Menu Utama

BN PERLU TAJAM, BERKILAT


PERDANA Menteri, Najib Tun Razak diapit timbalannya, Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem bersama-sama ketua parti-parti komponan BN Sarawak meraikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Kuching, 7 Mei lalu.

TARAF negara maju akan tiba menjelang tiga tahun sahaja lagi (2020).

Sebagai parti yang berjaya bersama menggilap kemajuan Malaysia sejak 59 tahun lalu, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO maklum bagaimana mentadbir kejayaan.

Di peringkat dunia, ada ma­syarakat yang saban hari sukar beroleh makanan, ada pula yang dianugerah Allah kemewahan. Ada bangsa yang negaranya berkecai kerana peperangan dan kekejaman. Ada negara yang menghijau, membangun dan perlu mendepani cabaran mendatang dengan ‘sepak terajang’ politik yang saban hari berlaku. Malaysia tergolong kepada jenis terakhir itu.

Boleh dikatakan setiap pemimpin atau ahli politik mengalami sedikit-sebanyak peristiwa ‘kawan jadi lawan’ dan ‘lawan jadi kawan’. Sebenarnya semenjak dunia terkembang dan semenjak manusia me­ngenal pemerintahan melalui politik, fenomena ini sudah dialami.

Hanya pembanterasan baginya yang masih belum tersua. Besar kemungkinan ‘ubat’ bagi feno­mena ini tidak akan didapati lantaran sifat politik itu sendiri yang terus dinamik dan berubah-ubah cetusannya.

Antara sebab yang menimbulkan suasana konflik ini ialah pergeseran personaliti, rasa kecil hati kerana berebut tempat atau rezeki. Juga, kerana pertembungan pendapat dan iri hati yang timbul daripada hasad dan dengki.
Sebab itu dunia politik banyak mengandungi perkara yang tidak tersurat. Dalam keadaan beginilah banyak perlakuan melanggar nilai-nilai yang dijulang tinggi.

Mereka yang dahulunya gamak mencium tangan pemimpin, ada kalanya lantas juga menuding jari semula kepada pemimpin yang membantunya dahulu dan lantas menentangnya. Justeru dalam politik apa pun boleh berlaku dan dilakukan sehingga banyak pihak yang berpendapat jika seseorang mahu memahami semua hal dan semua kejadian politik, dia mungkin akan menjadi gila.

Agaknya sebab itu ramai orang merumuskan bahawa mereka memang akan survive dalam dunia politik akibat terlalu banyak benda yang kusut dan tidak boleh dimengertikan. Logik yang diterima am kadangkala dalam politik tiba-tiba tidak logik lagi.

Pada 1982, Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang muda baharu ber­keris masuk UMNO melalui loncatan tingkap, bukan melalui pintu biasa. Tun Dr. Mahathir Mohamad mempelawa beliau masuk melalui politik ABIM, bukan me­lalui perjuangan UMNO. Catatan kemasukannya ke dalam UMNO macam peristiwa pesta sedangkan cemuhan dan kritikan Anwar terhadap UMNO dan pimpinannya diketahui keterlaluan.

Selama 16 tahun dia diasuh dan dibelai oleh Dr. Mahathir. Meloncat dari satu tahap ke tahap yang lain sehingga sampai menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Dalam tahun 1993, Tun Ghafar Baba ditumbangkannya melalui politik proksi.

Pengikutnya mendakwa Dr. Mahathir yang merestui sepenuhnya rebutan itu. ‘Pencapai­an’ itu diperolehnya yang diikuti kemunculan berita bergambar Ghafar sedang menjinjing sebuah beg plastik dalam perjalanan hendak ke Indonesia sehari selepas beliau ditumbangkan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan parti.

Anehnya, sebelum itu berkali-kali Anwar membuat pengakuan, beliau tidak akan menentang Ghafar. Satu lagi pengamatan harus ditonjolkan. ‘Tidak’ bukan semestinya bererti ‘tidak’ dalam taktik politik. ‘Tidak’ boleh membawa erti ‘ya’.
Waima apa pun, ahli politik yang berjiwa besar tidak mudah menzahirkan perasaan dalam hatinya terhadap orang lain. Bak kata pepatah, lebih elok jika sesuatu itu pecah di perut daripada pecah di mulut. Dalam kilat ada kilau. Terserah kepada orang untuk menduganya.

Daya persepsi dan daya pengamat­an seseorang pemimpin itu perlu dipertajamkan sentiasa. Ibarat pisau, akan hanya berguna jika tajam.

Apabila pisau sudah tumpul dan berkarat, penggunanya tidak memandangnya lagi. Lantaran itu jugalah ada yang berpendapat, jika hendak terus berguna dan berkesan dalam politik, seseorang itu perlu terus tajam dan terus berkilat.

Jika tidak, tamsil pisau berka­rat tadi akan menusuk badan sendiri ke dalam arena gelap.
Malangnya untuk terus berkilat dan berguna bukan mudah.

Proses itu memerlukan beberapa pembaharuan serta asuhan diri. Rela dikritik, tahan ‘diseksa’ dan tidak mudah mengaku kalah.

Sifat-sifat ini mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan.

Jentera BN perlu sentiasa tajam dan berkilat menjelang bukan sahaja 2020 tetapi yang paling penting mendepani cabaran besar Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sumber: Utusan Malaysia



« (Previous News)



Satu Komen to BN PERLU TAJAM, BERKILAT

  1. […] via BN PERLU TAJAM, BERKILAT — MYKMU.NET […]

Leave a Reply