Menu Utama

Urusniaga Felda Dan Kumpulan Rajawali

DUA hari lalu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) telah menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan Rajawali Group untuk membeli sebahagian ekuiti dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP), antara syarikat perladangan terbesar di Indonesia.

Menerusi SPA berkenaan, FICP akan membeli ekuiti sebanyak 37% dalam EHP yang disenaraikan di bursa saham Jakarta itu.

Pembelian bernilai US$505.4 juta itu akan membolehkan FELDA memperolehi akses kepada tanah perladangan seluas lebih 320,000 ha di Indonesia (kira-kira 4.4 kali keluasan Singapura), termasuk lebih 125,000 ha yang sudah ditanam dengan pokok sawit.

Pada Jumaat lalu, FELDA dalam satu kenyataannya menyatakan keputusan untuk membeli ekuiti tersebut adalah selari dengan matlamat jangka panjangnya untuk menjadi antara kumpulan minyak sawit terbesar dunia.

Bagaimana pun, urusniaga ini telah menimbulkan pelbagai polemik di media sosial yang dicetuskan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak berpuas hati dengan urusniaga ini.

Sehubungan itu, hari ini FELDA telah tampil menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan berkaitan urusniaga antara FELDA dan Rajawali Group ini.

Penjelasan ini merupakan maklumat asas berkaitan urusniaga pembelian saham EHP oleh FELDA dan maklumat terperinci berkaitan urusniaga ini akan dimaklumkan selepas kelulusan dari pihak berkuasa telah diperolehi.

Berikut fakta yang perlu diketahui berkaitan urusniaga antara FELDA dan Rajawali Group:

Adakah urusniaga ini akan menjejaskan kesejahteraan peneroka?

Pelaburan yang dilakukan oleh FELDA dengan Rajawali Group dalam pembelian 37% ekuiti EHP ini tidak menggunakan sumber kewangan FELDA.

Oleh itu, urusniaga ini tidak akan sama sekali mempengaruhi komitmen sedia ada serta tidak menjejaskan program FELDA dalam meningkatkan kesejahteraan warga penerokanya.

Adakah FELDA membayar premium terlalu tinggi ke atas harga pasaran saham EHP sedangkan sesetengah pihak mendakwa ia adalah setinggi 173%?

Harga saham bukanlah kaedah penilaian yang diterima apabila melibatkan syarikat perladangan. Harga saham mungkin tidak menggambarkan nilai sebenar EHP.

Penilaian yang diterima merupakan nilai perusahaan (Enterprise Value – EV) sehektar iaitu USD16,000 ev/ha dan nilai inilah yang FELDA bayar untuk kepentingan 37 peratus.

Nilai ini adalah lebih baik dibandingkan dengan urus niaga lain baru-baru ini yang melibatkan Syarikat minyak sawit Indonesia.

Apakah urusniaga perbandingan yang terkini melibatkan Syarikat-syarikat perladangan Indonesia?

Sebagai perbandingan, baru-baru ini tawaran akhir KLK iaitu USD15,500 ev/ha, telah ditolak oleh Lembaga MP Evans.

Penilaian bebas MP Evans meletakkan nilai mereka pada USD17,300 ev/ha. Lembaga MP Evans telah meminta untuk penilaian pada USD24,000 ev/ha bagi Syarikat tersebut.

Pada nilai USD505.4 juta FELDA membeli kepentingan dalam EHP dengan nilai USD16,000 ev/ha.

Kawasan perladangan MP Evans yang telah ditanam ialah 31,400 ha. Manakala kawasan EHP yang telah ditanam ialah 125,000 ha.

Oleh itu, FELDA mempunyai akses kepada tanah yang empat kali lebih luas daripada keluasan tanah ladang MP Evans pada kadar ev/ha yang lebih rendah.

Selain itu, pembelian New Britain Palm Oil Ltd oleh Sime Darby adalah pada USD27,000 ev/ha.

Adakah sebab-sebab lain mengapa harga saham bukanlah suatu penilaian yang tepat?

Harga saham juga tidak menggambarkan nilai sebenar kerana saham EHP dikawal 70% oleh Kumpulan Rajawali.

Tambahan lagi, ia disenaraikan dalam Bursa Saham Jakarta di mana ianya tidak secair di BSKL atau SGX.

Apakah perkara-perkara lain yang diambil kira dalam harga belian?

Harga belian mengambil kira nilai kekurangan (scarcity value) EHP.

Tiada ladang bersaiz sebesar ini untuk dijual terutama pada penilaian ini.

Inilah peluang terakhir untuk FELDA/Malaysia atau mana-mana pihak luar yang lain untuk melabur dalam sebuah syarikat Indonesia dengan pemilikan tanah yang sangat luas.

Kerajaan Indonesia bersetuju untuk memberi pengecualian sekali ini sahaja dengan Perjanjian ini.

Bagaimana perjanjian ini dapat memberi manfaat kepada FELDA?

Perjanjian ini akan meningkatkan profil tanaman FELDA kerana Purata umur pokok-pokok di EHP adalah 7 tahun berbanding dengan pokok di FELDA/FGV yang berumur 15 tahun.

Melalui urusniaga ini, lebih banyak peluang kolaborasi dan urusniaga jual beli akan wujud antara FELDA/FGV dan EHP.

Urusniaga ini juga mencetuskan potensi perniagaan baharu dan sinergi untuk Kumpulan FELDA di bidang semaian, baja, urusniaga MSM, hiliran/oleo-kimia; dan potensi memasuki pasaran Indonesia yang luas dengan rakyat 260 juta orang bagi produk pengguna keluaran Kumpulan FELDA.

Bagaimana perjanjian ini boleh memberi manfaat kepada negara?

Pelaburan dalam sebuah syarikat yang merupakan pemain utama dalam industri minyak sawit di Indonesia adalah sejajar dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk memastikan negara terus menjadi pemain utama dalam industri minyak sawit global.

Ia akan bertindak sebagai pencetus untuk bergerak ke hadapan dalam agenda CPOPC yang baru ditubuhkan, iaitu untuk menstabilkan harga minyak sawit global.

sumber: Feldavoice.com






Leave a Reply

Threesome