Menu Utama

Perjanjian Malaysia-China Bakal Meningkatkan Nilai RM

Oleh Dominic Chia

Sebagaimana kita sedia maklum, harga minyak mula merudum sejak pertengahan tahun 2014. Ekoran kejatuhan harga minyak ini, nilai Ringgit turut menurun. Kejatuhan harga minyak yang serius, iaitu di sekitar AS$50- AS$60 setong pada Ogos 2015 telah menyebabkan nilai RM jatuh melebihi RM4.00 berbanding satu AS$.

Sejak kejatuhan tersebut, nilai RM belum pernah meningkat ke tahap kurang daripada RM4.00 bagi setiap AS$. Malah, nilainya jatuh lagi ke RM4.52 berbanding AS$ ekoran kemenangan Donald Trump dalam Pemilihan Presiden 2016 pada 9 Nov yang lalu. Kemenangan Trump menyebabkan para pelabur membuat spekulasi bahawa kadar faedah bank pusat Amerika Syarikat (AS) akan dinaikkan pada Dis 2016. Spekulasi ini menyebabkan ramai pelabur asing menjual sekuriti dan bon kerajaan negeri-negeri sedang membangun seperti Malaysia dan beralih ke sekuriti dan bon kerajaan AS untuk pulangan faedah yang lebih tinggi.

Memandangkan pendekatan pengawalan terhadap modal serta menambat nilai mata wang ringgit (Sepertimana dilaksanakan pada tahun 1998) tidak lagi relevan, penggubal dasar beralih kepada pendekatan pelaburan dalam pembangunan jangka masa panjang. Pendekatan baharu kerajaan ini adalah untuk menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu dan seterusnya menstabilkan RM.

Menurut Jeffrey Sachs, seorang Profesor dalam bidang pembangunan jangka masa panjang di Universiti Columbia, pembangunan jangkamasa panjang bukan hanya impian atau slogan. Ia merupakan petunjuk terbaik bagi pembangunan global serta berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan tinggi. Oleh itu, inilah masa yang paling sesuai terutamanya bagi negara-negara sedang membangun untuk memberikan fokus terhadapnya serta membuat pelaburan sewajarnya.

Di samping pembangunan jangka masa panjang, pengeluar tempatan juga harus berinovasi dalam menambahkan produktiviti bagi memperbaiki rantaian nilai. Sememangnya langkah ini memerlukan nilai RM yang lebih kukuh bagi meyakinkan para pelabur untuk membuat pelaburan dalam jangka masa panjang dan seterusnya meningkatkan tahap rantaian nilai produktiviti.

Sehubungan itu kerajaan Malaysia telah menandatangani projek pembangunan bernilai lebih kurang RM144 billion dengan Republik China baru-baru ini. Antara projek-projek yang menarik perhatian adalah Lingkaran Keretapi Pantai Timur (ECRL), Keretapi Halaju Tinggi menghubungkan Kuala Lumpur- Singapore (HSR KL-SG) dan Pelabuhan Melaka.
Menurut akhbar kewangan mingguan The Edge, perjanjian projek pembangunan di antara Malaysia dan China kemungkinan bernilai lebih kurang RM300 bilion sekiranya melibatkan urusniaga di antara agensi bukan kerajaan dan kerajaan ke kerajaan.

Menurut Khoo Hsu Chuang, kolumnis akhbar mingguan kewangan The Edge, wang beratus billion itu berpotensi untuk menstabilkan RM dan seterusnya mengelakkan kejatuhan teruk nilai mata wang tersebut.

Meskipun projek-projek pembangunan tersebut kebanyakannya membabitkan syarikat-syarikat milik kerajaan China, ia tidak bermakna republik tersebut campurtangan urus tadbir di Malaysia. Pada hakikatnya, dalam situasi ekonomi sekarang yang tidak menentu, China, ekonomi kedua terbesar di dunia inilah satu-satunya harapan bagi negara-negara membangun untuk pembangunan infrastruktur berteknologi tinggi dan seterusnya memperkasakan RM dalam jangka masa panjang.

Justeru itu, Tan Sri Navaratnam, Pengerusi ASLI (Pusat Pengajian Dasar Kerajaan) berpendapat bahawa perjanjian di antara Malaysia dan China adalah satu langkah kerajaan yang berani, bijaksana dan berfaedah bukan sahaja untuk kerajaan, malah, untuk rakyat jua.

Sebagai contoh, projek-projek seperti ECRL dan KL-SG HSR diyakini akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di lokasi-lokasi, di mana perhentian bagi kedua lingkaran keretapi tersebut dibina nanti. Yang jelas, pembangunan infrastruktur sebegini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi juga meningkatkan pendapatan kepada rakyat.

Pendapatan yang meningkat akan menggalakkan rakyat untuk berbelanja dan seterusnya meningkatkan permintaan terhadap
barangan dan perkhidmatan domestik. Peningkatan permintaan komoditi bukan sahaja menggalakkan penambahan pengeluaran tetapi juga pertumbuhan ekonomi dan peningkatan nilai RM dalam jangka masa panjang.

Oleh sebab itulah Tan Sri Navaratnam menggesa rakyat Malaysia untuk menolak pandangan cetek sesetengah pihak yang memandang perjanjian antara Malaysia dan China sebagai muslihat China untuk mengatur strategi hagemoninya di Asia Tenggara. Menurut beliau, Malaysia harus menggunakan sebaik mungkin peluang keemasan yang diwujudkan oleh China, bagi memperkukuhkan nilai mata wang RM.






Leave a Reply