Menu Utama

“Jangan merasa kerdil! Melayu bangsa hebat!” – Cikgu Azmi


“Kita tidak mahu jadi bangsa yang hilang akar tradisinya!”

CARA penampilan beliau yang dianggap unik, berbaju Melayu, bersongkok dan berkain pelekat bukan sahaja dianggap tokoh istimewa di negara ini malah turut mendapat perhatian masyarakat dunia.

Itulah keistimewaan Datuk Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang masih mempertahankan identiti kemelayuannya biar ke mana saja beliau pergi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi tetap merasa bangga berpakaian Melayu tradisional meskipun pernah beberapa kali dihalang memasuki dewan persidangan akibat salah faham pihak urus setia.

Pada tahun 1989, Cikgu Azmi berpeluang menghadiri konvensyen bertajuk World Peace in Cultural Diversity (Keamanan Dunia Dalam Kepelbagaian Budaya) di Tokyo, Jepun. Jemputan khusus atas kapasiti beliau sebagai Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) yang disandang.
Sejurus tiba, beliau terus dihalang oleh beberapa orang pengawal keselamatan bertugas daripada memasuki dewan persidangan di sebuah hotel dengan alasan tidak berpakaian formal, berkot, bertali leher dan berkasut hitam.

Mohd Azmiyang lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi dimaklumkan cara berpakaiannya (berbaju Melayu, bersongkok, berkain pelekat dan berselipar) tidak termasuk dalam tata etika berpakaian ahli-ahli persidangan antarabangsa.

Seorang urus setia bertugas lantas bertanyakan Cikgu Azmi sama ada beliau diundang atau tidak bagi menghadiri majlis persidangan dunia tersebut?

“Saya kata kepada urus setia, saya dijemput khas untuk bentang kertas kerja. Mengapa pula saya dilarang masuk? Kamu sebenarnya yang tak faham erti tajuk persidangan ini: ‘Keamanan Dunia Dalam Kepelbagaian Budaya’. Inilah sebab dan puncanya mengapa dunia tak pernah aman.

“Kamu memaksakan orang lain supaya mengikut kehendak budaya bangsa lain. Situasi ini samalah satu dunia semuanya hendak diseragamkan. Semuanya hendak dijadikan satu acuan. Kami sebenarnya amat memahami akan kepelbagaian ini. Saya megah dengan apa yang saya ada,” cerita Cikgu Azmi ketika mengimbau pengalaman semasa menghadiri persidangan antarabangsa di Tokyo 28 tahun lalu.

Bagaimanapun, akhirnya Cikgu Azmi dibenarkan masuk dan membentangkan kertas kerjanya setelah berjaya meyakinkan pihak urus setia yang terkeliru dengan penampilannya yang unik.

Beberapa tahun lalu sekali lagi Cikgu Azmi dijemput untuk membentang kertas kerja berhubung isu etnik Rohingya yang dizalimi dan dinafikan haknya di bawah junta tentera Myanmar di Geneva, Switzerland anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kali ini beliau dijemput atas kapasitinya sebagai Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang diterajuinya. Sekali lagi Cikgu Azmi tampil dengan identitinya berpakaian baju Melayu, bersongkok dan berkain pelekat ketika berucap.

Tepukan bergemuruh bergema sebaik-baik sahaja Cikgu Azmi mengakhiri ucapannya yang berterus terang mengutuk tindakan ganas junta tentera di Myanmar yang tidak berperikemanusiaan terhadap etnik Rohingya yang tertindas.

Malah,ada perwakilan dari negara-negara lain yang hadir di persidangan dunia itu bangun memberikan penghormatan kepada Cikgu Azmi yang mewakili suara lantang dari Malaysia itu.

Para perwakilan sebenarnya bukan saja kagum dengan ucapan Cikgu Azmi yang berterus terang itu tetapi juga cara berpakaian beliau yang unik dan luar biasa itu.

“Selepas berucap ada antara delegasi yang terkejut dan ada yang kagum melihat cara saya berpakaian begini (bersongkok, berkain pelekat dan berbaju Melayu). Saya tetap megah dan yakin dengan identiti saya, Melayu hebat!” ucapnya penuh keyakinan.

Identiti
Cikgu Azmi menceritakan hasrat beliau untuk memartabatkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang hebat itulah yang mencetuskan inspirasinya untuk memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu itu ke seluruh dunia tanpa merasa rendah diri berbanding bangsa-bangsa lain.

Beliau tidak pernah merasa kekok berpakaian cara orang Melayu Islam kerana Tuhan menjadikan manusia pelbagai bangsa dan adat resam yang memiliki keunikan masing-masing agar mereka saling mengenali antara satu sama lain.

Ketika ditanya, sejak bilakah cara berpakaian tradisi kemelayuan ini menjadi identitinya, Cikgu Azmi menceritakan beliau sudah mengamalkannya sejak zaman persekolahan lagi sehinggalah sekarang tanpa merasa malu sedikit pun.
“Selesa memang selesalah berpakaian begini. Tapi cara saya berpakaian ini ada membawa mesej keyakinan diri sebagai bangsa Melayu,” katanya yang mengagumi pemikir-pemikir Melayu seperti Pendeta Zaaba, Profesor Dr. Hamka, Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan Profesor Syed Hussein Al-Attas.

Kepada anak-anak, Cikgu Azmi menyatakan beliau turut menyampaikan mesej halus melalui cara berpakaian begini supaya mereka ada keyakinan diri sebagai bangsa Melayu yang hebat.

“Mesejnya, jangan merasa kerdil. Melayu itu hebat! Saya yakin dengan budaya dan tradisi Melayu. Bangsa Melayu luar biasa adabnya dan berfikir secara asli. Kembalilah kepada akar tradisi Melayu,” katanya yang ketika ditemui sedang membuat persiapan terakhir Misi Food Flotillaf for Myanmar anjuran bersama Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan MAPIM.
Sebanyak 14 negara, antaranya Belanda, Perancis, Arab Saudi, Indonesia, United Kingdom dan Turki, telah mengesahkan penyertaan mereka dalam Misi Food Flotilla for Myanmar.

Misi yang dijangka memakan masa selama 20 hari ini bakal disertai 235 delegasi terdiri daripada sukarelawan tempatan dan antarabangsa serta petugas-petugas media.

Cikgu Azmi turut menyeru agar orang Melayu kembali kepada akar tradisi kemelayuannya supaya nasib bangsa ini tidak terjadi seperti tragedi yang menimpa bangsa Palestin, Syria, Afghanistan, Iraq dan Rohingya yang sedang bergelora dan ditindas di tanah air sendiri.

Katanya, transformasi perlu dilakukan supaya anjakan paradigma bangsa Melayu dapat dilonjakan.

“Kita tidak mahu jadi bangsa yang hilang akar umbinya. Kalimah yang baik ibarat sepohon pokok yang baik. Akarnya kuat menujah bumi dan dahannya menjulang ke langit. Inilah Melayu yang mempunyai kekuatan akar tradisi,” katanya berfalsafah mengingatkan bangsa Melayu supaya kekal dengan identiti kemelayuan.

Namun, Cikgu Azmi menyatakan malangnya akibat kelalaian sendiri bangsa Melayu masih tercari-cari identiti dan jati diri sedangkan segala kekuatan itu sudah dimiliki melalui ajaran agama Islam yang suci.

“Inilah akibatnya apabila tiada pedoman dan pegangan hidup. Kita senang diracun akarnya. Kita terpaksa berpaut di dahan yang rapuh. Akhirnya, kita sudah hilang cara mendidik anak. Hilang berbudi bahasa lalu disinonimkan dengan bangsa yang lemah akibat kehilangan akar umbinya.

“Ini bertepatan sekali dengan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas: “Satu tragedi mencari sesuatu yang sudah ada tetapi tidak bertemu kerana mencari benda yang salah,” katanya memetik kata-kata ahli falsafah dan cendekiawan Melayu terbilang itu sebagai renungan bersama.

Beliau turut berpesan supaya bangsa Melayu jangan hanya mementingkan kedudukan dan kemewahan diri sendiri sebaliknya berpegang kepada kekuatan Islam, kebangsaan (bangsa Melayu), kewatanan (tanah air) dan keumatan (ummah) yang bertunjangkan persaudaraan sesama Islam, bangsa dan insan (kemanusiaan) untuk menjadi bangsa yang berjaya dan dihormati dunia.

Sumber: Utusan Malaysia






Leave a Reply