Menu Utama

Sepuluh Tahun Berlalu, PHB Berusaha Membantu Bumiputera Kumpul Kekayaan

Mencipta kekayaan melalui pelaburan hartanah adalah sesuatu yang agak mencabar terutamanya bagi kalangan Bumiputera muda yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Harga hartanah kediaman dan komersial yang terlalu tinggi akan membantutkan hasrat kebanyakan orang daripada melabur dalam hartanah dengan harga melampau kebelakangan ini.

Mujur, golongan Bumiputera yang tidak mampu melabur sendiri dalam hartanah untuk mengumpul kekayaan, masih boleh berbuat demikian melalui agensi-agensi seperti Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

Skim-skim pelaburan PHB direka untuk memberi kelebihan kepada para pelabur Bumiputera yang berpotensi bagi membolehkan mereka melabur sejak awal dalam jumlah yang termampu.

Kini, mana-mana Bumiputera boleh turut menyertai pelaburan hartanah dengan melabur serendah RM100. Mereka tidak perlu menunggu sehingga berusia 30-an atau 40-an hingga mempunyai modal yang cukup untuk melabur dalam hartanah atau terpaksa sekali gus mengeluarkan modal yang besar.

PELABURAN HARTANAH BERHAD (PHB)

Teras komitmen PHB adalah untuk meningkatkan kekayaan golongan Bumiputera amnya, melalui pelaburan dalam hartanah komersial.

Syarikat induk yang berasaskan hartanah ini ditubuhkan di bawah bidang kuasa Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, pada 8 Mei 2006. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi semasa mesyuarat Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010 mengumumkan penubuhan PHB.

Kini, selepas satu dekad kewujudannya, PHB terus berhasrat menjadi agensi yang menyediakan peluang kepada golongan Bumiputera untuk mengumpul kekayaan melalui unit amanah Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), pelaburan hartanah dan pembangunan hartanah.

AMANAH HARTANAH BUMIPUTERA (AHB)

AHB adalah unit amanah patuh Syariah dan telah dua kali menerima anugerah ‘Best Islamic Fund Award’ di bawah ‘Best of the Best Award’, pada 2015 dan 2016 oleh Asia Asset Management, sebuah penerbitan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf di Asia.

AHB adalah satu dana pelaburan unit amanah yang menjanjikan pulangan unit amanah pelaburan yang membolehkan lebih ramai pelabur tanpa mengira usia dan kapasiti pendapatan untuk melabur secara tidak langsung dalam hartanah.

Sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 29 Nov 2010, PHB telah menyaksikan saiz dana AHB berkembang daripada 1 bilion unit kepada 3.5 bilion unit.

Ketika mula dilancarkan, pelaburan minimum AHB adalah RM500. PHB mengambil keputusan untuk menarik lebih ramai pelabur Bumiputera dan mengurangkan jumlah belaburan minimum kepada RM100 seorang. Bagaimanapun, pelaburan maksimum bagi mereka yang mampu, boleh mencapai sehingga RM500,000 seorang.

Tabungan unit amanah pelabur akan dilaburkan ke dalam skin-skim pelaburan hartanah dan pembangunan hartanah PHB. Hari ini PHB boleh berbangga dengan pemilikan 17 hartanah komersial di seluruh negara, sama ada melalui pemerolehan atau pembangunan.

Malah, kini PHB adalah pemilik 17 hartanah komersial yang sudah diduduki.

Antara beberapa mercu tanda yang dimiliki termasuk Menara Bumiputera-Commerce, Menara BT, 1Sentrum dan Nu Sentral (semua di KL), Wisma Consplant (Subang Jaya), Jaya33 (Petaling Jaya), The Shore Shopping Gallery (Melaka) dan banyak lagi.

Pulangan yang diperoleh oleh PHB melalui pelaburan pelbagai hartanah berkenaan digunakan untuk melabur dalam hartanah baharu dan membayar dividen pelabur.

JIMAT SEMASA MELABUR

Baru-baru ini PHB menganjurkan acara Tanggungjawab Sosial Korporat(CSR) untuk mempromosi unit amanah AHB dan menggalakkan minat melabur melalui pelaburan hartanah.

Kanak-kanak sekolah yang hadir di pelancaran ‘Kempen Menabung Sambil Melabur’ pada 15 Feb berpeluang mendengar artis Malaysia Neelofa yang menjadi duta jenama PHB, bercakap mengenai manfaat menabung melalui AHB. Wakil dari Pengurus Dana AHB, Maybank Asset Management Sdn Bhd turut hadir.

PHB percaya dalam usaha menyemai tabiat menabung sejak usia muda serta melalui platform yang betul seperti AHB, dan tidak terlepas peluang menjana kekayaan yang ditawarkan di negara ini oleh kerajaan.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin berkata; “Program CSR itu dianjurkan untuk meningkatkan peluang penyertaan daripada kalangan pelajar yang kurang berkemampuan dan pada masa sama menggalakkan mereka menabung serta mengamalkan pengurusan kewangan secara bijak.”

“PHB berharap unit amanah AHB yang diperuntukkan kepada pelajar-pelajar terpilih hari ini dapat memberikan mereka gambaran mengenai pelbagai manfaat daripada amalan menabung dan melabur demi masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Pada masa ini, majoriti daripada 56,000 pelabur adalah daripada kalangan berusia 20 tahun dan ke atas. PHB berhasrat menarik lebih banyak penyertaan daripada generasi muda.

Sebelum ceramah itu, PHB mengeluarkan dana unit amanah AHB kepada kira-kira 200 pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 yang kurang berkemampuan dari lima buah sekolah di mana setiap sekolah diwakili 40 pelajar.

“Antara pencapaian kami yang membanggakan, PHB telah berjaya membina dan memiliki beberapa mercu tanda baharu di Malaysia seperti Menara 1 Sentrum, pusat beli-belah NU Sentral, dan peluasan Gleneagles Kuala Lumpur di Jalan Ampang.”

Kami juga mempunyai beberapa projek hartanah lain untuk pembangunan masa hadapan termasuk membina KPJ Damansara Specialist Hospital 2, Lot 20001 di Jalan Bangsar dan Lot 301 di Jalan Conlay,” Kamalul Arifin Othman berkongsi projek-projek masa hadapan PHB.

Selain itu, PHB merancang untuk menjelmakan kehadirannya di setiap negeri di Malaysia pada masa hadapan.

Tumpuan PHB kekal menjurus kepada usaha pemerolehan dan pelaburan untuk projek-projek pembangunan hartanah namun pada masa sama tidak melupakan matlamat asal penubuhannya, iaitu memberi peluang kepada Bumiputera untuk mengumpul kekayaan.

BERNAMA






Satu Komen to Sepuluh Tahun Berlalu, PHB Berusaha Membantu Bumiputera Kumpul Kekayaan

  1. Perlis News says:

    […] via Sepuluh Tahun Berlalu, PHB Berusaha Membantu Bumiputera Kumpul Kekayaan — MYKMU.NET […]

Leave a Reply