Menu Utama

Tiada arahan penyeragaman gred pemutuan padi

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan penye­ragaman gred pemutuan padi sebanyak 20 peratus sehingga menimbulkan keresahan hampir 1,000 pesawah di Sabak Bernam, Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kaedah pemutuan gred padi ditentukan oleh para pembeli sendiri dengan melihat beberapa faktor antaranya kualiti padi, benih yang digunakan dan cuaca.

“Setelah mendengar rungutan daripada para pesawah, saya mengesyaki terdapat unsur pakatan dalam kalangan pembeli dengan sama-sama menaikkan gred pemutuan padi daripada 17 peratus kepada 20 peratus bermula bulan ini.

“Pihak kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya dakwaan itu didapati benar kerana jika keadaan ini berterusan, ia akan merugikan para pesawah kerana hasil tuaian padi akan menjadi lebih murah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima nota bantahan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi dan mengadakan perbincangan selama sejam bersama wakil pesawah berhubung isu kenaikan gred pemutuan padi sebanyak 20 peratus itu.

Menurut Ahmad Shabery, beberapa langkah susulan akan dibuat pihaknya termasuk me­lakukan siasatan segera dan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) dalam menentukan gred pemutuan padi.

Katanya, kerajaan memandang serius terhadap isu tersebut kerana ia boleh menjejaskan pendapatan para pesawah yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

“Masalah ini dilihat menyukarkan usaha kerajaan meningkatkan pendapatan pesawah seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2016 iaitu penambahan subsidi padi sebanyak RM248.10 bagi setiap tan metrik kepada RM300 bermula tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Budiman menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat kerana sudi mendengar rintihan dan masalah yang dihadapi para pesawah di Sabak Bernam.

Katanya, kerajaan digesa mewujudkan satu SOP khas bagi menentukan gred pemutuan padi supaya nasib para pesawah lebih terbela bagi mengelakkan mereka daripada mengalami kerugian.

Utusan






Satu Komen to Tiada arahan penyeragaman gred pemutuan padi

  1. Pemerhati says:

    hanya berlaku di Selangor dibawah pemerintahan pakatan haram/pakatan retard/pakatun, patut le

    hehehehe

Leave a Reply

Threesome