Menu Utama

Strategi politik Hadi

PENULIS sudah sekian lama mengikuti perjalanan politik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa kali berkesempatan mewawancara termasuklah ketika beliau masih Timbalan Presiden ketika parti itu di bawah kepemimpinan Allahyarham Datuk Seri Fadzil Noor dan menjadi Menteri Besar Terengganu.

Abdul Hadi dianggap antara pemimpin yang penuh de­ngan seni politik.

Setiap apa yang beliau lakukan kadang kala tidak difahami oleh pemimpin dan ahli Pas sendiri.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sentiasa mempunyai jawapan terhadap tindakannya.

Ini termasuklah apabila Pas menolak usaha pakatan pembangkang untuk membentang undi tidak percaya kepada kerajaan tidak berapa lama dahulu dan sekarang pula dilihat ‘bersuara lunak’ dengan UMNO.

Lanjutan itu bukan sahaja dalam kalangan pemimpin pembangkang malah dalam Pas sendiri ada yang membidas langkah politik Abdul Hadi.

Pada pandangan mereka dalam apa keadaan pun Pas tidak boleh bekerjasama dengan UMNO dan perlu berusaha menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun Abdul Hadi tidak terganggu, beliau bagaikan mempunyai strategi tersendiri kenapa Pas dan UMNO perlu bekerjasama biarpun akan bertembung dalam pilih­an raya.

Berdasarkan kenyataan beliau pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Alur Limbat di Marang minggu lalu jelaslah apa yang paling diutamakan oleh Abdul Hadi ialah mahu mempertahankan kuasa politik Islam.

Justeru dalam ucapannya Presiden Pas itu secara tegas menyatakan; “Sekiranya 30 (peratus) wakil rakyat bukan Islam masuk dalam undi tak percaya dan jatuhlah kerajaan (BN). Bersoraklah kita menang tapi kerusi bukan Islam jadi 80 peratus dan kerusi Islam 20 peratus.

Redakah kita? Ramai yang tak sedar perkara ini. Takbir kuat tapi tak faham. Sebab itu kita ambil langkah tak sokong undi tak percaya.”

Walaupun kenyataan itu merujuk undi tidak percaya yang mahu dilaksanakan oleh pembangkang tetapi ini boleh menggambarkan apa yang ada dalam fikiran Abdul Hadi ketika berhadapan situasi politik sekarang.

Abdul Hadi tidak mahu umat Islam hanya menang sorak kampung tergadai.

Beliau sudah cukup berpengalaman dengan perangai DAP yang ketika ini sanggup bersekongkol de­ngan PKR, PAN dan PPBM semata-mata mahu meraih kuasa.

Bagi Abdul Hadi, Pas lebih rela bertarung sendiri dalam pilihan raya daripada menjadi penyumbang kepada kehilang­an kuasa politik Melayu.

Malangnya inilah yang masih belum difahami oleh sebahagian penyokong Pas khususnya di Kelantan.

Mereka tetap mahu melihat UMNO sebagai musuh paling nyata dan perlu diperangi.

Ada antara mereka sudah hilang keyakinan terhadap kekuatan parti sendiri, oleh itu mereka mahu Pas terus berada dalam pakatan pembangkang.

Tetapi soalnya, apa keuntungan yang Pas dapat ketika berada dalam pembangkang sebelum ini?

Sementara Pas terus kekal memerintah Kelantan dengan kekuatan sendiri, di negeri-negeri lain Pas menjadi faktor kemenangan kepada sekutu-sekutunya, namun dilayan bagaikan melukut di tepi gantang.

Sepatutnya ahli-ahli Pas yang totok mahu terus menyem­bah DAP dan PKR serta bersedia menerima pengkhianatan pemimpin-pemimpin PAN memikirkan secara rasional situasi ini.

Sebab itulah baru-baru ini Abdul Hadi bercakap soal bagaimana kerjasama dengan pembangkang tidak menguntungkan Pas.

Kesimpulannya, ahli dan penyokong Pas tidak boleh meragui strategi dan langkah politik Abdul Hadi kerana memetik kata-kata seorang pemimpin veteran Pas kepada penulis: “Janganlah berjuang dok fikir soal kerusi dan kuasa kat dunia sahaja, fikirlah juga ganjaran di akhirat.”

Zul Bakar
Utusan






Satu Komen to Strategi politik Hadi

  1. Perlis News says:

    […] via Strategi politik Hadi — MYKMU.NET […]

Leave a Reply

Threesome