Menu Utama

Syarikat Malaysia Perlu Beri Peluang Kepada OKU Juga – Rahman Dahlan

20141006_DatukAbdulRahmanDahlan1. Landskap perniagaan hari ini bukanlah seperti dahulu kala. Jika pada era 1950-an dahulu lanskap ini mementingkan konformiti korporat, kini syarikat-syarikat beroperasi di dalam sebuah perkampungan global di mana, sebagai contoh, norma-norma budaya di China mampu mempengaruhi keputusan pemasaran di New York.

2. Kajian menunjukkan bahawa syarikat-syarikat yang memupuk kepelbagaian di tempat kerja, terutamanya di peringkat lembaga pengarah, cenderung untuk lebih cemerlang dalam aspek kewangan jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat yang tidak mementingkan kepelbagaian. Tenaga kerja berbeza jantina, umur dan etnik membawa perspektif dan pandangan yang unik ke medan perbincangan. Perspektif dan pandangan mereka itu dirangka daripada pengalaman masing-masing.

3. Sebuah laporan tentang kepelbagaian di dalam sektor perkhidmatan kewangan yang dibuat oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan bahawa syarikat-syarikat yang memupuk kepelbagaian menikmati perkongsian pasaran yang lebih tinggi dan berkapasiti untuk membuat keputusan yang lebih baik. Laporan tersebut memetik sebuah kajian di Amerika Syarikat yang membandingkan dua set peniaga saham untuk melihat betapa tepatnya kedua-dua set tersebut meletakkan harga saham. Set peniaga saham yang lebih memupuk kepelbagaian didapati 50% lebih berkecenderungan untuk meletakkan harga yang tepat dibandingkan dengan set yang homogen.

4. Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik dalam memupuk beberapa tahap kepelbagaian dalam tenaga kerja. Walaupun begitu, usaha yang lebih besar diperlukan untuk meningkatkan kepelbagaian di peringkat lembaga pengarah dan pada peringkat pengurusan atasan.

5. Didorong oleh tiga objektif utama Model Ekonomi Baru iaitu pendapatan tinggi, kemampanan dan keterangkuman – termasuk memanfaatkan bakat wanita – Kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk meningkatkan kepelbagaian tenaga kerja. Ini termasuklah syarat keperluan bagi syarikat-syarikat tersenarai untuk mendedahkan maklumat penting dalam laporan tahunan mereka berkuatkuasa mulai Januari 2015.

6. Hasilnya, terdapat peningkatan yang ketara dalam bilangan wanita dalam pengurusan tertinggi di 100 buah syarikat tersenarai utama (mewakili permodalan pasaran sebanyak 82%). Berdasarkan penyata tahunan syarikat-syarikat tersenarai ini pada 2015, kaum wanita memegang 28% daripada jawatan pengurusan tertinggi, berbanding 24% pada 2013. Di samping itu, tiga sektor iaitu barangan pengguna, hartanah dan perkhidmatan kewangan telah berjaya melangkaui sasaran 30% penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan.

7. Ini adalah satu perubahan yang ketara, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Analisis ini juga mendapati bahawa 26% daripada 100 buah syarikat-syarikat tersenarai ini tidak mempunyai wakil wanita di peringkat lembaga pengarah, dan 14% tidak mempunyai wakil wanita dalam peringkat pengurusan atasan.

8. Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah untuk meningkatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (FLPR) dengan menawarkan insentif cukai, menggalakkan lebih ramai majikan untuk menerima pakai Susunan Kerja Fleksibel (FWA), menggalakkan manfaat mesra keluarga seperti kemudahan penjagaan kanak-kanak, dan membuka peluang kepada wanita yang telah berhenti kerja melalui program Career Comeback yang dilaksanakan oleh TalentCorp.

9. Melalui pelbagai inisiatif ini, kita telah melihat peningkatan yang kukuh dalam Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita daripada 47% pada 2010 kepada 54% pada 2015. Ini diterjemahkan kepada penambahan seramai 700,000 wanita dalam tenaga buruh, dan Bank Dunia menganggarkan sumbangan tambahan sebanyak 0.3% kepada pertumbuhan KDNK negara setahun.

10. Saya berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan menyertai jaringan majikan LIFE@WORK oleh TalentCorp dan terus berinovasi untuk melibatkan kumpulan-kumpulan yang kurang diwakili seperti Orang Kurang Upaya dan Kelainan Upaya dalam tenaga kerja supaya mereka juga akan berkongsi manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.

11. Jika kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian kita, maka kini adalah masa yang tepat untuk kita perkukuhkan kekuatan ini bersama.

DATUK ABDUL RAHMAN DAHLAN
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
24 OKTOBER 2016






Satu Komen to Syarikat Malaysia Perlu Beri Peluang Kepada OKU Juga – Rahman Dahlan

  1. […] via Syarikat Malaysia Perlu Beri Peluang Kepada OKU Juga – Rahman Dahlan — MYKMU.NET […]

Leave a Reply

Threesome