Menu Utama

Mahfuz tak perlu tunggu lama keluar Pas

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dinasihatkan supaya tidak menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan meninggalkan Pas ekoran tindak-tanduknya kebelakangan ini yang dilihat tidak selari dengan perjuangan parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan secara sinis berkata, parti itu sudah pun melupakan Mahfuz yang dilihat lebih cenderung bersama PAN biar pun tidak pernah mengumumkan hasrat untuk keluar parti.

“Siapa Mahfuz ini, kami pun dah lupa. Yang tahunya, dia cuma Ahli Parlimen Pokok Sena sahajalah kerana sekarang ini pun, dia tidak langsung menyebut yang dirinya masih lagi ahli Pas.

“Bagi kami, Mahfuz ini macam orang yang kecewa dan apabila itu berlaku, biarkan sahajalah kerana kalau kita fikir pun tak guna juga. Dia dah tak mahu dengan kita, seeloknya janganlah tunggu lama-lama dan buat keputusan cepat,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-63 di Kompleks Pas Kedah di sini hari ini.

Tindak-tanduk Mahfuz sebelum ini yang cenderung bersama pakatan pembangkang diketuai DAP dalam mengadakan pelbagai program sehingga sanggup mencerca Pas sebagai ‘parti makan keliling’, tidak disenangi kepemimpinan Pas sehingga menyebabkan Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mencabar Mahfuz supaya keluar parti.

Mahfuz bagaimanapun tidak tunduk terhadap desakan tersebut, sebaliknya terus memperlekehkan kepemimpinan Pas dengan menuduh Mohd. Amar sebagai seorang yang ‘gedebe’ kerana menghalaunya keluar dari Pas.

Ketika ditanya sama ada Mahfuz gentar untuk keluar daripada parti disebabkan baiah yang pernah dilafazkannya, Takiyuddin sambil tersenyum meminta supaya soalan tersebut diajukan sendiri kepada bekas Naib Presiden Pas berkenaan.

“Apa pun saya boleh mengesahkan bahawa kes Mahfuz ini sudah dibawa ke jawatankuasa tatatertib parti kerana ada pihak tertentu yang sudah membuat aduan mengenai tindak- tanduknya. Setakat ini, jawatankuasa itu belum membuat keputusan.

“Selama ini, apa yang dilakukan Mahfuz tidak langsung mendatangkan kesan kepada parti. Setakat nampak warna ‘oren’ pada dirinya itu, tidak ubah seperti pinang masak. Pinang masak ini lama-lama, dia akan luruh sendiri,” katanya dalam nada menyindir.

Mengulas dakwaan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub kononnya Pas akan berpecah tidak lama lagi sehingga membuka ruang untuk PAN memerintah Kelantan, Takiyuddin sambil menafikan perkara tersebut turut memulangkan paku buah keras kepada ‘rakan lamanya’ itu.

“Saya tak nampak di mana lagi kami ini akan berpecah kerana kesatuan Pas ketika ini amat tinggi di belakang Presiden. Bagi saya, itu cuma ramalan individu yang tiada masa depan dalam politik kerana parti dipimpinnya itu pun masih tiada hala tuju dalam politik,” katanya.

Beliau berkata, Salahuddin sepatutnya menyedari kemarahan rakyat Kelantan terhadap sikapnya yang tidak mengenang budi terhadap Pas yang memberinya peluang bertanding dan menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal. – UTUSAN ONLINE






Satu Komen to Mahfuz tak perlu tunggu lama keluar Pas

  1. Perlis News says:

    […] via Mahfuz tak perlu tunggu lama keluar Pas — MYKMU.NET […]

Leave a Reply

Threesome