputan musim haji pada tahun lalu, penulis dapat menyaksikan sendiri kesungguhan dan ­kegigihan petugas-petugas haji. Faktor itulah yang memungkinkan jemaah haji Malaysia dianggap jemaah paling berdisiplin manakala pengurusan haji negara ini diiktiraf terbaik oleh negara-negara Islam.


Dalam perbualan penulis dengan jemaah haji dari negara-negara lain khususnya ASEAN, mereka begitu mengagumi Tabung Haji dan menganggap umat Islam Malaysia bertuah kerana kerajaan mewujudkan agensi seumpama itu.

Oleh itu, kita tidak perlu terganggu dengan mainan politik yang kadangkala bagaikan ‘angau-langau’ yang sengaja membuat bising untuk mencemarkan imej Tabung Haji. Biarlah mereka mahu menuduh apapun kerana akhirnya kebenaran akan terbukti juga. Tambahan pula setakat ini dakwaan mereka sekadar dakwaan sahaja dan semata-mata bermotifkan politik.

Tabung Haji perlu meneruskan usaha meningkatkan pengurusan jemaah haji. Kekalkan prestasi cemerlang selama ini, usaha tidur tidak lena kerana diganggu oleh ‘langau-langau’ politik. Respons positif oleh Raja Salman sudah membuktikan tiada cacat celanya dari segi pengurusan haji Malaysia.

Pemerintah Arab Saudi amat memahami kewibawaan Tabung Haji dalam menguruskan jemaah Malaysia, sebab itulah setiap tahun mereka memuji jemaah tersebut, segalanya adalah hasil usaha agensi itu.

Mereka yang sengaja mencari kelemahan Tabung Haji tidak mempunyai matlamat lain, selain hanya mahu ­mengheret Tabung Haji ke dalam kancah pertarungan politik. Golongan itu cuba menjadikan Tabung Haji sebagai ‘alat’ untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Walaupun sedikit sebanyak usaha jahat itu ada kesannya apabila segelintir pencarum Tabung Haji yang termakan hasutan mengeluarkan wang simpanan mereka, tetapi imej Tabung Haji sama sekali tidak terjejas.

Tabung Haji terus unggul sebagai badan tunggal yang menguruskan umat Islam di negara ini menunaikan fardu haji. Usaha memburuk-burukkan Tabung Haji dan cuba menimbulkan keraguan dalam kalangan umat Islam terhadap agensi itu bagaikan ‘mencurahkan air ke daun keladi’ dan ia sama sekali tidak menjadi ‘kudis gatal’ yang boleh mengganggu pengurusan Tabung haji.

Justeru kita tidak perlu terganggu dengan puak-puak yang jahil berpolitik itu sehingga agensi yang menguruskan amal ibadah umat Islam pun mahu digugat. Tabung Haji perlu ­terus tabah dan gigih dalam memastikan jemaah haji Malaysia kekal sebagai jemaah paling berdisiplin dan terbaik.

Mereka yang membuat tuduhan kepada Tabung Haji mungkin tidak pernah menyaksikan sendiri bagaimana profesionalnya petugas-petugas agensi itu melaksanakan tanggungjawab dan amanah ketika musim haji. Kelompok itu hanya bijak mencari sudut yang boleh memburuk-burukkan Tabung Haji, walaupun mereka hakikatnya mengetahui kehebatan agensi berkenaan melaksanakan tugas-tugasnya melayani tetamu-tetamu Allah dari negara ini.

Sumber: Utusan Online






Satu Komen to Tabung Haji dan ‘langau’ politik

  1. Perlis News says:

    […] via Tabung Haji dan ‘langau’ politik — MYKMU.NET […]

Leave a Reply