Menu Utama

Dana Mudahcara Teraju Bantu Lonjak Syarikat Bumiputera – Najib

Penubuhan Dana Mudahcara oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah membantu syarikat Bumiputera berkembang sehingga dapat bekerjasama dengan syarikat antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelaburan syarikat Bumiputera dalam syarikat besar juga akan dapat membantu meningkatkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Tanpa dana itu pelaburan tidak akan jadi kenyataan, namun apabila ada platfom seperti ini, kita hendak pastikan kesannya juga dapat dirasai oleh rakyat dan negara. Kita tidak mahu hanya kilang sahaja yang mengaut keuntungan.

“Apabila ada pelaburan langsung asing (FDI), ia membantu mengembangkan ekonomi tempatan dan beri peluang kepada rakyat dan syarikat tempatan, saya kira pelaburan ini akan beri keuntungan yang baik,” katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan kemudahan gudang pemasangan tempatan Mercedes-Benz yang dibina oleh syarikat Bumiputera, Nilai Mahir (M) Sdn Bhd (NMSB) di Taman Automotif, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NMSB Al-Meiraj Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Datuk Seri Jebasinggam Issace John, Pengarah Kanan Teraju Megat Mohd Yatim Megat Hamid dan CEO Mercedes-Benz Dr Claus Weidner.

NMSB, anak syarikat Kumpulan Harmodal Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada 19 Jun, 1989, menerima Dana Mudahcara berjumlah RM4.76 juta bagi tujuan pembinaan itu.

Najib bagaimanapun menegaskan, inisiatif kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera tidak bermakna kerajaan tidak membantu ekonomi kaum lain kerana matlamat utama adalah untuk melihat sebuah negara yang berkongsi kekayaan secara saksama.

“Kita juga mahu melihat kawasan yang dahulunya kurang maju seperti Pekan yang hari ini sudah bertukar wajah menjadi kawasan yang pesat membangun, lebih-lebih lagi apabila kita mengklasifikasikannya sebagai hab automotif untuk negara.

“Bertitik tolak daripada keputusan itu, kita lihat bagaimana pelbagai syarikat mula bertapak kukuh dan menarik pelabur-pelabur luar negara dengan jenama yang amat tersohor seperti Mercedes-Benz untuk bertapak di sini,” katanya.

Perdana Menteri menambah kerancakan ekonomi itu tidak akan berlaku tanpa bantuan kerajaan yang telah menyusun pelbagai dasar dengan begitu rapi dan memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan rapi.

“Kita sebagai sebuah kerajaan bukan hanya pandai bercakap tetapi boleh buat, melaksanakan sebagai sebuah kerajaan. Inilah yang patut dinilai rakyat. Bukan siapa yang boleh cakap sahaja, tapi siapa yang boleh buat perubahan,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama NMSB dengan Mercedes-Benz, Najib menyifatkannya sebagai pencapaian amat baik dan akan memberi keuntungan jangka panjang memandangkan Mercedes-Benz merupakan sebuah jenama yang amat kukuh dan dikenali di peringkat antarabangsa.

“Kalau nak kira satu jenama yang berjaya, amat sukar untuk menandingi Mercedes-Benz yang telah berjaya sebagai sebuah kereta idaman, jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada kerjasama ini,” katanya.

Sementara itu, Al-Meiraj berkata syarikat tersebut tidak mampu melaksanakan projek berkenaan tanpa sokongan dan kerjasama daripada agensi Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Pahang, Teraju dan ECER.

“Menerusi geran yang disumbangkan Teraju, kami mampu melaksanakan projek ini dengan kos yang lebih rendah. Geran yang diterima disalurkan untuk meringankan perbelanjaan modal infrastruktur.

“Ini secara langsung memberi manfaat kepada gudang ini dengan penjimatan struktur secara keseluruhan dan sekali gus membantu menikmati pengurangan overhed sewa pajak. Justeru, kehadiran di sini amat berbaloi dan memberi manfaat kepada ekonomi setempat,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya kemudahan ini, peluang dan penyertaan vendor, kontraktor dan perunding Bumiputera terbuka luas dan syarikat itu akan memilih usahawan yang berkelayakan untuk menjadi sebahagian daripada ‘winning team’ projek berkenaan.

Kemudahan gudang seluas 185,000 kaki persegi itu dibangunkan bertujuan untuk simpanan komponen dan bahagian-bahagian kereta, kata Al-Meiraj.

— BERNAMA






3 Komen to Dana Mudahcara Teraju Bantu Lonjak Syarikat Bumiputera – Najib

  1. manjoi says:

    Alhamdulillah, terbit peluang baru untuk merebut rezeki berniaga kurniaan Allah, hasil titik peluh UMNO. Bangkitlah kita semua, jihad ekonomi ini sangat penting! Di peringkat kerajaan dah banyak usaha. Tinggal lagi sekarang untuk memupuk daya saing ummah, komuniti dan bangsa Melayu keseluruhannya. ‘Haiyya Alal Falah’, jom kita semua!

  2. Inderasakti says:

    Yang ni macai macai dedaktun cam azmi hantu karat dan lain2 tu tak nak kaitkan dgn rm2.6 billion ke? Setan bisu?

  3. […] via Dana Mudahcara Teraju Bantu Lonjak Syarikat Bumiputera – Najib — MYKMU.NET […]

Leave a Reply

Threesome