Menu Utama

Buli: Hukuman 3 Bulan Gantung Sekolah Macam ‘Cuti Semester’…

buli

Baru-baru ini Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan pelajar yang terlibat dan didapati bersalah membuli di sekolah supaya digantung dari pembelajarannya di sekolah selama setahun.

Belum pun diputuskan dan baru hanya di peringkat cadangan, tapi sudah ada yang membantah cadangan tersebut. Katanya hukuman itu ‘terlalu lama’ dan ‘bimbang tentang nasib serta masa depan pelajar yang digantung sekolah’ itu.

Tan Sri Lee Lam Thye misalnya telah mencadangkan supaya hukuman itu dikurangkan kepada 3 bulan sahaja. Kata beliau, tempoh setahun itu terlalu lama dan merugikan masa depan pelajar yang dihukum itu.

Penulis amat menghormati Lee Lam Thye. Beliau yang penulis kenali merupakan seorang aktivis yang sangat adil, kuat bekerja dan sering memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Hormat penulis pada segala jasa beliau itu.

Namun begitu, penulis agak kurang bersetuju dengan pandangan beliau itu dan lebih bersetuju dengan hukuman gantung sekolah untuk tempoh setahun bagi pelajar yang didapati bersalah kerana membuli.

Pada pandangan penulis, 3 bulan digantung sekolah tidak akan memberi sebarang kesan pada pelajar terbabit. Hukuman seperti itu pada penulis bagaikan memberikan ‘cuti semester’ secara percuma kepadanya. Malah mungkin pelajar itu akan lebih seronok menerima hukuman itu dan lebih giat membuli.

Pada hemat penulis, mendidik anak itu bermula dari rumah. Bagi ibu bapa yang mementingkan pendidikan anak-anak mereka, maka sudah tentu mereka akan ‘terpukul’ sekiranya anak mereka didapati nakal membuli pelajar lain di sekolah hingga lebam berdarah-darah dan digantung sekolah selama setahun.

Mereka akan ‘tersedar setelah terhantuk’ dengan hukuman tersebut. Mungkin disaat itu mereka baru ‘kenal’ perangai sebenar anak mereka yang bagaikan ‘malaikat di rumah’, tapi bersifat ‘buas’ di luar rumah.

Ia bagaikan ‘serampang dua mata’. Malu dengan sikap sebenar anak dan bimbang tentang masa depan anak. Jadi, secara tidak langsung, mereka yang bimbang hukuman itu berlaku pada anak-anak mereka, maka sudah tentulah mereka akan lebih mengawasi, mendekati dan lebih ambil peduli tentang keperibadian anak-anak mereka.

Malah, bimbang anak-anak mereka dihukum dengan hukuman seberat itu, maka mungkin ada yang akan memantau lebih ketat aktiviti anak-anak dan lebih mendekati anak masing-masing serta menyelami ‘phsycology’ diri anak-anak mereka.

Bukankah itu lebih baik dari terus bersikap lepas tangan kepada guru-guru mengenai didikan anak sendiri? Baru jentik sedikit, sudah mahu dakwa di mahkamah? Baru cubit sedikit, sudah serang guru dengan parang? Bagaimana hendak hentikan budak sedang membuli? Dengan belaian kasih sayang?

Mungkin ada yang memandang mudah menjadi guru di zaman ini. Jika setahun dua baru jadi guru, mungkin boleh tahan dengan kerenah ratusan murid. Tapi jika 15 tahun atau 20 tahun bertemu pelajar yang kurang didikan, kurang ajar dan ‘buas’ membuli sampai patah tulang riuk kawan, bagaimana?

Bila berlaku sebarang insiden seperti buli, maka ada yang menuding jari pada guru. Kononnya guru tidak menghalang dan sekolah tidak peduli pada anak-anak mereka. Tidak kira anak mereka membuli atau jadi mangsa buli, guru dan sekolah akan dipersalahkan. Kononnya berlaku dalam kawasan mereka berkuasa.

Mendisiplin anak tidak bermula di sekolah. Ia bermula dirumah. Baik disiplin atau akhlak yang diterapkan di rumah, maka baiklah anak atau pelajar itu di sekolah. Malah kalau pelajar itu ke mana sekalipun, kebiasaannya dia akan berkelakuan baik dan tidak timbulkan masalah.

Hukuman dicipta bukanlah untuk menjahanamkan seseorang. Malah ia merupakan satu mekanisma memberi pengajaran kepada pesalah dan individu di sekelilingnya. Mungkin bunyi dan bayangan hukuman itu kelihatan ‘kejam’, tapi hasilnya sangat positif kepada ‘budak mentah’ yang baru hendak kenal erti hidup.

Justeru itu, saya berpandangan bahawa gantung sekolah setahun lebih relevan dikuatkuasakan Kementerian Pendidikan bagi menangani masalah buli di sekolah. Dalam masa yang sama, usaha mendidik pelajar disiplin di sekolah perlu dipertingkatkan lagi sebagaimana yang dicadang Tan Sri Lee Lam Thye.

Sudah cukup baik untuk digantung sekolah selama setahun. Pelajar yang dihukum itu masih mampu ‘pulang ke pangkal jalan’ melalui didikan lebih ‘intensif’ dari rumah. Jika dibuang sekolah, bagaimana? Baru padan muka?






2 Komen to Buli: Hukuman 3 Bulan Gantung Sekolah Macam ‘Cuti Semester’…

  1. Inderasakti says:

    Seeloknya murid bermasalah ni patut di hantar awal awal lagi ke khidmat negara baru kenal tanggungjawab pada negara

  2. […] via Buli: Hukuman 3 Bulan Gantung Sekolah Macam ‘Cuti Semester’… — MYKMU.NET […]

Leave a Reply

Threesome