Menu Utama

Logo Komunis di Pavilion Malaysia IIBF2016 Satu Salah faham – ITBM, DBP, Kota Buku

thukul-komunisKENYATAAN MEDIA BERSAMA ITBM, DBP dan PKB

“ITBM, DBP dan PKB Nafi Tuduhan Sengaja Malukan Negara”

1. Susulan insiden rampasan buku “Manifesto Komunis” terbitan Thukul Cetak di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (PBAI), Sabtu lalu, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Perbadanan Kota Buku (PKB) selaku ketua agensi delegasi penyertaan Malaysia hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab bahawa ia adalah insiden yang disengajakan bagi tujuan memalukan negara.

2. Ini merujuk kepada tuduhan berniat jahat yang kini viral di pelbagai media, apabila mengaitkan kami, tiga agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan serangan bermotifkan politik, kononnya membuat pakatan sulit dengan pembangkang dan dengan sengaja membawa penerbit buku Indie bagi tujuan menyebar idea komunis serta sosialis di Indonesia.

3. Apa sebenarnya berlaku hanya salah faham berpunca daripada ilustrasi logo Komunis pada kulit buku, sekali gus mengundang kehadiran pihak berkuasa Indonesia ke Pavilion Malaysia untuk merampas enam naskhah buku tersebut pada hari keempat pesta buku berlangsung.

4. Susulan rampasan, empat peserta delegasi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Thukul Cetak, Zulfikri Zamir Mohamad Munir selaku penerbit buku tersebut dan Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah selaku Ketua Penyelaras Pavilion Malaysia diminta hadir ke balai polis dan pejabat imigresen bagi tujuan soal siasat dan kemudian dilepaskan tanpa ditahan selepas kandungan buku tersebut disahkan bebas daripada sebarang elemen yang mendorong kepada doktrin tersebut.

5. Bagaimanapun, selaku ketua agensi delegasi Malaysia, Sakri mewakili ITBM dan DBP serta PKB mengambil tanggungjawab penuh menyelesaikan urusan dengan pihak berkuasa Indonesia, termasuk menyerahkan passport bagi jaminan membabitkan apa juga perkara berkaitan, sehingga ia selesai sepenuhnya dan dibenarkan pulang dengan penerbangan pada jam 8.30 malam waktu Indonesia, semalam (Isnin, 3 Oktober 2016).

6. Sehubungan itu, ITBM, DBP dan PKB ingin menjelaskan bahawa peranan kami dalam isu ini ialah bertindak sebagai moderator atau pemudah cara, selari fungsi kami sebagai penyelaras yang membawa delegasi 21 penerbit, sekali gus delegasi terbesar Malaysia ke sebuah pesta buku antarabangsa. Tanggungjawab kami bukan hanya mempromosikan peluang perniagaan industri, tetapi juga menyelesaikan apa juga kesulitan dihadapi wakil peserta.

7. Berkait ilustrasi kulit buku “Manifesto Komunis”, kami menerima penyertaan buku tersebut untuk pameran di Pavilion Malaysia berikutan tidak wujud sebarang halangan terhadap jualan buku itu di Malaysia, selain kandungannya yang disahkan sendiri pihak berkuasa Indonesia bahawa ia tidak bertentangan undang-undang negara mereka. Apa yang berlaku hanyalah ilustrasi logo yang asalnya dihasilkan atas tuntutan pemasaran, iaitu mengundang perhatian pembaca bagi ransangan jual beli – tanpa menyedari logo tersebut amat sensitif di Indonesia.

8. Pada masa sama, pihak Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) selaku penganjur PBAI juga sebelum ini tidak pernah memaklumkan kepada kami selaku agensi delegasi Malaysia berhubung perkara sensitif yang perlu diberi perhatian oleh setiap wakil peserta. Bagaimanapun, kami mengambil serius perkara ini dan sebagai tindakan serta merta, satu kajian bagi penyediaan SOP (Standard Operating Procedure) akan disediakan bagi tujuan persediaan untuk penyertaan di mana-mana pesta buku antarabangsa akan datang, termasuk mendapatkan senarai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang negara tuan rumah untuk edaran, perhatian dan tindakan setiap wakil peserta.

9. Sehubungan itu, kami dengan ini sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya cubaan jahat pihak tertentu untuk mengaitkan kami dengan apa juga usaha bermotifkan politik, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Tanggungjawab kami adalah kepada negara, dan hanya kepada negara tanggungjawab kami.



« (Previous News)



Satu Komen to Logo Komunis di Pavilion Malaysia IIBF2016 Satu Salah faham – ITBM, DBP, Kota Buku

  1. Ave Paradiso says:

    Untung tak kena keroyok dengan orang ramai di sana…orang Indonesia lagi lah pantang dengan simbol2 komunis berikutan peristiwa Gerakan 30 September 1965.

Leave a Reply