Menu Utama

MRSM BERBAYAR, MENGAPA PERLU DIPOLEMIK?

BARU melontarkan idea untuk memperkenalkan Maktab Rendah Sains Mara (MRS M) berbayar dan belum lagi pun dibuat kertas cadangan, tetapi sudah mendapat pelbagai reaksi. Ada yang sukakan cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dat uk Seri Ismail Sabri yaakob itu.

Tidak kurang yang melenting sehinggakan tiba-tiba pula hendak dianjurkan demonstrasi bantahan.

Pihak terbabit mengaitkan isu keuntungan dan dasar Majlis Amanah Rakyat (Mara). Padahal idea menteri tersebut muncul berikutan beliau menerima banyak permintaan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi yang mempunyai anak yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR ).
Ibu bapa berkenaan berminat menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran ke MRSM.

Cuma semalam Ismail Sabri mengajak semua pihak termasuk wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL meneliti dan merenung terlebih dahulu cadangan mewujudkan MRSM berbayar itu.

MINGGUAN: Mengapa timbul cadangan menubuhkan MRSM berbayar?

ISMAIL SABRI: Cadangan ini timbul kerana saya mahu meningkatkan lagi tempat di MRSM, khususnya untuk masyarakat miskin luar bandar. Saya percaya pelajar miskin luar bandar akan lebih berjaya jika mendapat tempat belajar yang persekitarannya sesuai untuk pendidikan, keadaan terkawal dan berdisiplin serta memiliki kelengkapan yang mencukupi serta guru yang baik. Maka MRSM merupakan salah satu contoh terbaik.

Walau bagaimanapun tempat yang terhad menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar daripada golongan berada untuk merebut tempat ke MRSM. Maka dengan mewujudkan MRSM khusus berbayar, tempat yang diisi oleh pelajar golongan berada boleh diberi kepada pelajar miskin luar bandar.

Ramai yang keliru dengan menganggap MRSM berbayar adalah di MRSM sedia ada. Sebenarnya cadangan MRSM berbayar adalah untuk MRSM baharu yang khusus untuk pelajar berada. Jika ramai anak orang berada belajar di sekolah swasta tidak ada sebab mereka tidak boleh belajar di MRSM berbayar. Jadi, mereka tidak perlu berebut tempat dengan pelajar miskin luar bandar untuk mendapat tempat di MRSM sedia ada.

Tempat mereka boleh diisi oleh pelajar miskin luar bandar. Jadi, tanggapan MRSM berbayar akan mengurangkan tempat untuk pelajar miskin luar bandar adalah salah sama sekali, kerana MRSM berbayar sebenarnya akan menambah tempat untuk pelajar miskin luar bandar yang dahulunya diisi oleh pelajar anak orang berada.

Mengapa MRSM mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa terutama yang berkemampuan?

ISMAIL SABRI: Ketika ini MRSM hanya mampu menawarkan tempat kepada 7,500 pelajar baharu Tingkatan Satu dan 2,000 tempat kepada pelajar baharu Tingkatan Empat. Sedangkan permintaan yang diterima untuk memasuki institusi ini amat tinggi iaitu melebihi 60,000 permohonan.

Statistik menunjukkan permohonan kemasukan ke MRSM terdiri daripada 60 peratus daripada keluarga berpendapatan di bawah golongan T20 (pendapatan RM11,610 ke atas) dan M40 (pendapatan RM3,860 hingga RM8,319). Maka, saya ingin memberi keutamaan kepada keluarga B40 (isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855).

Dengan memberi peluang di MRSM, tentu sahaja peluang untuk mengubah masa depan mereka yang lebih cemerlang akan lebih cerah. Sebab itulah saya telah menurunkan syarat minimum untuk golongan miskin luar bandar termasuk bandar kepada 3A 3B (dalam UPSR) di Semenanjung kepada 3A 2B 1C untuk pelajar Sabah, Sarawak serta masyarakat Orang Asli.

Malah saya menyediakan 500 tempat di MRSM untuk anak-anak miskin tegar, pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) atau anak ibu atau bapa OKU, anak yatim piatu dengan laluan khas iaitu kelulusan yang lebih rendah.

Perkara ini tentu tidak dapat direalisasikan jika mereka terpaksa bersaing dengan anak-anak golongan berada yang mungkin mempunyai kelulusan yang lebih baik.

Dalam tempoh tiga tahun ini berapakah jumlah pelajar daripada keluarga berkemampuan/kaya dan kurang mampu telah memohon kemasukan ke MRSM?

ISMAIL SABRI: Secara purata, bagi tempoh tiga tahun bermula 2014 hingga 2016, 60 peratus (%) pelajar MRSM adalah daripada keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah manakala 20 peratus pelajar terdiri daripada ibu bapa mereka yang berpendapatan RM5001-10,000 dan 20 peratus pelajar lain berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan melebihi RM10,000 ke atas.

Bukankah bagus cadangan mewujudkan MRSM berbayar ini yang sekali gus membolehkan ruang dan peluang untuk diisi pelajar golongan miskin luar bandar dan bandar tidak diganggu?

ISMAIL SABRI: Seperti yang telah disebutkan tadi, matlamat penubuhan MRSM adalah sebagai agen perubahan sosioekonomi penduduk luar bandar dan golongan kurang berkemampuan. Namun begitu, kerana sistem pendidikan Mara yang merangkumi aspek rohani dan jasmani, maka MRSM ini menjadi pilihan ramai ibu bapa yang menginginkan anak mereka mendapat pendidikan di sini. Ibu bapa yang berpendapatan tinggi juga mahukan anak mereka untuk bersekolah di MRSM, sedangkan mereka sudah mempunyai kehidupan yang baik dan persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah mereka. Oleh itu, cadangan penubuhan MRSM berbayar ini hanya mengkhususkan kepada mereka yang dalam golongan berkemampuan sahaja.

Ada pihak mendakwa cadangan Datuk Seri ini terlalu mementingkan keuntungan sedangkan Mara ditubuhkan untuk membantu golongan seperti Orang Asli, peribumi Sabah dan Sarawak serta luar bandar?

ISMAIL SABRI: Dakwaan itu tidak benar. Saya percaya mereka terkeliru. Mungkin mereka menganggap yang berbayar adalah di MRSM sedia ada. Sedangkan di MRSM sedia ada kita tambahkan tempat untuk pelajar miskin. MRSM berbayar pula adalah MRSM baharu yang berasingan.

Harapan Datuk Seri terhadap cadangan ini?

ISMAIL SABRI: Saya harap semua pihak mempunyai fikiran terbuka terhadap cadangan ini dan tidak mempolitikkan perkara ini.Cadangan ini masih di peringkat kajian awal, belum dibawa ke mesyuarat Majlis Mara dan belum dirujuk kepada saya untuk kelulusan. Belum ada pun struktur yuran dan lain-lain. Di peringkat kajian awal ini kita mengalu-alukan cadangan-cadangan daripada semua pihak.

Boleh hantar cadangan melalui surat malah memorandum sekalipun tanpa perlu berdemonstrasi di atas fakta yang salah. Saya beri jaminan di sini bahawa saya akan pastikan MRSM ini kembali dan kekal dengan roh objektif penubuhannya.

Utusan






Satu Komen to MRSM BERBAYAR, MENGAPA PERLU DIPOLEMIK?

  1. Perlis News says:

    […] via MRSM BERBAYAR, MENGAPA PERLU DIPOLEMIK? — MYKMU.NET […]

Leave a Reply

Threesome