Menu Utama

PAN tanding di kerusi Pas dalam PRU ke-14

PAN terus memercikkan minyak ke dalam api permusuhannya dengan Pas apabila menegaskan parti berkenaan akan bertanding menentang parti yang dituduhnya sebagai konco kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Meskipun Presiden PAN, Mohamad Sabu, tidak menamakan secara spesifik parti yang disifatkannya sebagai konco itu tetapi dipercayai kenyataan tersebut merujuk kepada Pas, selari dengan percakaran terbuka secara berterusan antara kedua-dua pihak.

“Pakatan pembangkang tidak akan bertanding sesama sendiri. Kami akan bertanding menentang BN dan konconya,” kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam sidang akhbar di Wisma PAN di sini hari ini.

Pas dan PAN saling berbalas kenyataan dengan masing-masing bertindak mengecam antara satu sama lain sejak kumpulan pro Anwarinas yang kalah dalam pemilihan Pas diketuai Mat Sabu bertindak keluar parti dan menubuhkan parti baharu.

Ditanya apakah konco dimaksudkan itu merujuk bekas partinya, Mat Sabu yang diangkat sebagai Presiden kepada parti serpihan Pas itu selepas berlaku perbalahan dalaman sekadar menjawab, sesiapa sahaja mahu menjadi konco kepada BN akan ditentang.

Bagaimanapun beliau mengakui, buat masa ini, belum ada sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti dalam pakatan pembangkang dan keputusan akhir mengenai perkara tersebut hanya akan diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Pembangkang.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad, turut tidak ketinggalan menghentam Pas dalam isu kecaman parti tersebut ke atas PKR kerana menyertai program PAN di Kelantan dengan menyifatkan Pas tidak berupaya untuk bersikap terbuka.

“Bagi kita tiada masalah, PKR nak buat ceramah dengan Pas, PAN tidak pernah pun nak bising. Soal Pas buat bising apabila PKR buat ceramah dengan PAN itu masalah Pas, bukan masalah PAN kerana kita bersikap terbuka,” kata Khalid yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Utusan






Satu Komen to PAN tanding di kerusi Pas dalam PRU ke-14

  1. azmi says:

    Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, sesiapa pun boleh bertanding samaada mewakili sesuatu parti atau sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:-
    warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini;
    berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon; dan
    tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding.
    Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:-
    telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau
    didapati seorang bankrap; atau
    memegang jawatan berkepentingan ‘office of profit’; atau
    gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
    telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau
    telah memperoleh kewarganegaraan asing.

Leave a Reply

Threesome