Menu Utama

Ini sebab Shahrir terima pelantikan Pengerusi FELDA…

Mungkin ada bertanya kenapa Tan Sri Shahrir Abdul Samad menerima pelantikan sebagai Pengerusi FELDA ketika agensi tersebut dilihat sedang berdepan pelbagai isu membabitkan peneroka serta urus tadbir.

Apatah lagi Shahrir sendiri sudah menyatakan kemungkinan melepaskan jawatan wakil rakyat Parlimen Johor Bahru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk memberi ruang kepada pemimpin baharu.

Justeru itu juga beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Malaysia (MPOB) kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang kemudian terkorban dalam nahas helikopter di kawasan Sebuyau ketika pilihan raya Sarawak Mei tahun lalu.

Shahrir hanya kekal sebagai Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) malah ketika ditawarkan jawatan Ketua Penerangan UMNO tahun lalu, beliau juga menolak bagi menggantikan Datuk Ahmad Maslan.

Jawatan itu kini disandang Tan Sri Annuar Musa.

Kepada portal BNBBC.my, Shahrir pernah menyatakan, beliau hanya mahu menjaga Johor Bahru sehingga habis tempoh dan membantu bakal penggantinya memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, apabila ada rancangan melantiknya sebagai Pengerusi FELDA yang baharu, Shahrir keberatan menolak apatah lagi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim memaklumkan bahawa semua pihak bersetuju beliau dilantik ke jawatan itu.

Shahrir ada sebab kukuh menerima jawatan itu kerana ada FELDA bukan lagi asing kepadanya walaupun di Parlimen Johor Bahru ketika ini tidak ada tanah rancangan FELDA.

“Saya terima kerana ini (FELDA) adalah wawasan baik arwah Tun Abdul Razak (Hussein – Perdana Menteri kedua ) kepada negara dan orang Melayu.

“Di negara lain ada reformasi tanah dengan merampas tanah orang kaya kerana mahu diserahkan kepada orang miskin,” katanya.

Shahrir yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Razak tahu hasrat pemimpin itu supaya FELDA menjadi instutusi nasional yang harus dipertahankan.

Walaupun menerima pelantikan itu, Shahrir tahu bahawa beliau seorang tidak dapat mencapai tujuan ini.

“Saya terima FELDA asalkan ia dipisah dengan FGV (FELDA Global Ventures ) kerana khuatir jika (menerajui) kedua-duanya, ia tidak menjadi.

Biar Isa jaga FGV saya jaga FELDA,” kata Shahrir yang kebetulan nama bapanya hampir sama dengan nama bapa Isa malah kedua-dua mereka lahir pada tahun yang sama.

Ini juga katanya bagi memudahkan kepada mereka yang tidak faham mengenai peranan FELDA dan fungsi FGV.

“Apa yang mustahak saya dan pengurusan FELDA kena sedar diri apa matlamat dan tujuan asal FELDA.

“Kita nak peneroka dan kebun mereka dijaga supaya dapat hasil yang baik.

Kita perlu tambah hasil supaya FELDA kembali seperti dahulu,”katanya merujuk kepada kejayaan agensi itu selepas 40 tahun apabila kerajaan tidak lagi menyalurkan duit malah FGV berjaya disenaraikan di Bursa Saham.

Menurut Shahrir, sekarang ekonomi global kurang bagus dan pendapatan FELDA juga berkurang.

Malah, kerajaan turut memberi geran RM200 juta untuk prasarana rumah generasi muda FELDA.

Shahrir bersama warga peneroka ketika meninjau projek perumahan generasi baru FELDA di Jengka 11, Jerantut

Mengenai penjualan asset-aset FELDA di luar negara, Shahrir menegaskan bahawa tindakan itu bukan bermakna FELDA bankrap.

“Lainlah kalau kita jual rumah sehingga kita sendiri tidak ada tempat duduk. Itu tanda kita susah.

“Dulu ada duit kita beli, sekarang sudah untung kita jual, begitu juga kita jual saham dalam Mybank…tugas kita jaga kebun peneroka supaya member hasil yang baik,” katanya.

Menurut Shahrir, mereka yang menghasut memburukkan FELDA termasuk mahu menjual ladang milik peneroka tidak tahu menahu mengenai FELDA.

“Pihak yang cuba menghasut sebenarnya tidak faham yang tanah GSA (Akta Tanah Berkelompok) peneroka tidak boleh dicagar FELDA kepada mana-mana pihak.

Peneroka tidak perlu layan mereka. Apa yang penting bersama-sama saya dan pengurusan FELDA bagi mengembalikan kegemilangan FELDA supaya dapat dinikmati bersama,” jelasnya.

Untuk rekod, FELDA atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.

Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.20/1/2017- Oleh ROSLAN BIAN

Sumber: Agendadaily.com






Satu Komen to Ini sebab Shahrir terima pelantikan Pengerusi FELDA…

  1. Perlis News says:

    […] via Ini sebab Shahrir terima pelantikan Pengerusi FELDA… — MYKMU.NET […]

Leave a Reply