Menu Utama

Sutan Puasa Yang Buka Kuala Lumpur Bukan Yap Ah Loy- Khoo Kay Kim

Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyatakan Sutan Puasa merupakan orang yang layak dianggap sebagai pembuka Kuala Lumpur bukannya Yap Ah Loy mahu pun Raja Abdullah.

“Ramai yang tidak mengetahui tentang peranan Sutan Puasa dalam membuka Kuala Lumpur kerana tidak banyak cerita mengenai beliau diketahui umum.

“Dahulu orang Melayu tidak suka menyimpan rekod dan ia juga antara faktor menyebabkan pedagang dari Sumatera, Indonesia itu kedengaran asing dalam sejarah Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Kay Kim, mustahil Yap Ah Loy membuka Kuala Lumpur kerana beliau sendiri hanya merupakan Kapitan ketiga orang Cina di Kuala Lumpur.

Cerita Kay Kim, sebelum aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan di Kuala Lumpur, orang-orang Mandailing telah membina penempatan di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Pada masa sama, katanya, aktiviti pertanian dan perdagangan turut dijalankan di sekitar kawasan penempatan tersebut.

Nama Kuala Lumpur diambil dari sebatang sungai bernama Sungai Lumpur. Bagaimanapun pada 1875 nama Sungai Lumpur telah ditukar kepada Sungai Gombak.

“Pentadbiran secara tidak langsung yang diamalkan oleh raja dan pembesar pada masa tersebut telah meluaskan pengaruh Sutan Puasa di kalangan orang Mandailing.

“Sebagai ketua, beliau bertanggungjawab mentadbir dan memastikan tiada kekacauan yang timbul di kalangan orang Mandailing serta akur kepada perintah raja,” katanya.

Kata Kay Kim, ketua orang Mandailing itu sendiri telah menjemput Hiu Siew dan rakannya Ah Sze Keledek dari Sungai Ujung berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaan.

Hiu Siew kemudiannya menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur pertama dengan sokongan Sutan Puasa yang merupakan orang kaya Mandailing pada ketika itu.

Malah, pelantikan Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur ketiga turut mendapat sokongan daripada Sutan Puasa walaupun ada di kalangan orang Cina menentang pelantikan itu.

Mengikut catatan Mandailing, di akhir hayat Sutan Puasa telah menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Sutan Puasa meninggal dunia pada 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.

(Olahan berita asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_03.htm)






2 Komen to Sutan Puasa Yang Buka Kuala Lumpur Bukan Yap Ah Loy- Khoo Kay Kim

  1. […] Sutan Puasa meninggal dunia pada 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.- Sumber […]

  2. abamkie says:

    thanks for sharing.

Leave a Reply