Menu Utama

Pulau Batu Putih : DEMI MARUAH DAN KEDAULATAN NEGARA

KETIKA memuncaknya pertikaian mengenai perjanjian bekalan air satu dekad lepas di antara dua negara jiran yang mempunyai lipatan sejarah unik iaitu Malaysia dan Singapura, strategi yang diamalkan kerajaan kedua-dua negara adalah berbeza di antara satu sama lain.

Pemerintah Singapura saban hari mempraktikkan strategi mempertahankan kedaulatan dan maruah dalam mempe­ngaruhi pemikiran rakyat mereka bahawa Singapura berada dalam kedudukan yang benar sementara kerajaan Malaysia pada ketika itu pula mengutamakan konsep keadilan dalam urusan niaga dalam memperjuangkan isu perjanjian air tersebut.

Sebab itu juga sehingga ke hari ini rakyat Singapura masih berpegang bahawa pembekalan air dari Malaysia ke negara mereka mesti mengikut kehendak tiga perjanjian yang telah dimeterai iaitu Perjanjian Hak Air 1927, Perjanjian Air 1961 dan Perjanjian Air 1962.

Kegagalan Malaysia membekal air mengikut perjanjian yang ­telah dipersetujui bermakna kedaulatan Singapura telah dicabar dan pemerintah mereka wajib mempertahankan hak mereka.

Sementara itu, di sebelah Malaysia pula penggunaan strategi kadar harga air RM0.03 sen bagi setiap seribu gelen air yang dibayar oleh Singapura adalah terlalu rendah dan tidak adil dari segi manfaat komersial. Sehingga hari ini isu kadar harga air masih belum dapat diselesaikan kerana ia memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

Bukan sahaja Singapura yang sering menggunakan alasan kedaulatan apabila timbul isu de­ngan negara jiran, Filipina dan Indonesia juga lazim mengamalkan strategi yang serupa.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte umpamanya tanpa berselindung menggunakan isu Sabah milik Filipina sebagai salah satu landasan beliau mempamerkan kepada rakyat Filipina bahawa kedaulatan negara mereka sentiasa dipertahankan.

Pada Jun tahun lepas heboh terutama sekali dalam media Indonesia mengenai berita dua jet pejuang F-16 Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) telah memintas dan mengusir kapal terbang C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di ruang udara Pulau Natuna dan Tanjung Pinang, Kepulauan Riau.

Naratif dari akhbar Indonesia itu sebenarnya tidak menggambarkan penceritaan sebenar kerana laluan Hercules TUDM itu adalah yang lazim digunakan untuk ke Labuan.

Cuma ruang udara tersebut menjadi sensitif kerana beberapa hari sebelum itu berlaku pencerobohan nelayan dari China di perairan berdekatan Pulau Natuna yang seolah-olah memberi persepsi China juga menuntut kepulauan tersebut. Sekali lagi Indonesia cuba mempamerkan kepada rakyat mereka bahawa dalam hal isu kedaulatan peme­rintah mereka sanggup melakukan apa sahaja.

Sebab itu, ramai rakyat Malaysia merasa agak terkilan dan aib apabila timbul tuduhan yang tidak berasas apabila kerajaan membuat permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya membuat semakan semula terhadap penghakiman mengenai pemilikan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca).

Paling mengaibkan adalah terdapat andaian bahawa isu tersebut dipergunakan oleh kerajaan Malaysia untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum (PRU) yang dikatakan akan berlangsung tidak lama lagi.

Terdapat juga tuduhan yang mengatakan Kuala Lumpur sanggup mempertaruhkan hubungan baik dengan Singapura hanya untuk kepentingan agenda politik tempatan menjelang PRU.

Apabila ICJ membuat keputusan pada 2008 bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura, ia hanya bersandarkan kepada bukti bahawa republik itu telah mentadbir pulau tersebut buat sekian waktu melalui pengendalian Rumah Api Horsburgh, seluruh rakyat Malaysia merasa terkilan, aib dan bagaikan kedaulatan negara telah dicabar.

Ini adalah kerana secara fizikalnya Pulau Batu Puteh yang hanya berada 12.8 km dari pantai Pengerang, Johor dan 64 km dari perairan terdekat Singapura secara logiknya sepatutnya adalah milik Malaysia tetapi keputusan ICJ sebaliknya kerana kegagalan negara mengemukakan bukti bertulis bahawa pulau tersebut adalah milik Malaysia sejak dari era Kesultanan Johor lagi.

Jika hendak dibandingkan analogi kedudukan fizikal Pulau Batu Puteh, sama juga keadaan Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai yang berada 120 km dari perairan Sarawak tetapi China mendakwa kedua-dua beting tersebut milik mereka walaupun kedudukannya adalah 2,000 km dari perairan terdekat China.

Penemuan tiga fakta baharu daripada dokumen sejarah dari Arkib Negara United Kingdom di antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari lepas telah mempamerkan kekangan masa kerana peruntukan ICJ hanya membenarkan jangka masa enam bulan dari tarikh penemuan fakta baharu untuk kerajaan membuat permohonan semakan semula keputusan lampau.

Sebab itu, tuduhan yang menjurus kepada kerajaan mengambil kesempatan untuk meraih sokongan PRU akan datang sukar ­diterima kerana faktor kekangan masa telah memaksa permohonan semakan semula dilakukan pada 2 Februari lepas iaitu dua hari sebelum tamatnya jangka masa enam bulan yang ditetapkan oleh ICJ.

Walau apa jua keadaannya apabila berhadapan dengan isu yang membabitkan maruah dan kedaulatan negara seperti Pulau Batu Puteh, ia tidak sepatutnya digunakan sebagai modal dan senjata untuk menghentam seteru politik masing-masing.

Jika kerajaan Singapura, Indonesia dan Filipina telah berjaya mendidik rakyat mereka supaya jangan berkompromi dalam hal maruah dan kedaulatan negara masing-masing, serupa juga de­ngan rakyat Malaysia supaya tidak memandang serong tetapi menyokong terhadap tindak tanduk kerajaan dalam mempertahankan hak dan milik rakyat dan negara Malaysia.

Azmi Hassan
Utusan






2 Komen to Pulau Batu Putih : DEMI MARUAH DAN KEDAULATAN NEGARA

  1. dkds says:

    biasala rakyat Malaysia dah terdidik dengan unsur-unsur politik dalam setiap perkara, malah kalau kucing mati ditengah jalan akan ditunding jari pada PM dan segala bentuk unsur-unsur politik .

  2. Perlis News says:

    […] via Pulau Batu Putih : DEMI MARUAH DAN KEDAULATAN NEGARA — MYKMU.NET […]

Leave a Reply