Menu Utama

Kerajaan Perkenal Skim Dana Pembangunan Halal RM100 Juta

Kerajaan hari ini memperkenalkan skim Dana Pembangunan Halal dengan peruntukan RM100 juta bagi mempertingkat keupayaan syarikat-syarikat teknologi berasaskan produk atau perkhidmatan halal.

Dana di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) itu dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Ahli Lembaga Pengarah MTDC, Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata dana itu direka khusus bagi memupuk serta membiayai pertumbuhan jangka panjang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berorientasikan eskport menerusi aktiviti patuh Syariah.

“Kami memberi tumpuan termasuk kepada kluster makanan dan minuman, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal serta bahan-bahan ramuan dan bahan tambahan,” katanya kepada media pada di majlis pelancaran dana halal itu.

Pada majlis itu juga, MTDC menyampaikan Dana Halal sebanyak RM17 juta kepada lima buah syarikat dengan masing-masing memperolehi sekitar RM3 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata MTDC menyasarkan kelulusan dana itu kepada 30 buah syarikat berteknologi yang membangunkan produk halal bagi pasaran tempatan dan antarabangsa sepanjang tempoh RMK-11.

“Berdasarkan perkembangan dan permintaan produk halal di pasaran antarabangsa, syarikat yang mendapat kelulusan dana ini berpotensi untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Menurut Norhalim, MTDC juga menyasarkan lima syarikat yang telah mendapat kelulusan dana halal itu itu akan menyumbang nilai eksport sebanyak RM50 juta pada tahun ini.

Malah, katanya, kerajaan juga bersedia menambah peruntukan dana itu jika ia terbukti mendapat sambutan yang menggalakkan.

— BERNAMA






Satu Komen to Kerajaan Perkenal Skim Dana Pembangunan Halal RM100 Juta

  1. Perlis News says:

    […] via Kerajaan Perkenal Skim Dana Pembangunan Halal RM100 Juta — MYKMU.NET […]

Leave a Reply