Menu Utama

#Bajet2017 – Bajet untuk kesejahteraan rakyat

KENYATAAN DATUK ABDUL RAHMAN DAHLAN
BAJET 2017

1. Kerajaan – walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah ketidaktentuan harga komoditi, ketidaktentuan berikutan referendum BREXIT, pertumbuhan sederhana negara China akibat usaha pengimbangan semula dan ketegangan geopolitik terutamanya di Timur Tengah – terus berupaya untuk merangka sebuah bajet yang bukan hanya pragmatik dari segi kewangan, tapi juga berteraskan kepentingan rakyat.

2. Bajet 2017 adalah bukti komitmen Kerajaan untuk memastikan setiap asas ekonomi negara mampu bertahan dan kukuh.

3. Kadar inflasi 2017 – di mana jangkaan para pakar ekonomi meramalkan di paras 3.1% hingga 3.2% – tetapi bajet yang dibentangkan sebentar tadi kita menjangkakan pada tahun depan kadar inflasi negara hanya 3%.

4. Walaupun pertumbuhan KDNK dunia menurun daripada 3.2% pada 2015 kepada 3.1% pada 2016, pertumbuhan ekonomi negara kita kekal stabil di paras 4.1% untuk tahun tersebut. Kerajaan yakin bahawa sasaran pertumbuhan antara 4 hingga 4.5% akan dapat dicapai.

5. Ekonomi Malaysia terus berkembang secara lestari di mana ukuran Purchasing Power Parity (PPP) negara membuktikan bahawa Malaysia kini adalah sebuah negara upper middle income, mengatasi Turki, Mexico dan Brazil. Ini bermakna, menurut KDNK, PPP per kapita rakyat Malaysia telah meningkat daripada USD23,100 pada 2012 kepada USD26,891 pada 2015.

6. Begitu juga dengan penarafan negara oleh tiga buah agensi antarabangsa iaitu Fitch, Moodys dan Standard & Poors jelas menggambarkan keutuhan fiskal negara yang mampan. Agensi penarafan Fitch memberi penarafan A- kepada negara berbanding Filipina (BBB-), Thailand (BBB+) dan Vietnam (BB-). Penarafan Malaysia ini sama dengan kelompok negara yang saiz ekonominya jauh lebih besar seperti Korea Selatan (AA-), China (A+), Taiwan (A+) dan Jepun (A).

7. Kadar pengangguran negara kekal rendah pada paras 3.4%, mencerminkan guna tenaga penuh. Sesungguhnya, Malaysia telah jauh ke hadapan dalam aspek membasmi kemiskinan apabila kadar 49% yang direkod pada tahun 1970 telah berkurangan mendadak kepada hanya 0.6% pada 2014. Ini bermakna, kita semakin hampir pada kadar kemiskinan sifar.

8. Pelaburan asing juga memberangsangkan. Negara telah mencatat pelaburan asing melebihi RM28 bilion yang diluluskan bagi suku pertama 2016. Ini adalah peningkatan sebanyak 32% berbanding suku pertama 2015. Dalam tempoh yang sama, pelaburan domestik pula mencecah lebih RM60 bilion. Kerajaan turut mensasar pelaburan swasta berkembang pada 8.1% iaitu berjumlah RM230 bilion pada 2017.

9. Dalam usaha memperkasakan syarikat-syarikat Bumiputera, dana mudah-cara berjumlah RM500 juta disediakan menerusi TERAJU. Bagi meningkatkan kebolehcapaian syarikat-syarikat Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa, RM100 juta turut diperuntukkan.

10. Prestasi mewujudkan peluang pekerjaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 telah mencapai sasaran apabila kita berjaya mewujudkan 1.8 juta peluang pekerjaan. Manakala Rancangan Malaysia Ke-11 pula mensasarkan 1.5 juta peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan.

11. Tuduhan bahawa negara sedang menghadapi krisis peluang pekerjaan adalah tidak berasas. Apa yang sedang kita hadapi sebenarnya adalah salah padanan kemahiran bidang kerja, atau mismatch of skills. Dan, isu ini akan ditangani secara holistik melalui Bajet 2017.

12. RM4.6 bilion diperuntukkan kepada institusi-institusi TVET untuk memperkasakan kapasiti pendidikan TVET dalam menghasilkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan industri. Syarikat swasta diberikan potongan cukai dua kali jika mereka menyediakan Structured Internship Programme untuk pelajar-pelajar di bawah program TVET.

13. Bajet 2017 adalah pelan holisik yang mendakap nilai dan aspirasi rakyat Malaysia; yang merintis jalan ke arah peluang ekonomi yang lebih mantap, rangkaian sekuriti terbaik untuk keluarga kita dan taraf hidup lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelum ini. Bajet 2017 adalah simbol usahasama koletif Kerajaan dan rakyat demi kekuatan, ketahanan dan komitmen sebuah negara berdaulat.

DATUK ABDUL RAHMAN DAHLAN
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

21 OKTOBER 2016.






Satu Komen to #Bajet2017 – Bajet untuk kesejahteraan rakyat

  1. itsme says:

    Cuma brp keratkah drpd kita semua yg bergaji @ berpendapatan RM11K sebln???
    Hak ni aku rasa tak brp nak berpihak dibumi nyata.. hehe

Leave a Reply

Threesome