Menu Utama

SURAT TERBUKA KEPADA DR. MAHATHIR

Oleh: Azman Hussin

KEHADAPAN Tun Dr Mahathir,

Pada tahun 2001, dalam menghadapi gelombang Reformasi, tuan berkata, “apakah untuk mendaulatkan pemerintahan mengikut undang-undang, maka mereka perlu bertindak menyalahi undang-undang dengan merusuh di jalan-jalan, menyekat perjalanan kereta, memaksa kedai-kedai ditutup dan mengganggu keamanan rakyat?”

Itu petikan ucapan tuan di Perhimpunan Agung Umno pada 21 Julai 2001, di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, yang telah dibukukan dengan tajuk Melayu Mudah Lupa (Pelanduk Publications, 2001).

Hari ini tuan pula yang bersekongkol dengan golongan yang tuan kecam ini untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada, hanya kerana tidak bersetuju dengan Datuk Seri Najib, tuan Perdana Menteri, yang kononnya menyeleweng wang negara. Hari ini tuan menggalakkan perkara yang sama, iaitu melakukan tunjuk perasaan dan demonstrasi untuk menyuarakan bantahan.

Tidakkan perkara ini pelik, tuan?

Tuan boleh menyatakan situasi dahulu tidak sama dengan apa yang berlaku hari ini. Perdana Menteri melampaui batas dengan menggelapkan wang negara berbilion-bilion. Ia tidak sama dengan apa yang tuan hadapi dahulu. Itu mungkin hujah-hujah tuan.

Tetapi, baca pula ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pesanannya buat rakyat Malaysia ketika itu. Kata beliau, “apa upaya pemimpin untuk membanteras rasuah sekiranya beliau sendiri meluluskan rm1.8 bilion untuk syarikat anaknya sendiri. Bagaimana beliau boleh menghapuskan rasuah apabila beliau menolak ke tepi bukti perlakuan rasuah seorang menteri kanan, padahal bukti tersebut disokong dengan dokumen di mana menteri tersebut menerima hadiah, wang dan saham?”

Tuan boleh menjawab itu hanya tuduhan tidak berasas Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tetapi apa yang didakwa ke atas Dato’ Seri Najib juga adalah satu tuduhan, tuan.

Jika tuduhan-tuduhan seperti ini dijadikan hujah, maka individu pertama yang patut digulingkan secara tidak demokratik adalah tuan sendiri suatu ketika dahulu.

Malahan dakwaan-dakwaan ke atas tuan lebih dahsyat dan lebih banyak lagi berbanding Perdana Menteri hari ini, yang tidak mahu saya ulangi lagi tuduhan-tuduhan itu di sini.

Merenung tindakan-tindakan tuan hari ini, ia boleh membawa anggapan kepada orang awam, bahawa tuan adalah Machiavelli yang sanggup menunggang apa saja untuk sampai ke matlamat tuan, untuk mencapai kepentingan-kepentingan peribadi tuan.

Kenapa saya berkata begitu? Tindakan-tindakan tuan hari ini sudah terlalu jauh dengan apa yang pernah tuan pegang dahulu. Apakah agenda sebenar yang tuan telah deklarasikan sebagai menyelamatkan Malaysia?

Apakah yang tuan mahu selamatkan, sedangkan tindakan-tindakan tuan hari ini bakal merosakkan lagi negara ini. Apakah tidak menjahanamkan negara dengan menyerang Perdana Menteri sepanjang masa sehingga melibatkan campurtangan kuasa-kuasa asing? Realiti ini pernah tuan sebutkan dahulu, dan ia boleh disemak dalam ucapan-ucapan tuan ketika menangkis serangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Contohnya, Tuan pernah berkata, di perhimpunan yang sama, “pemerintahan menjadi lemah dan tidak dapat bertindak dengan tegas. Tekanan ke atas pemerintah boleh dibuat oleh sesiapa sahaja, termasuk orang asing. Dengan itu, bukan sahaja pemulihan ekonomi tidak dapat dijayakan, tetapi kebebasan yang begitu dibanggakan dahulu pun hampir tiada lagi. Inilah hasilnya daripada reformasi dan demonstrasi jalanan. Apakah kita hendak melihat semua ini dibawa ke negara kita oleh puak reformasi ini?”

Saya bersetuju dengan tuan. Apabila pemerintah lemah akibat pemberontakan rakyatnya sendiri, negara akan mudah diperkotak-katikkan. Pelbagai puak, sama ada daripada dalam atau luar, yang berniat jahat akan mengambil kesempatan di atas ketidakstabilan politik negara. Akan ada puak yang akan menangguk di air keruh.

Perkara ini sebenarnya sedang berlaku. Tuan pun tahu. Tidak logik jika tuan tidak menyedari bahawa DAP hanya mahu memanipulasi tindakan tuan untuk menjatuhkan kerajaan, sedangkan pada masa dahulu, tuan jugalah yang memberi amaran akan ancaman DAP ini kepada orang-orang Melayu. Tuan lebih tahu perkara ini berbanding orang lain.

Tuan, pelbagai pihak sedang bersatu dalam pakatan politik yang disertai tuan, sama ada sekularis, liberalis, pluralis, LGBT dan sebagainya. Mereka ini sedang memanipulasi tuan, menjadikan tuan sebagai kayu hulu kapak untuk menebang pokok kayu.

Tuan sendiri tentu sedar yang tuan sedang diperkudakan, tetapi tuan menerimanya asalkan kehendak tuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri tercapai.

Tindakan-tindakan tuan ini seolah-olah tuan adalah desperado, sehingga saya terpaksa membenarkan tuduhan-tuduhan yang diperkatakan oleh ramai orang bahawa tuan sebenarnya mahu menyelamatkan empayar perniagaan kroni-kroni tuan yang terancam dengan pentadbiran baru. Kononnya empayar perniagaan kroni-kroni tuan terjejas teruk, dan mereka adalah dalang sebenar di sebalik tindakan tuan hari ini.

Tuan boleh mendakwa tuan bertindak untuk menyelamatkan negara, tetapi tuan tidak dapat menutup hakikat sebenar bahawa tindakan tuan itu telah menghancurkan lagi negara ini.

Apakah kesalahan besar yang dilakukan kesalahan Perdana Menteri hari ini sehingga tindakan tuan begitu keras?
Mari kita renungkan keadaan ini pula.

Suatu masa dahulu spekulator matawang, George Soros menuduh pentadbiran Malaysia di bawah tuan terdapat pelbagai penyelewengan, rasuah dan kronisme yang melibatkan angka berbilion-bilion, yang menyebabkan ekonomi dan matawangnya tidak sihat dan mudah diserang.
Itu juga kecaman Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke atas tuan.

Ia ada logiknya. Tetapi rakyat Malaysia ketika itu, tetap mempertahan tuan untuk menyelamatkan negara. Bayangkan jika rakyat berpaling tadah kerana terpengaruh dengan dakwaan tersebut, sudah tentu negara ini akan terpaksa tunduk kepada IMF seperti ancaman tuan.

Saya fikir, begitu jugalah sepatutnya tuan bertindak hari ini, jika benar Perdana Menteri menyeleweng sekalipun. Ini terpaksa dilakukan bukan kerana mahu menyelamatkan Perdana Menteri, tetapi untuk menyelamatkan negara sebagaimana rakyat suatu masa dahulu mahu menyelamatkan negara daripada campurtangan asing. Mereka bukan mahu menyelamatkan tuan, tetapi mereka terpaksa menyelamatkan tuan untuk menyelamatkan negara, walaupun mungkin tujuan tuan menyelamatkan negara adalah untuk menyelamatkan kroni-kroni tuan yang tergugat selepas matawang negara diserang.

Ironinya, apa yang tuan lakukan hari ini adalah sebaliknya.

Apabila saya membelek-belek semua ucapan Dato’ Seri Anwar yang dibukukan di bawah tajuk Pesan Buat Rakyat Malaysia (tanpa penerbit) dan membandingkan apa yang tuan lakukan hari ini, saya percaya tuduhan-tuduhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa tuan menyeleweng wang negara dan mengamalkan kapitalis-kronisme, adalah munasabah.

Ya, adalah tidak logik tindakan tuan begitu gila sehingga sanggup bersekongkol dengan musuh politik tuan dan mengundang campurtangan media-media asing, jika benar sekalipun Perdana Menteri bersalah dalam isu-isu yang tuan bangkitkan.

Saya tidak fikir, jika benar sekalipun tuduhan-tuduhan tuan ke atas Perdana Menteri, negara akan bankrap kerana tuduhan-tuduhan ke atas tuan dahulu adalah lebih berat dan hakikatnya negara tidak juga bankrap di bawah pentadbiran tuan.

Jika benar sekalipun Perdana Menteri bersalah, saya tidak percaya tuan sanggup meletakkan Perdana Menteri lebih bahaya daripada DAP kepada orang-orang Melayu berdasarkan prinsip tuan selama ini. Negara terlepas kepada cengkaman orang-orang bukan islam adalah lebih bahaya daripada ancaman yang tuan sebutkan hari ini.

Apakah yang sebenarnya tuan sembunyikan di sebalik tindakan tuan hari ini? Itu persoalan sebenarnya, kerana adalah tidak logik tuan menyerang Perdana Menteri sebegitu nekad dengan menubuhkan parti baru, mengundang campurtangan asing dan meletakkan rakyat dalam keadaan berpecah-belah sehingga mudah diperkotak-katikkan.

Orang yang waras tidak akan mempercayai dakwaan tuan untuk menyelamatkan negara kerana adalah jelas natijah tindakan tuan itu adalah sebaliknya.

Saya cuba mencantum semua teka-teki ini, mencari klu atau pertunjuk kepada permasalahan ini. Mari kita lihat kemungkinan-kemungkinan ini.

Apakah benar negara ini sedang dicengkam kapitalis-kapitalis yang menjadi kaya-raya ketika tuan menjadi Perdana Menteri dahulu seperti yang berlegar dalam minda ramai orang? Maksud saya, adakah kerana kapitalis-kapitalis ini gagal menguasai ekonomi negara seperti dahulu, maka mereka mengeksplotasi tuan untuk menentang kerajaan hari ini?

Ramai orang berkata yang tuan menggunakan dasar-dasar penswastaan untuk merompak kekayaan negara dengan membahagikan projek-projek besar negara kepada kroni-kroni tuan itu. Apabila Perdana Menteri seterusnya cuba menamatkan perkara ini, dengan menubuhkan 1MDB misalnya, kapitalis-kapitalis ini bertindak menyerang kerajaan dengan menggunakan orang-orang berpengaruh seperti tuan. Adakah benar begitu?

Maksudnya, tuan membangkitkan pelbagai isu ke atas Perdana Menteri untuk menarik sokongan rakyat kepada penentangan tuan, tetapi matlamat tuan adalah lain, iaitu menyelamatkan empayar perniagaan kroni-kroni tuan, yang mungkin juga tuan mempunyai kepentingan di dalamnya.

Saya mulai nampak dan faham kenapa kedudukan tuan begitu kuat dahulu walaupun terjadinya perpecahan selepas Datuk Seri Anwar dipecat. Ya, apa yang patut dirisaukan jika tuan dapat memegang undi orang-orang Cina melalui kapitalis-kapitalis tadi yang menggunakan persatuan-persatuan bangsa mereka.

Ya, tuan memberikan mereka kekayaan, dan mereka pula memberikan tuan sokongan politik. Benarkah begitu?

Masih saya ingat sebelum PRU12, sahabat baik tuan, Tun Daim Zainuddin pernah meramalkan Penang, Perak dan Selangor akan tumbang kepada pembangkang. Ia benar-benar berlaku. Adakah kerana Tun Daim tahu yang kapitalis-kapitalis Cina ini sudah mengarahkan orang-orang Cina yang ramai di negeri-negeri tersebut menyokong pembangkang?

Atas alasan yang sama, kerana pengaruh tuan dan kapitalis-kapitalis itulah antara faktor orang-orang Cina beralih kepada pembangkang hari ini.

Merumuskan semua ini, tuan telah menjatuhkan Perdana Menteri selepas tuan dan kini tuan mahu melakukan perkara yang sama ke atas Perdana Menteri seterusnya, adalah tidak salah jika saya beranggapan tuan melakukan semua ini kerana tuan tidak dapat memaksa Perdana-Perdana Menteri selepas tuan mengikut telunjuk tuan.

Dan apa kehendak tuan itu adalah apa yang dimahukan oleh kapitalis-kapitalis tadi.

Kekecewaan tuan tidak dapat menaikkan karier politik anak tuan, Dato Seri Mukhriz, juga dikatakan antara faktor tuan bertindak seperti hari ini. Ia ada asasnya. Apabila seseorang itu tidak mempercayai sesiapa lagi untuk menjaga kepentingannya, tentulah orang itu akan mengharapkan anaknya sendiri untuk melakukannya.

Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru, tuan.

Tuan boleh bercakap apa saja, tetapi saya sebagai rakyat biasa negara ini, saya tidak akan menelannya bulat-bulat.
Tuan boleh katakan 1MDB adalah suatu masalah besar negara, tetapi apa yang saya nampak 1MDB-lah yang menimbulkan masalah kepada kroni-kroni tuan sehingga tuan mahu menggagalkannya. Negara tidak akan bankrap kerana 1MDB dan Perdana Menteri, tetapi serangan-serangan tuanlah yang boleh menjahanamkan negara ini.

Tuan boleh menentang apa saja, tetapi tuan tidak boleh menentang pegangan tuan sendiri selama ini, yang kini tuan sedang lakukan. Hakikatnya tuan sedang ditentang atau menentang prinsip-prinsip perjuangan tuan sendiri suatu masa dahulu.

Apa yang saya nampak, krisis yang berlaku hari ini adalah perang kapitalis melawan kerajaan yang tidak tunduk kepada kemahuan mereka dengan menyelindungkan agenda ini di sebalik agenda menyelamatkan negara dan rakyat. Rakyat telah dikelirukan untuk memperjuang agenda kapitalis dengan meruntuhkan negara mereka sendiri supaya mudah tercampak ke dalam penguasaan kapitalis.

Maka adalah sepatutnya saya sebagai warganegara biasa negara ini bertindak menentang tuan untuk mengelakkan agenda-agenda kapitalis di belakang tuan itu berjaya.

Akhir kalam, saya ingin memetik kata-kata tuan sendiri, “orang asing dan media mereka tidak ada niat baik terhadap kita. Mereka bukan ingin tukar kerajaan ini dengan kerajaan yang lebih adil dan demokratik. Yang mereka ingin lihat ialah negara kita ini mengalami nasib buruk seperti yang berlaku kepada negara-negara tertentu, di mana kerajaan tidak mampu menstabilkan negara, menjamin keselamatan dan memulihkan ekonomi. Mereka hanya ingin melihat kerosakan dan masalah yang menimpa negara lain menimpa negara kita juga. Mereka ingin kita menjadi ‘client state’ boneka mereka.”

Surat Kepada Tun Dr Mahathir






6 Komen to SURAT TERBUKA KEPADA DR. MAHATHIR

  1. bangKano says:

    Saya bersetuju 100% setiap kata-kata yang dizahirkan oleh penulis ini…syabas kerana berani & sanggup menukilkan secara fakta & figura…!!!!

  2. bangKano says:

    Saya bersetuju 100% setiap dakwaan yang dizahirkan secara telus & tulus oleh penulis artikel ini…syabas kerana berani menegakkan kebenaran…!!!

  3. […] via SURAT TERBUKA KEPADA DR. MAHATHIR — MYKMU.NET […]

  4. sman says:

    Apa boleh buat selama ini kita sudah tertipu kerana meletak seorang yg langusng tak ada prisip dan intergriti sebagai PM kita selam 22 tahun.Kita orang Melayu ni mudah sangat percaya pada seseorang, sama saja dgn zaman kerajaan Melaka dulu yg mudah sangat percaya pada Si Kitul dan Mandaliar.Org seperti LKS lebih baik dari orang seperti Mahahtir,keran LKS kita memamng kenal sebagai musuh kita ,tapi orang seperti Mahahtir pandai berpura-pura sehingga mampu memperdaya kita selama 22 tahun dan berjaya menimbun kekayaan utk kroni dan anak pinak tak terkira banyaknya.

  5. yon76er says:

    Tun M Melayu Kapitalist……

  6. Inderasakti says:

    Nampaknya sejak 22 tahun pentadbiran tun m selama ni ada rahsia rahsia yang menyebabkan kedudukan bumiputera dan negara makin berada di hujung tanduk akan tetapi selepas peristiwa 13 mei dan DEB serta kehilangan Tun Hussien Onn baru saya ketahui bahawa sekarang DS Najib sekian lama telah bertungkus lumus menyelamatkan umno dari hasil keburukan madey selama bahkan lebih teruk dari apa yang dijangka. Sepatutnya ini lah melayu perlu agresif perlu lebih dominan dan perlu islam diperkasakan dan dan dijadikan ad-din dalam semua lapangan bidang selain pegangan agama. Kita tak usah peduli dgn kecaman luar yang mengadakan apa yang sesuai dgn mereka tapi hipokrit dgn cara kita. Seperti kes hot dogs auntie annie yang mendapat reaksi masyarakat antarabangsa hingga dikritik oleh golongan cendekiawan islam barat yang liberal pemikiran mereka. Sedangkan mereka tu hanya golongan ‘jaga tepi kain org tapi kain mereka sendiri yang kotor dan bau hapak. Kepada DS Najib teruskan perjuangan dan belalah rakyat yang memerlukan dan pastikan semangat patriotisme perlu diperkukuh kepada rakyat dgn membawa rakyat kembali kepada sejarah sebelum merdeka dan selepas merdeka dan kejayaan kita di mata dunia selain bersaing di mata dunia walau pun diperlekehkan oleh munafik dan musuh dalam selimut juga ejen ejen asing di belakang mereka. Teruskan perjuangan demi agama dan negara We Are No Retreat No Surrender!

Leave a Reply