Menu Utama

Terima kasih pecacai poster

imageTerima kasih kepada pihak yang mempromosikan pemimpin kerdil seperti saya melalui poster di atas untuk membersih air muka tokoh-tokoh besar mereka atas pelbagai fitnah berkaitan dana RM2.6b yang telah disebarkan sebelum ini.

Apalah sangat kenyataan saya itu jika dibandingkan dengan fitnah dan syak wasangka tak masuk akal dan berniat jahat terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkaitan dana politik sumbangan keluarga diraja Arab Saudi itu.

Kenapalah mereka tidak mahu membandingkan kenyataan Peguam Negara itu dengan tohmahan-tohmahan pihak lain yang tersebar luas di akhbar, portal dan laman sosial pro-pembangkang sebelum ini.

Antara kenyataan lain yang pernah dicanangkan adalah kononnya “wang dari tabung 1MDB milik rakyat berjumlah RM2.6b disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib”, “Najib mendepositkan sebahagian besar daripada RM2.6b ke bank Singapura”, “Najib dan UMNO-BN menggunakan wang RM2.6b milik 1MDB untuk membeli undi dalam PRU13”, “wang 1MDB sebanyak RM2.6b yang masuk dalam akaun peribadi Najib adalah rasuah terbesar negara”, “Pegawai kanan SPRM ditukar ke jabatan lain bertujuan menutup skandal wang 1MDB berjumlah RM2.6b” dan banyak lagi fitnah pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan Najib.

Sewajarnya kenyataan-kenyataan tersebutlah yang pecacai ini patut bandingkan dengan keputusan Peguam Negara dalam isu dana RM2.6b itu kerana tuduhan dan fitnah di atas dilontarkan oleh pakar-pakar manipulasi politik negara yang ternama, berbanding pemimpin tak popular seperti saya. Ramai yang terkantoi dan cuba menahan malu berikutan kenyataan Peguam Negara itu.

Kenyataan saya yang diviralkan adalah berdasarkan temubual seorang wartawan melalui telefon ketika saya menunggu pesawat pulang dari Tawau ke Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2015.

Saya ke sana kerana menemankan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Dato’ Fatmi Che Salleh merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tawau. Pada malam sebelumnya, saya menghadiri majlis makan malam UMNO Bahagian Tawau dan menyampaikan ceramah isu semasa.

Hari yang sama juga, iaitu pada 15 Ogos, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Semporna yang diterajui Dato’ Seri Shafie Afdal, tak jauh dari Tawau.

Beberapa perkara yang disiarkan tidak sama seperti apa yang telah saya nyatakan kepada wartawan berkenaan. Saya tidak mengeluarkan perkataan “yakin wang RM2.6b telah dibelanjakan sepenuhnya untuk UMNO”. Sebenarnya apa yang saya katakan adalah tidak mustahil wang itu telah dibelanjakan untuk kempen BN menghadapi PRU13 berdasarkan sikap amanah Najib menunaikan tanggungjawab yang dipikul.

Selaku Pengerusi BN, Najib bukan sahaja menjaga UMNO, tetapi juga parti-parti komponen lain bagi memastikan jentera pilihanraya berjalan lancar. Itu belum diambil kira sebilangan besar NGO yang juga mengharapkan sumbangan dana daripada beliau.

Bukan perkara mustahil dana politik sebelum ini diselewengkan oleh pemimpin parti politik atau individu kepercayaan mereka samada dari parti UMNO dan komponennya, mahupun parti-parti pembangkang terutamanya DAP, PAS dan PKR.

Dalam kes UMNO, tidak hairan kenapa keluarga diraja Arab Saudi mahukan supaya dana itu disalurkan terus ke akaun peribadi Najib, atas keyakinan mereka terhadap sikap amanah beliau. Mungkin sebelum ini mereka pernah berurusan perkara yang sama dengan pemimpin lain, dengan menyalurkan dana melalui individu perantara yang akhirnya lesap entah ke mana.

Kepada pencipta poster di atas, cubalah cari wajah tokoh-tokoh besar dan pakar-pakar manipulasi berserta fitnah-fitnah terhadap Najib yang telah mereka sebarkan berkaitan isu dana RM2.6b untuk diposterkan. Tentu ramai yang akan gelak terguling-guling.

Apapun, terima kasih kerana sudi mempromosikan pemimpin kerdil seperti saya.

Khusairi Talib 29 Januari 2016
http://www.khusairitgmalim.blogspot.my






4 Komen to Terima kasih pecacai poster

  1. rakyat smart says:

    Satu lagi fitnah pencacai ni cakap Zahid jumpa hantu sebab Raja Abdullah mati hanya berdasarkan kenyataan “Zahid meet with donor’s representatives” masa lepas Raja Abdullah mangkat. Lepas tu nak bodohkan orang dengan pertikaikan penderma atau penderma2. Padahal perkataan yang digunakan representatives iaitu wakil.

  2. bajak says:

    laen kali bile org suh tgu smpi siasatan selesai br la bercakap..skrg ni ramai sgt mcm ahmad maslan…tp suke kutuk2 ahmad maslan…xsedar perangai pn lebih kurg same..hahaha…

  3. dkds says:

    Dah terdesak nak burukkan orang , terpaksalah korek kenyataan lama.

  4. rakyat smart says:

    Malaysiakini quote artikel ni mykmu. Tapi spin macam biasa.

Leave a Reply