Menu Utama

Bila Bulan Berwarna Biru, Bermata Satu

Tatkala muncul dengan persepakatan politik dengan menggunakan perkataan yang dilihat Islamik, iaitu “tahaluf siyasi”, ramai di kalangan ahli dan penyokong PAS merasakan sangat dihargai. Sentimen kononnya pro Islam di dalam persepakatan itu “dijual” dengan cukup baik, sehinggakan ramai pihak beranggapan bahawa tarbiyah PAS ke atas sekutu-sekutu mereka semakin berjaya.

Hari demi hari, masa berganti masa, satu persatu belang mereka terdedah, dan kini kita menyaksikan PAS Permatang Pauh dan PAS Bayan Baru mengambil keputusan untuk bermufarakah dengan si biru bermata satu.

Di Pulau Pinang, kita dikejutkan dengan dakwaan berlakunya campurtangan dalam majlis fatwa negeri oleh mereka-mereka yang bukan ahli. Amat malang bagi umat Islam, apabila hal ehwal dan urusan agama cuba dicampuri oleh yang bukan Islam.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika amanat telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.”

Lantas ada seorang sahabat bertanya; “Bagaimana maksud amanat disia-siakan?”

Nabi menjawab; “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (BUKHARI – 6015)

Pesan dari Baginda itu amatlah mendalam, kepada yang mahu berfikir. Ada pelbagai kupasan dan maksud yang boleh kita baca berhubung hadis diatas. Namun, bagi penulis, juga menceritakan tentang bagaimana Islam sebagai satu amanah, maka ia tidak boleh diserahkan, atau dicampuri oleh mereka-mereka yang bukan ahlinya.

Bukan ahlinya, tidak bermaksud hanya merujuk kepada bukan Islam, tetapi juga merujuk kepada orang Islam, yang bukan sahaja tiada atau sedikit ilmu tentangnya, tetapi tiada rasa tanggungjawab ke atas Islam itu sendiri. Maka, apakah hanya dengan meletakkan seorang Islam sebagai Exco Agama Islam, maka ia sudah cukup memenuhi syarat?

Sejarah ketamadunan Islam banyak menceritakan bagaimana “seorang Islam” dijadikan boneka, lantas menjadikan kuasa ghaib sebagai tuan. Islam diadun dengan sendirinya, mengikut acuan dan kepentingan mereka. Islam versi mereka. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika wujud pihak-pihak tertentu meletakkan “Islam pada nama” sebagai samaran untuk membutakan orang Islam itu sendiri sejak dahulu kala lagi.

Apa yang PAS alami seharusnya memberi ikhtibar kepada umat Islam, persis ungkapan yang mana kaca, yang mana permata.

Penulis masih ingat, satu persoalan besar dilontarkan ketika mula-mula Pakatan Rakyat ditubuhkan dahulu. Bagaimana PAS dan DAP boleh bersatu sedangkan ideologi mereka bukan sahaja tidak sama, tetapi berlawanan.

Jawapannya, perlu ada “orang tengah”. Mujur bukan UMNO yang menjadi orang tengah. Kalau tidak, kira bersubahat jugalah.






2 Komen to Bila Bulan Berwarna Biru, Bermata Satu

  1. walisongo says:

    PAS dari sejak dulu sampai sekarang, tak pernah nak cerdik…asyik kena tipu jerr memanjang…dlm PAS penuh dgn lebai terencat akal…

  2. Perlis News says:

    […] via Bila Bulan Berwarna Biru, Bermata Satu — MYKMU.NET […]

Leave a Reply

Threesome