Menu Utama

Pas seharusnya mendahului 
usaha wahdah

NAMPAKNYA sejak Multaqa Alumni Al-Azhar berlangsung, pandangan dalam kalangan kepemimpinan Pas semakin sinis dan bercelaru terutama dalam kalangan timbalan dan naib-naib presidennya. Pas seharusnya mendahului usaha wahdah ini bukannya prasangka yang mendalam dan tidak melihat kepentingan umat sesuatu yang paling utama.

Sebagai badan siasah Islam, kepemimpinan Pas harus lebih peka dengan isu kesatuan ummah kerana dalam konteks Malaysia, kita tidak mahu mengulangi krisis yang berlaku di Asia Barat. Tanggapan penulis seolah-olah UMNO ini berada dalam ungkapan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dalam kenyataannya baru-baru ini menyatakan sekiranya Parti Amanah Negara (PAN) bertanding di semua kerusi di Kelantan, Pas akan menghadapi masalah.

Penulis pernah menulis dalam ruangan ini meramalkan sekiranya pertandingan berlaku di tiga penjuru harapan UMNO untuk menang adalah tinggi kerana undi PAN diambil daripada undi Pas dan penyokongnya juga. Ini congak politik yang paling mudah.

Pas adalah sebuah parti politik. Pertimbangan untuk Pas bekerjasama dengan UMNO adalah pertimbangan politik di samping kerjasama biasa. Pas bukan badan dakwah begitu saja. Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) malah menjadi partisan politik Amanah. Kerjasama politik bagi UMNO dan Pas adalah sesuatu yang logik kerana ini bakal menggubal dasar dan melaksana dasar bukan hanya selama ini menerima manfaat dari pelaksanaan dasar.

Walaupun kerjasama politik UMNO–Pas bergantung kepada syura Pas tetapi niat untuk bekerjasama bukanlah sesuatu yang jelik dan tidak syarie. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sangat memahami ini. Malangnya, timbalan presiden dan naib-naib presidennya ternyata mempunyai pandangan yang berbeza dan sinis sekali.

Mujur belum ada pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan semangat silaturahim. Penulis berdoa supaya ini tidak berlaku walaupun penulis sedar bahawa orang UMNO juga ada perasaan dan hati. Tetapi kesabaran dan usaha yang berterusan terutama dari pihak ketiga harus berlaku.

Jangan sampai warga umat mengambil kesimpulan bahawa Pas terlalu berkira-kira untuk wahdah. Atau UMNO mengajak Pas bekerjasama kerana UMNO sudah terlalu lemah. Realiti politik tidak sedemikian. Hakikat yang ada Pas sudah meninggalkan Pakatan Rakyat dan Pas masih mahu bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor. Pakatan Rakyat menjadi semakin lemah tanpa Pas.

Apakah Pas rasa khilaf meninggalkan DAP dan tidak bersedia meninggalkan keenakan kuasa di Selangor kerana sebab-sebab tertentu dan secara tidak langsung masih bekerjasama dengan DAP dan membuat keputusan Exco atau akhirnya Pas akan berkawan dengan PAN semula walaupun PAN dituduh sebagai pengkhianat.

Mengapa pengalaman berpolitik dengan UMNO pada tahun-tahun 70-an masih lagi diungkit sedangkan pengalaman buruk dengan DAP dan PAN masih segar dalam ingatan.

Realiti politik Malaysia memerlukan kerjasama politik dengan pihak lain. Kalau Pas ingin bersendirian menuju ke Putrajaya, logik politik tidak boleh menyebabkan ini terjadi. Dalam keadaan Pas bersama dengan Pakatan Rakyat dulu pun Putrajaya tidak dapat ditawan. Kemenangan Pas pun dibantu oleh DAP dan PKR.

Takdirnya Pas boleh bersama dengan UMNO, Barisan Nasional (BN) akan menjadi lebih kuat. Tanpa Pas bersama dengan BN, penulis percaya BN khususnya UMNO masih boleh menang dan mampu membentuk kerajaan.

Penulis berdoa pihak ketiga harus terus istiqamah untuk menjadikan kerjasama ini suatu realiti politik supaya perpecahan dalam kalangan umat Melayu dapat disantuni dan politik Malaysia akan jadi lebih stabil dan pengurusan serta pembangunan negara akan berjalan dengan lebih baik.

Jendela Tok Ki
Utusan






Leave a Reply

Threesome