Menu Utama

PM beri komitmen perangi keganasan, ekstremisme

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak di negara ini bahawa ancaman keganasan terhadap keamanan dan keharmonian wujud dalam pelbagai bentuk.

Perdana Menteri berkata, hakikat itu dibuktikan melalui insiden pengeboman di Jakarta, Indonesia baru-baru ini selain di Istanbul, Turki dan Paris, Perancis yang telah menggemparkan seluruh dunia.

Menurut beliau, tiga insiden tersebut menunjukkan bahawa nikmat keamanan dan keharmonian merupakan komoditi yang tidak ternilai serta tidak boleh dipandang remeh.

“Sebagai Perdana Menteri, saya memberi jaminan akan berusaha habis-habisan dalam menentang sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk kita bekerjasama secara erat bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara,” katanya ketika berucap merasmikan Wisma Huazong di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Paul Low Seng Kuan serta Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang dan Presiden Huazong, Tan Sri Pheng Yin Huah.

Sementara itu, Najib memberitahu, setiap rakyat mesti bersikap saling menghormati antara satu sama lain termasuk ketika berinteraksi melalui media sosial.

Beliau menambah, mereka seharusnya menjadi warganegara yang menghormati undang-undang serta menyumbang ke arah usaha memperkukuhkan asas pembinaan sebuah negara yang bersatu padu, adil dan progresif.

“Kita tidak sepatutnya menggunakan media sosial untuk memperlekehkan dan mempersendakan pihak lain,” jelasnya.

Perdana Menteri turut menyatakan komitmennya untuk meneruskan usaha membangunkan negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama ini.

“Sikap saling menghormati adalah penting untuk memastikan matlamat itu dapat dicapai,” ujarnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berpandangan, tahun ini adalah agak mencabar bagi kerajaan, komuniti perniagaan dan rakyat.

Beliau menjelaskan, kejayaan dalam mengharungi cabaran tersebut bakal ditentukan oleh kesediaan semua pihak bekerjasama bagi mengatasi segala kesulitan yang dihadapi.

“Kadang-kadang kita tiada pilihan kerana keputusan perlu dibuat. Namun, saya percaya kita boleh mengatasi segala kesukaran,” katanya.

Utusan






Leave a Reply

Threesome