Menu Utama

Kerana kuasa Dap terpaksa bekerjasama dengan Mahathir – Guan Eng

Kerjasama DAP-Dr. M terpaksa

Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan­ ja­watan, Lim Guan Eng me­ngakui kerjasama yang dijalin de­ngan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah semata-mata kerana terpaksa.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebenarnya tidak berminat untuk menjalin kerjasama tersebut memandangkan bekas Perdana Menteri itu pernah menyumbat beliau serta bapanya yang merupakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ke dalam penjara sebanyak dua kali.

“Kalau dia tidak syok DAP be­kerjasama dengan Dr. Mahathir, saya lagi tidak syok. Mengapa? Kerana sebenarnya ada orang ta­nya bagaimana saya boleh bekerjasama dengan Dr. Mahathir bila beliau tangkap Kit Siang dua kali.

“Saya jawab, betul, beliau tangkap bapa saya dua kali, tapi beliau bukan sahaja tangkap bapa saya, beliau juga tangkap saya dua kali. Anda ingat saya boleh lupakah,” katanya seperti dipetik dalam laporan Buletin Utama TV3 hari ini.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 200 ahli DAP Melaka dalam satu perjumpaan di pejabat parti itu di Banda Hilir malam tadi.

Empat wakil rakyat di Melaka iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Bachang, Lim Jak Wong; ADUN Kesidang, Chin Choong Seong dan ADUN Duyong, Goh Leong San bertindak keluar DAP pada Ahad lalu kerana kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Guan Eng yang dianggap gagal mengendalikan isu-isu dalaman dan luaran parti.

Guan Eng menjelaskan, DAP terpaksa bekerjasama dengan Dr. Mahathir kerana masing-masing kini mempunyai matlamat serupa untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Berikutan itu, beliau terpaksa mengetepikan rasa tidak puas ha­ti terhadap Dr. Mahathir yang didakwanya banyak melakukan kesilapan sepanjang menjadi Perdana Menteri.

“Kadangkala kita kena ketepikan perasaan tidak puas hati kerana kita kena ada hati untuk Malaysia, untuk selamatkan Malaysia.

“Dr. Mahathir ada salah ketika beliau jadi Perdana Menteri, kita pun tahu, kita tidak setuju banyak benda yang beliau buat masa jadi Perdana Menteri. Tetapi ada satu perkara, Dr. Mahathir cakap beliau keluar UMNO kerana mahu selamatkan Malaysia,” jelas beliau.

Utusan






Satu Komen to Kerana kuasa Dap terpaksa bekerjasama dengan Mahathir – Guan Eng

  1. reds says:

    ngarut…..

Leave a Reply