Menu Utama

MALAYSIA ISTIMEWA DI MATA SAUDI

Oleh: Saifulizam Mohamad

APABILA kereta Proton memasuki pasar­an Arab Saudi sekitar 2006-2007, ejen serta wakil penjual kereta jenama nasional itu di negara berkenaan menggelarnya dengan nama sayyarah islamiyyah yang membawa maksud kereta Islam.

Gelaran tersebut kemudian menjadi satu persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi ketika itu, Profesor Datuk Dr. Ismail Ibrahim. Puas juga beliau memikirkan jawapannya kerana kereta bukannya seperti manusia yang mempunyai pegangan agama.

Kereta adalah kereta dan tiada kereta Islam atau kereta bukan Islam. Namun selepas bertanya kepada ejen dan wakil penjual terbabit, barulah beliau faham punca kereta Proton digelar de­ngan nama tersebut.


RAJA ABDULLAH melihat Anugerah Tertinggi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas sumbangannya ke arah perpaduan umat Islam yang disampaikan oleh Canselor UIAM, Sultan Ahmad Shah dalam majlis konvokesyen khas di Kuala Lumpur pada 31 Januari 2006. BERNAMA

Rupa-rupanya mereka mahu memberitahu kepada seluruh rakyat Arab Saudi bahawa kereta Proton adalah produk keluaran sebuah negara Islam yang cukup dihormati iaitu Malaysia. Begitu tinggi pengiktirafan yang diberikan mereka terhadap negara kita hinggakan kereta Proton digelar dengan nama sayyarah islamiyyah.

Inilah antara cebisan pe­ngalam­an yang pernah dilalui oleh Ismail sepanjang beliau berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi selama dua tahun enam bulan (Ogos 2005-Mac 2008).

Baginya pengalaman itu cukup menarik untuk dikongsi bagi menggambarkan betapa bang­ganya mereka terhadap keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berjaya menghasilkan kereta jenama sendiri.

Beliau yang ditemui di kediamannya di Putrajaya baru-baru ini berkata, sememangnya kerajaan Arab Saudi memandang tinggi terhadap kemajuan Malaysia terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Atas sebab itu beliau berkata, sebaik sahaja Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud menaiki takhta pada Januari 2006 antara langkah awal yang diambil oleh baginda ialah mengadakan lawatan rasmi ke tiga buah negara iaitu Malaysia, Pakistan dan China.

Beliau ketika itu baru sahaja lima bulan memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi selepas dilantik secara rasmi pada 7 Ogos 2005. Sebagai wakil rasmi kerajaan di Arab Saudi, Ismail kembali ke Malaysia sepanjang Raja Abdullah melawat negara ini bermula 30 Januari sehingga 1 Februari 2006.

Ditanya mengapa Raja Abdullah memilih Malaysia sebagai antara negara paling awal dilawatinya selepas memegang tampuk pemerintahan Arab Saudi, Ismail berkata, Malaysia bukanlah sebuah negara asing buat ba­ginda.

Beliau berkata, sebelum lawat­an rasmi tersebut Raja Abdullah pernah datang ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 2003 di Kuala Lumpur. Ketika itu Raja Abdullah meme­gang jawatan Putera Mahkota.

Sejak itu ujar Ismail, Raja Abdullah telah melihat sendiri kemajuan yang dicapai oleh Malaysia dalam pelbagai bidang.

“Raja Abdullah amat tertarik dengan pencapaian Malaysia. Meskipun Malaysia sebagai sebuah negara Islam tetapi kita tetap maju dalam bidang-bidang lain khususnya berkaitan sains dan teknologi. Baginda melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya membangunkan fizikal dan kerohanian pada masa yang sama,’’ ujarnya.

Apa yang menarik kata Ismail, hasil daripada lawatan itu, pada Mei 2006, beliau telah dikunjungi oleh dua orang wakil daripada Kementerian Pengajian Tinggi Arab Saudi untuk berbincang tentang hasrat kerajaan Arab Saudi menghantar 1,000 pelajar melanjutkan pengajian ke Malaysia.

Ujar Ismail, mereka membawa kertas cadangan yang mempamerkan nama-nama universiti awam dan swasta terpilih bagi menempatkan pelajar-pelajar Arab Saudi dalam bidang pengkhususan tertentu.

“Dalam kertas cadangan itu mereka memilih bidang perubatan, kejuruteraan, sains komunikasi dan perhubungan, akaun dan beberapa bidang profesional lain. Inilah detik awal penghantaran pelajar-pelajar Arab Saudi ke Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang tersebut. Sebelum ini universiti-universiti di Amerika Syarikat (AS) menjadi pilihan mereka.

“Komitmen kerajaan Arab Saudi menghantar pelajar-pelajar mereka ke Malaysia berterusan hinggalah hari ini. Bagi saya itu adalah satu kejayaan besar antara Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang pendidikan. Pada masa sama, Malaysia terus menghantar pelajar-pelajar kita ke Mekah dan Madinah untuk me­lanjutkan pelajaran dalam bidang agama,’’ katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Raja Abdullah juga sering memuji akhlak dan disiplin jemaah haji dan umrah Malaysia ketika menunaikan kedua-dua ibadat itu di tanah suci.

“Semuanya ini adalah hasil daripada usaha keras kita memberikan pendedahan kepada mereka bagaimana menunaikan ibadah umrah dan haji seperti yang dituntut.

Malah mereka yang dipilih mengerjakan haji dikehendaki mengikuti kursus selama beberapa bulan sebelum ke tanah suci,” katanya lagi.

Sepanjang berkhidmat di Arab Saudi beliau turut mendapati, syarikat minyak gergasi Arab Saudi iaitu Saudi Aramco cenderung mengambil jurutera-jurutera Pe­tronas untuk berkhidmat dengan syarikat berkenaan.

“Di Arab Saudi, Petronas dilihat sebagai satu jenama hebat. Oleh itu tidak hairanlah jurutera Petronas menjadi pilihan utama syarikat tersebut.

“Begitu juga dengan pe­nyertaan rakyat Malaysia sebagai pakar kewangan di Bank Pemba­ngunan Islam (IDB) berpangkalan di Jeddah selain kecenderung­an hospital-hospital negara itu mengambil jururawat profesional dari negara kita,” katanya lagi.

Mengulas lawatan rasmi Raja Arab Saudi sekarang iaitu Raja Salman Abdulaziz Al-Saud bermula esok, Ismail menyifatkan kunjungan tersebut sebagai ke­sinambungan lawatan Raja Abdullah sebelum ini.

Lawatan Raja Salman jelas sekali menggambarkan betapa e­ratnya hubungan kedua-dua negara yang telah terjalin sejak sekian lama, dan dijangka terus kukuh pada masa akan datang.






Leave a Reply

Threesome