Menu Utama

Kadar GST kekal – Johari

Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada enam peratus sedia ada dalam Bajet 2017 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani mematahkan cakap-cakap bahawa kerajaan akan menaikkan kadar GST sebanyak dua peratus.

“Tidak benar (kenaikan),” katanya selepas pembukaan Persidangan dan Pameran Biz Dunia Islam 2016 di sini hari ini.

GST dilaksanakan di Malaysia pada 1 April tahun lalu.

Beliau berkata, kadar semasa adalah yang terendah di ASEAN.

Mengenai kemungkinan menambah lebih banyak barangan dalam senarai berkadar sifar dan dikecualikan GST, Johari juga berkata, kerajaan tidak akan membuat sebarang perubahan kepada senarai semasa walaupun mendapat permintaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, kajian oleh pihak berkuasa menunjukkan kira-kira 80-90 peratus barangan yang dipohon (ditambah dalam senarai berkadar sifar dan dikecualikan GST), sebahagian besarnya digunakan oleh industri.

Beliau menjelaskan bahawa, permintaan untuk memasukkan lebih banyak barangan dalam kategori ini hanya bertumpu kepada barangan pengguna yang dituntut semula industri menerusi pemulangan cukai.

Menyentuh Bajet 2017, Johari berkata, akan terus memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu kos hidup, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan.

“Kerajaan akan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan memberi manfaat kepada rakyat dan tidak berlaku ketirisan dan pembaziran dana,” katanya.

Johari juga yakin kerajaan akan dapat merealisasikan bajet seimbang menjelang 2020 meskipun berhadapan halangan ekonomi dunia. – BERNAMA






Satu Komen to Kadar GST kekal – Johari

  1. […] via Kadar GST kekal – Johari — MYKMU.NET […]

Leave a Reply