Menu Utama

UCAPAN PENANGGUHAN DIBAWAH PERATURAN MAJLIS MESYUARAT DEWAN RAKYAT PERKARA 14(1)(i)

Tajuk Ucapan : Kejadian Kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru
Tarikh Ucapan : 26 Oktober, 2016 (Rabu)
Kementerian : Kementerian Kesihatan Malaysia

Tuan Yang diPertua,
Pada pagi 25 Oktober 2016 sekitar jam 9.00 pagi, telah berlaku satu kebakaran di Unit Rawatan Rapi yang berada di tingkat dua Hospital Sultanah Aminah. Kebakaran tersebut telah bermula di bilik rawatan di dalam Unit Rawatan Rapi tersebut, di mana Pegawai Farmasi telah terhidu bau asap. Pegawai Farmasi tersebut kemudiannya telah cuba untuk memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam api. Namun api telah terus marak dan merebak dengan kepulan asap yang tebal, kebakaran telah menjadi tidak terkawal dan merebak ke seluruh ICU. Perenjis air telah dicetuskan dan sepuluh orang kakitangan yang sedang bertugas di dalam Unit Rawatan Rapi tersebut telah cuba sedaya upaya untuk memindahkan pesakit keluar daripada Unit Rawatan Rapi tersebut. Namun keadaan ini agak sukar ditangani memandangkan pesakit di dalam unit ini adalah dalam keadaan tidak sedar dan dipasangkan dengan mesin bantuan pernafasan serta pelbagai mesin dan peralatan lain.

Pasukan Bomba dan Penyelamat telah dimaklumkan secepat mungkin dan mereka tiba untuk mengawal keadaan, namun usaha mengawal api adalah amat sukar memandangkan keadaan api yang cepat marak dan merebak serta sukar dikawal. Ini berkemungkinan disebabkan oleh kandungan oksigen yang tinggi dan terdapat pelbagai gas serta cecair bius yang mudah terbakar di dalam Unit Rawatanand Rapi. Walaubagaimanapun usaha mereka akhirnya telah berjaya mengawal api ini agar tidak merebak keluar daripada Unit Rawatan Rapi dan tidak melangkaui tingkat dua bangunan ini. Api dapat dipadamkan pada jam 10 pagi.

Tuan Yang diPertua,

Dengan dukacitanya saya memaklumkan bahawa enam orang daripada tujuh orang pesakit di dalam Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultanah Aminah tersebut tidak dapat diselamatkan dan telah terkorban, manakala seorang lagi berjaya di selamatkan dan telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultan Ismail. Keadaan pesakit pada ketika ini adalah stabil tetapi masih membimbangkan kerana beliau turut mempunyai masalah penyakit jantung.

Dua orang jururawat dan seorang pelajar fisioterapi yang telah mencuba sedaya upaya mereka untuk memindahkan dan menyelamatkan pesakit ke kawasan pengudaraan yang baik juga turut terperangkap. Salah satu tingkap di sisi Unit Rawatan Rapi telah dipecahkan dalam usaha menyelamat mereka. Dengan cara ini kakitangan wad tersebut dan seorang pesakit di Unit Rawatan Rapi dapat diselamatkan. Namun begitu, dalam usaha mereka menyelamatkan pesakit, mereka telah terhidu kepulan asap tebal dan telah pengsan. Ketiga-tiga mereka kemudiannya telah diselamatkan dan diberi bantuan pernafasan.

Percubaan dan keberanian mereka untuk bertindak menyelamatkan pesakit-pesakit tersebut walaupun ternyata membawa risiko kepada diri mereka sendiri demi keselamatan pesakit adalah sangat murni dan amat dihargai. Sikap mereka yang sangat bertanggungjawab untuk menjaga pesakit ini amatlah dibanggakan. Namun ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan paru-paru akibat terhidu asap tebal dan kini memerlukan bantuan pernafasan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Hospital Sultan Ismail. Tujuh orang lagi staf yang lain yang berkhidmat di unit ini telah juga diberi rawatan dan diletakkan di bawah permerhatian. Semua warga hospital telah bekerjasama dan berpadu tenaga sebagai satu pasukan untuk memindahkan 477 pesakit ke kawasan lebih selamat mengikut protokol kebakaran dan bencana yang tersedia ada.

Tuan Yang diPertua,

Saya telah diberikan taklimat terperinci oleh kakitangan hospital, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Polis. Punca kebakaran masih belum ditentukan dan siasatan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat masih berjalan. Pelan kontigensi telah dimulakan dan pesakit dari Hospital Sultanah Aminah telah dilencongkan ke hospital berdekatan.

Bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, kejadian ini merupakan satu peristiwa yang amat menyedihkan. Saya telah bertemu dengan ahli-ahli keluarga untuk menzahirkan perasaan simpati dan untuk mengucapkan takziah atas kemalangan jiwa yang telah berlaku ini. Sesungguhnya doa serta ingatan kami adalah bersama mereka dan diharapkan mereka diberi kekuatan untuk melalui saat dan detik suram ini.

Tuan Yang diPertua,

Kementerian Kesihatan Malaysia bersama agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya dan pihak Perunding sememangnya memberi keutamaan yang tinggi kepada aspek keselamatan di samping memastikan ianya dapat berfungsi mengikut keperluan perkhidmatan. Sebelum pembinaannya, rekabentuk bangunan hospital perlu mematuhi sepenuhnya ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta lain-lain keperluan seperti yang termaktub di dalam Universal Building By Law (UBBL).

Begitu juga dengan sistem-sistem yang dipasang di dalam hospital adalah merupakan sistem yang telah mendapat pensijilan dari aspek fungsi dan keselamatan, sama ada mengikut standard tempatan mahupun antarabangsa. Ini termasuklah sistem berkaitan seperti sistem mekanikal dan elektrikal.

Kementerian Kesihatan Malaysia hanya akan mengambil alih bangunan untuk dioperasikan apabila ianya diperakukan siap sepenuhnya termasuk proses Pengujian dan Pentauliahan telah disempurnakan (Testing and Commisioning, T&C), dan mendapat Sijil Layak Menduduki. Selanjutnya, semasa pengoperasian penyelenggaraan berkala akan dilaksanakan.

Kejadian yang tidak diingini ini perlulah disiasat untuk mengenalpasti punca dan sebab kebakaran ini boleh berlaku dan merebak. Saya telah mencadangkan dan mengarahkan agar satu Jawatankuasa/Suruhanjaya Khas Siasatan Bebas dapat ditubuhkan untuk menjalankan satu siasatan mendalam dan terperinci mengenai kejadian ini. Saya berharap Jawatankuasa/Suruhanjaya Khas ini dapat memberi petunjuk dan membuat penambahbaikan terhadap sistem keselamatan di hospital dan memantapkan kaedah pemantauan secara berkala bagi meningkatkan tahap keselamatan bagi pesakit dan warga kerja di hospital. Saya berharap hasil siasatan oleh Jawatankuasa/Suruhanjaya Khas ini dapat memberi panduan dan mencari punca kebakaran di hospital Sultanah Aminah ini dengan secepat mungkin.

Tuan Yang diPertua,

Aktiviti penyelenggaraan komprehensif yang berterusan di Hospital Sultanah Aminah merangkumi; Plan Preventive Maintenance (PPM), Schedule Corrective Maintenance (SCM), Routine Inspection (RI), Predictive Maintenance dan lain-lain senarai semak teknikal yang ditetapkan terhadap fasiliti dan peralatan perubatan termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) di bawah program Penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) oleh Syarikat Medivest Sdn Bhd.

Penyelenggaraan komprehensif yang dilaksanakan oleh pihak syarikat turut melibatkan kerja-kerja pengujian keselamatan elektrikal bagi peralatan perubatan. Pihak syarikat juga melaksanakan aktiviti penyelenggaraan mengikut kekerapan yang telah ditetapkan, di mana contohnya adalah sepertimana berikut:-

i. Penyelenggaraan sistem elektrikal iaitu tiga, enam dan dua belas bulan sekali;
ii. Penyelenggaraan peralatan perubatan juga tiga, enam dan dua belas bulan sekali.
Penyeliaan Perkhidmatan Sokongan Hospital secara berkala oleh Jurutera atau Penolong Jurutera Hospital turut dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh Syarikat Medivest Sdn Bhd menetapi keperluan kontrak. Sebarang penemuan kerosakan dan kecacatan akan dimaklumkan dan akan dibaiki oleh Syarikat Medivest Sdn Bhd dalam tempoh yang ditetapkan. Pemotongan yuran akan dikenakan kepada pihak Syarikat Medivest Sdn Bhd sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap pelaksanaan Perkhidmatan Sokongan Hospital.

Tuan Yang DiPertua,

Syarikat Medivest Sdn Bhd melaksanakan aktiviti “User Training” yang merangkumi modul penggunaan dan penyelenggaraan harian fasiliti dan peralatan kesihatan termasuk sistem pencegahan kebakaran sekurang-kurangnya sekali (1) setahun dan mengikut keperluan pengguna. Hospital Sultanah Aminah merupakan sebuah hospital tertua dan menghadapi banyak masalah. Syarikat Medivest Sdn Bhd terlibat untuk menyediakan keperluan laporan “Condition Appraisal” dan laporan teknikal semasa bagi semua sistem kejuruteraan hospital yang telah dikenalpasti tidak optimum atau mengalami kerosakan, khusus untuk membantu pihak hospital membuat perancangan kerja-kerja penggantian, pembaikan, naiktaraf atau pun ubahsuai.

Kerja-kerja yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian bagi mengatasi masalah “Ageing Asset” antaranya:-
i. Kerja-kerja menaiktaraf bekalan elektrik Bangunan Hematologi, Pusat Bersalin, Jabatan Forensik dan Bangunan Lili;
ii. Kerja-kerja menaiktaraf Inverter, EBOPS dan Car Locking Device Lif di Bangunan Induk;
iii. Membekal memasang, menguji dan mentauliah lif di Blok A, B, C, dan D; dan
iv. Kerja-kerja membekal memasang AHU di OT 1 dan 2.

Melalui kontrak perjanjian Perkhidmatan Sokongan Hospital, Kementerian dan juga pihak Syarikat Medivest Sdn Bhd telah menyediakan Standard Operating Procedure (SOP) Pencegahan Kebakaran dan Contigency and Emergency Response Plan (ERP) bagi mencegah dan meminimakan gangguan perkhidmatan sekiranya terdapat kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Garis Panduan yang disediakan merangkumi langkah-langkah pencegahan dan tindakan-tindakan kecemasan yang perlu diambil oleh pihak yang terlibat ketika kecemasan berlaku.

Tuan Yang diPertua,

Semasa kejadian kebakaran antara tindakan yang telah diambil ialah melaksanakan “Contingency and Emergency Response Plan” (ERP) sebagaimana yang disenaraikan dalam “Hospital Specific Implementation Plan” (HSIP). Antara perkara-perkara yang terlibat adalah:-
i. menghubungi pihak Bomba melalui pentadbiran hospital;
ii. mengaktifkan sistem penggera kebakaran (break glass);
iii. menjaga kepentingan keselamatan semua pihak dan mendapatkan kebenaran pihak hospital untuk melaksanakan isolasi terhadap sistem-sistem kejuruteraan yang terlibat insiden kebakaran seperti sistem gas perubatan dan sistem bekalan elektrik setelah mengambil kira faktor keselamatan;
iv. menyediakan bekalan elektrik sementara dan pencahayaan di kawasan Recovery and Emergency Booth;
v. membantu pihak hospital dalam proses pemindahan pesakit-pesakit dan kakitangan terlibat kebakaran;
vi. memberi kerjasama dan nasihat teknikal sepenuhnya kepada pihak Bomba sepanjang berlakunya kebakaran;
vii. meneruskan Perkhidmatan Sokongan Hospital dan memastikan perkhidmatan klinikal di kawasan yang tidak terlibat kebakaran masih beroperasi.

Pihak Perkhidmatan Sokongan Hospital juga dikehendaki untuk:

i. Penyediaan laporan insiden oleh pihak-pihak yang terlibat dalam insiden kebakaran kepada pihak yang berkuasa;
ii. Syarikat Medivest Sdn Bhd juga perlu melaksanakan pelan kontigensi seperti penyediaan peralatan perubatan secara pinjaman (loaner) kepada pihak hospital untuk memastikan perkhidmatan klinikal hospital dapat diteruskan dengan gangguan yang minima;
iii. Membuat pemeriksaan dan penilaian teknikal di fasiliti-fasiliti lain di Hospital Sultanah Aminah bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang;
iv. Menyediakan anggaran kos dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan setelah penilaian teknikal yang terperinci dijalankan dan mendapat peruntukan khas;
v. Membantu pihak hospital bagi memulihkan perkhidmatan Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara yang terjejas dengan memberi khidmat nasihat teknikal sistem kejuruteraan berkaitan;
vi. Melaksanakan audit kebakaran di semua fasiliti kesihatan di bawah PSH bermula dengan hospital/ institusi lama.

Tuan Yang diPertua,

Satu lagi langkah tambahan dan usaha penambahbaikan berterusan selain yang telah dicadangkan ialah Kementerian Kesihatan Malaysia akan menjalankan pengauditan kesiapsiagaan kebakaran kepada semua hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan secara berperingkat, bermula dengan hospital-hospital yang lama usianya. Ini adalah penting untuk mengelakkan daripada kejadian kebakaran sebegini berlaku lagi.

Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang tercedera. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada warga Kementerian Kesihatan Malaysia, anggota Bomba dan Penyelamat, anggota Polis DiRaja Malaysia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah bekerjasama secara bersepadu dalam menangani insiden ini. Marilah kita berdoa secara bersama untuk memperingati mereka yang terkorban dalam kebakaran ini.
Sekian, terima kasih.






Satu Komen to UCAPAN PENANGGUHAN DIBAWAH PERATURAN MAJLIS MESYUARAT DEWAN RAKYAT PERKARA 14(1)(i)

  1. […] via UCAPAN PENANGGUHAN DIBAWAH PERATURAN MAJLIS MESYUARAT DEWAN RAKYAT PERKARA 14(1)(i) — MYKMU.NET […]

Leave a Reply

Threesome