Menu Utama

Najib Warisi Semangat Tekun Bekerja Daripada Ayahanda

Sejak mula menyandang jawatan perdana menteri pada 2009, beban tugas yang terpaksa dipikul Datuk Seri Najib Tun Razak amat berat dan menyeksakan berikutan banyak perkara yang perlu ditanganinya bagi mengatasi masalah negara, terutama dalam mengharungi kelembapan ekonomi dunia.

Para pemerhati berpendapat sikap Najib yang amat tekun dalam melaksanakan tanggungjawabnya, adalah diwarisi daripada ayahandanya iaitu perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang meninggal dunia genap 40 tahun lepas pada usia 53 tahun.

Pada Sabtu baru-baru ini, Najib menjalani pembedahan kecil di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi membuang ketumbuhan benigna pada tangan beliau.

Dalam kenyataannya, HKL berkata Najib menjalani pembedahan itu sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang sejurus selesai pembedahan.

Bagi kebanyakan pekerja di negara ini, keadaan demikian berkemungkinan besar mendorong mereka memohon cuti sakit, lebih popular disebut sebagai ‘MC’, tetapi perkara itu tidak sedikit pun terlintas di hati Najib.

Rakyat Malaysia dan pihak yang berminat untuk mengetahui tentang kesihatannya mendapat jawapan berikut daripada Najib melalui akaun Twitter beliau: “Saya sedang sembuh, terima kasih atas ingatan baik kalian”.

Najib juga mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan beliau dari Singapura Lee Hsien Loong yang mendoakan beliau segera sembuh melalui akaun Twitternya.

Ramai rakyat Singapura turut mempamerkan sikap prihatin mereka dan mendoakan agar Najib lekas sembuh melalui tulisan dalam Facebook mereka sambil menyifatkan beliau sebagai “orang Malaysia paling mesra dengan Singapura”.

Lee membuka cerita mengenai Najib yang menjalani pembedahan itu kepada 934,996 individu yang “menyukai” (Like) catatan Facebooknya apabila beliau menyatakan kegembiraannya tentang pembedahan itu yang berjalan lancar dan menambah kata: “Berhajat untuk segera berjumpa beliau”.

Dalam kalangan pemimpin dunia sekarang, Najib dan Lee mempunyai hubungan yang amat unik dan hasilnya, hubungan dua hala serta hubungan antara rakyat dengan rakyat Malaysia dan Singapura berada pada tahap paling erat dalam sejarah.

Keunikan yang dimaksudkan ialah bapa masing-masing, Tun Abdul Razak dan Lee Kuan Yew, pernah menjadi perdana menteri pada waktu yang sama dan ini sesuatu yang tidak terdapat pada mana-mana pemimpin dari dua negara yang ada ketika ini.

Ketika mengucapkan segera sembuh kepada Najib, rakyat Singapura juga menasihati beliau supaya tidak terlalu bimbang dan sebaliknya memberi tumpuan terhadap usaha meletakkan Malaysia di landasan betul, di samping menyuarakan harapan mereka agar hubungan antara kedua-dua negara terus diperkukuh dan digerakkan ke hadapan.

Seorang warga Singapura, Joseph Tan, memberi penghormatan yang begitu istimewa kepada Najib apabila beliau menulis: “Pada penilaian saya, jels sekali, beliau adalah PM terbaik bagi Malaysia untuk membina hubungan menang-menang yang memanfaatkan dengan jiran terdekatnya, Singapura.

“Semoga beliau akan berjaya mengurus dan mengatasi cabaran getir terhadap kedudukannya pada tahun-tahun akan datang”.

Sesungguhnya, apa yang disuarakan oleh jiran kita adalah sesuatu yang ikhlas kerana mereka dapat melihat betapa sikap tidak mesra bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Singapura menyebabkan hubungan kedua-dua negara berada dalam keadaan ‘kadang kala baik, kadang kala tidak’, dan Dr Mahathir tidak pernah memberi kredit yang sewajarnya kepada republik itu, walaupun kebanyakan pemimpin dunia lain berbuat demikian.

Sikap Najib yang tekun bekerja sekali lagi dipamerkan apabila pada Isnin, iaitu hanya beberapa hari selepas menjalani pembedahan tangannya, beliau berucap pada majlis perhimpunan pagi bulanan yang dihadiri para menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri di halaman yang dipanahi sinaran terik mentari.

Mesej yang disampaikan cukup jelas – beliau mahu para menteri dan penjawat awam bekerja dengan lebih tekun dan bersikap lebih bertanggungjawab ketika negara mendepani keadaan yang amat mencabar dari segi ekonomi serta dalam menghadapi ancaman daripada kumpulan militan Daesh.

Najib juga adalah perdana menteri yang paling kerap melawat Sabah dan Sarawak, bukan sahaja ke ibu negerinya, malah rumah panjang di pedalaman.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyifatkan Najib sebagai perdana menteri yang paling mengambil berat terhadap negeri itu, selain Sabah.

Untuk mendapatkan gambaran tentang sikap tekun bekerja yang diwarisi Najib daripada ayahandanya, bersempena ulang tahun ke-40 kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah, Bernama mendapatkan pandangan bekas pegawai kanan kerajaan, Tan Sri Arshad Ayub.

Arshad, 87, yang berkhidmat selama 10 tahun di bawah Tun Razak sebagai pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM dan kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara atau UiTM), dan kemudian sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara, memulakan temu bual dengan berkata: “Bagi saya dan pegawai kanan kerajaan lain ketika itu, Tun Razak boleh dikatakan bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun”.

Sejajar dengan kedudukan Malaysia yang melalui tahun-tahun awal penubuhannya, perkara yang menjadi keutaman Tun Razak ketika itu ialah pembangunan luar bandar dan usaha membasmi kemiskinan, termasuklah penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang beliau ilhamkan, dan sejak itu menjadi agensi paling berjaya di Dunia Ketiga dan amat disanjung tinggi kerana kemampuannya memecahkan tembok kemiskinan di luar bandar.

Felda kemudiannya muncul sebagai pemilik ladang terbesar di dunia, yang terlibat dengan penanaman kelapa sawit dan pengeluaran minyak sawit sebagai tonggak utama menjana pendapatan kukuh bagi berpuluh-puluh ribu penduduk luar bandar. Tanpa Felda, mereka pastinya terpaksa menyara kehidupan dengan pendapatan yang begitu menyedihkan.

Berdasarkan latar belakang demikian, Felda mendapat tempat yang amat dekat di hati Najib, manakala peneroka Felda di bandar dan pusat pertumbuhan baharu di seluruh negara pula sentiasa mendapat perhatian khusus serta keutamaan beliau.

Begitu banyak insentif dan pemberian diberi kepada Felda sejak beliau menjadi pedana menteri dan banyak lagi akan disalurkan pada tahun-tahun akan datang sebaik sahaja harga minyak sawit yang rendah sekarang, kembali meningkat.

Arshad, yang memiliki ijazah dalam pelbagai bidang termasuk kelulusan daripada Kolej Pertanian di Serdang ketika itu, berkata: “Beritahu saya kolam atau tasik mana di negara ini yang Tun Razak tidak pernah lepaskan benih ikan ke dalamnya?

“Pokok sawit mana yang tidak pernah beliau lihat, jalan raya mana yang tidak paernah beliau lawati atau universiti mana yang bukan beliau bina (pada zamannya)?”.

Satu lagi kejayaan besar Tun Razak ialah membandarkan kawasan luar bandar dan Arshad menyebut tentang perbandaran yang dibina daripada kawasan hutan seperti Bandar Penawar dan Tenggara di Johor, Jengka di Pahang dan Bandar Ketengah di Terengganu.

Tun Razak juga amat yakin dengan manfaat memberi Bumiputera asas yang kukuh dalam bidang pendidikan sebagai satu cara yang pasti untuk mengatasi kemiskinan serta membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih tinggi. Untuk tujuan ini, beliau mewujudkan ITM yang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi yang mempunyai kampus di seluruh negara.

“Sepanjang 10 tahun saya menerajui ITM dan beliau menjadi PM, tidak pernah sekali pun beliau mengeluarkan kata-kata negatif tentang ITM atau cara saya mentadbirnya,” kata Arshad, yang diberi kredit sebagai arkitek bagi kejayaan institusi itu, yang kini dikenali sebagai UiTM.

Arshad berkata Tun Razak memberi tumpuan utama terhadap pendidikan dalam bidang profesional, yang menyaksikan fokus diberi terhadap beberapa bidang seperti perakaunan, insurans dan pemasaran, yang tidak ditawarkan universiti lain, dan langkah ini menyebabkan lepasan ITM menjadi rebutan ramai di pasaran pekerjaan.

Bagaimanapun, kebijaksanaan Tun Razak dalam memilih orang yang tepat untuk menjalankan sesuatu tugas istimewa merupakan perkara yang paling mengagumkan Arshad.

“Beliau memilih pemimpin yang tepat untuk mentadbir sesuatu agensi kerana dengan cara ini, mereka akan bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan programnya, bukan untuk Tun Razak, tetapi untuk negara dan rakyat,” kata Arshad.

Antara nama yang beliau sebut ialah Raja Tan Sri Alias Muhammad Alias Raja Muhammad Ali yang menerajui Felda selama 35 tahun, dan tokoh tersohor lain seperti Raja Tun Mohar Badiozaman, Tan Sri Ishak Tadin, Tan Sri Taib Andak dan Tan Sri Aziz Yassin.

Kebolehan bukan Melayu seperti Tan Sri Thong Yaw Hong, Tan Sri Chong Hon Nyan, Tan Sri Michael Chen dan Tan Sri Rama Iyer juga menyerlah dalam pasukan Tun Razak.

“Penjawat awam yang menerima amanah daripada beliau memiliki sikap bertanggungjawab yang tinggi dalam memastikan rancangan beliau mencapai kejayaan. Motto kami ketika itu ialah ‘ayuh kita bekerja untuk beliau dan ayuh kita jayakan program beliau’. Mungkin, kami juga rela mati kerananya,” kata beliau.

Arshad berharap semangat seperti itu akan dihidupkan kembali di bawah pentadbiran anak beliau, Najib.

“Saya mempunyai kenangan manis mengenai Tun Razak. Seperti kata pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Ini amat tepat bagi diri Tun Razak.

“Beliau meninggalkan kesan yang amat besar terhadap kita semua dan negara, hasil daripada usaha beliau hingga ke akhir hayat,” kata Arshad.

— BERNAMA



« (Previous News)



Leave a Reply

Threesome