Menu Utama

RM2.6 Bilion Sudah Selesai, DAP Dan Lain-Lain Bila Lagi?

Mohamed Apandi Ali

Hari ini Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membuat satu sidang media berhubung RM2.6 yang selalu disebut-sebut puak pembangkang. Menyimpul kenyataan beliau secara ringkas, tiada sebarang unsur jenayah berhubung dana dari Arab Saudi tersebut.

Penulis yakin, semua pihak ada membaca kenyataan media dan laporan berhubung dana yang diterima Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak itu. Melihat pada reaksi pihak pembangkang terhadap kenyataan Peguam Negara itu, kita dapat simpulkan mereka tidak berpuas hati.

Apakah perkara sebenar yang mereka mahukan? Kenyataan bagaimana yang mereka mahu Peguam Negara katakan? Apakah sebenarnya yang mereka harapkan dari hasil segala siasatan pihak berkuasa yang bebas dari kuasa eksekutif dan pentadbiran itu?

Pada pandangan penulis, mereka mahu dengar perkara yang menyedapkan halwa telinga mereka sahaja. Mereka mahu kenyataan yang boleh dijadikan modal politik untuk memburukkan Najib dan BN di mata rakyat.

Mungkin mereka mahu mendengar kononnya dana RM2.6 bilion itu Najib berikan pada isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor untuk membeli-belah barangan berjenama mewah di London, Paris, New York atau Negeri Sembilan.

Dr.-Mohd.-Zuhdi-Marzuki

Mungkin juga mereka mahu dengar kononnya Najib belanjakan duit berkenaan untuk kepentingan peribadi dan keluarganya melancong ke eropah bagaikan raja menggunakan jet mewah, terbang ke Switzerland, New Zealand, Netherland dan Cameron Highlands.

Mungkin juga mereka mahu dengar dari Peguam Negara kononnya waran tangkap terhadap Najib dan keluarga beliau sudah berada di tangan dan mereka akan ditahan serta dipenjara seumur hidup di penjara bawah tanah di Guantanamo.

Pendek kata, apa yang diharapkan oleh puak-puak pembangkang itu adalah perkara yang negatif dan menunjukkan kesalahan telah dilakukan oleh Najib. Itu harapan dan kemahuan mereka.

Namun setelah diberikan 3 kertas hasil siasatan berhubung dana RM2.6 bilion, dibentangkan perkara yang benar, berfakta, berbukti dan berkreadibiliti, serta diputuskan bahawa tiada sebarang kesalahan dilakukan, maka sudah tentulah mereka tidak berpuas hati.

Penulis faham kehendak pembangkang di Malaysia. Mereka mahu perkara negatif saja tentang Najib dan kerajaan BN. Di negara kita, puak pembangkang sajalah yang ‘paling baik, tiada yang baik melainkan yang baik-baik belaka’.

Mohamed Razali

Pembangkang ‘tidak pernah’ terima wang derma? DAP sudah saman Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki? Parti itu sudah saman bekas ‘komrad’ mereka, Mohamed Razali Abdul Rahman, yang dikatakan pernah bertugas sebagai Pegawai Khas Lim Guan Eng?

Tempohari bersungguh-sungguh benar penulis melihat DAP mengancam untuk mengambil tindakan saman terhadap mereka. Atau selepas berakhirnya kes dana RM2.6 bilion ini maka semua agensi pihak berkuasa perlu bertumpu menyiasat kes DAP pula?

Tapi jika DAP disiasat SPRM, penulis meminta supaya para pegawai penyiasat itu tidak sesekali membawa mana-mana saksi kes ke premis SPRM terutama ke ibu pejabat mereka. Penulis bimbang sangat jika kes seperti mendiang Teoh Beng Hock berulang lagi.

Bukanlah penulis berburuk sangka pada SPRM, sebaliknya terdengar juga desas-desus bertiup kencang yang mengaitkan insiden itu dengan ‘samseng tunggu diluar pagar’, ‘kongsi gelap tunggu depan rumah’ dan ada pula katanya ‘ada samseng yang begitu dan begini’. Biarpun tidak terbukti sahih, penulis cuma mengambil sikap berhati-hati saja tentang kemungkinan tersebut.

Wolfowitz

Pada pandangan penulis, kes dana RM2.6 bilion itu sudah selesai. Tiada lagi dakwa-dakwi, muktamad. Lagipun, parti politik manalah yang tidak pernah menerima suntikan dana dari pelbagai pihak?

Cuma yang menjadi persoalan yang tidak perlu ditanya ialah ‘dari mana’, ‘dari siapa’, ‘berapa banyak’, ‘kepada siapa’, ‘bersyarat atau tidak’ dan beberapa tanda tanya lain. Namun parti politik manakah yang benar-benar berani untuk mendedahkan semua maklumat itu kepada umum?

Najib pernah bercadang untuk didedahkan segala maklumat semua parti politik di Malaysia berkenaan persoalan-persoalan tersebut ketika menjawab tohmahan RM2.6 bilion. Namun percaya atau tidak, DAP adalah antara paling kuat membantah.

Mengapa bantah agaknya? Takut? Bimbang rahsia terdedah? Jika UMNO berani, mengapa pembangkang takut agaknya? Mahu terus rahsiakan sumber dana dari rakyat? Takut bocor? Rasanya Bank Negara ada segala maklumat sulit berkenaan bukan? Apa kata jika digubal undang-undang untuk didedahkan kesemuanya?

Dari mana DAP, PKR, Amanah dan PAS terima dana? Israel? China? Iran? Siapa penyumbang dana terbesar? Soros? Wolfowitz? Tokoh komunis? PAP? Agen Khomeini? Berapa bilion dolar AS agaknya? Kepada siapa disalurkan? Bagaimana cara dan kaedahnya? Pasti menarik dan gamat!

Tapi itulah yang ditakuti dan dibantah pembangkang yang ‘menyalak’ tentang RM2.6 bilion setiap hari. Bila dikemukakan hasil siasatan, mereka tidak mahu terima hakikat tiada sebarang kesalahan berlaku dari sudut perundangan negara.

Begitulah perangai pembangkang di Malaysia, memalukan bukan?






3 Komen to RM2.6 Bilion Sudah Selesai, DAP Dan Lain-Lain Bila Lagi?

  1. system baru says:

    Abuya Dan rakan angkatan dengan pasti tak mahu menjawabnya

  2. ayam says:

    Unbelievable…apa2 saja la gay..terkedu aku

  3. azmi says:

    Ayam…sebagai rakyat malaysia kita kenalah letakkan kepercayaan 110% kepada cakap Peguam Negara baru ni…
    sebagai umat islam kena lah terima bahawa ini semua Qada dan Qadar…KAN KAN KAN?..
    he he he…

Leave a Reply