Menu Utama

Naikkan Harga Bila Nilai Ringgit Jatuh, Bila Naik Nanti Bagaimana?

nilai ringgit

Penulis tertarik untuk mengulas mengenai para peniaga dan syarikat-syarikat di negara ini yang memutuskan untuk menaikkan harga barangan dan khidmat masing-masing dengan alasan kejatuhan nilai matawang negara.

Kata mereka, tindakan menaikkan harga barang dan bayaran khidmat mereka tidak dapat dielakkan lagi gara-gara tidak dapat menampung kos yang mereka tanggung akibat dari kejatuhan nilai ringgit tersebut.

Baru-baru ini, sebuah syarikat yang menyediakan khidmat pakej haji dan umrah mengumumkan kenaikan harga pakej mereka dengan menggunakan alasan yang sama. Penulis tidak pasti, mungkin syarikat lain turut akan mengikut jejak langkah yang sama sepertinya.

Pada pandangan penulis, antara risiko yang perlu ditanggung oleh para peniaga adalah termasuk kadar nilai ringgit yang mungkin jatuh dan mungkin meningkat naik. Risiko tersebut pada penulis sewajarnya menjadi tanggungjawab para peniaga untuk menanganinya dengan baik.

Namun mengecewakan, kejatuhan nilai ringgit dijadikan alasan mereka untuk mengalihkan tanggungjawab itu di atas bahu para pelanggan. Dari pihak syarikat yang tanggung kerugian, mungkin pada mereka kerugian itu dilemparkan pada pelanggan? Itu konsep perniagaan yang terkini?

Timbul persoalan di fikiran penulis, apakah nilai ringgit akan terus lemah dan merudum? Belajar serba sedikit tentang ekonomi, rodanya berputar mengikut keluk merudum ke bawah dan menaik ke atas, menandakan kitaran turun naik putaran prinsip ekonomi.

Jadi, pada pandangan penulis, nilai ringgit yang jatuh itu akan menokok mengikut putaran tersebut dan berkemungkinan besar akan berada di puncak yang terbaik berbanding dolar apabila tiba masanya nanti.

Persoalannya, ketika mana nilai ringgit mengukuh dipuncaknya berbanding dolar, apakah para peniaga dan syarikat-syarikat berkenaan akan sama-sama menurunkan kadar bayaran dan harga barang mereka?

Sebagai contoh, syarikat pelancongan ABC menaikkan harga pakej umrah mereka sebanyak RM1,500 dari harga RM7,500 kepada RM9,000 dengan alasan nilai ringgit yang jatuh, apakah syarikat itu akan mengurangkan harga pakej tersebut kepada RM6,000 apabila nilai ringgit kembali tinggi berbanding dolar?

Pada pandangan penulis, jawapannya ialah negatif. Jarang sangat kita dengar peniaga menurunkan harga barang atau bayaran jika ekonomi pulih, bukan?

Pada pandangan penulis, kerana trend buruk para peniaga dan syarikat seperti itulah maka pihak kerajaan akan dipersalahkan nanti oleh rakyat. Mereka sewenang-wenangnya akan menuduh kerajaan menjadi punca pada kenaikan kos tersebut, bukan?

umrah1

Penulis yakin tentang sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa rezeki Allah itu terbentang luas dalam dunia perniagaan. Namun penulis juga yakin bahawa terdapat keberkatan dari rezeki yang adil dan tidak adil yang diperoleh dari perniagaan.

Justeru itu,penulis menyarankan kepada para peniaga mempertimbangkan tentang keberkatan dan redha Allah dalam usaha mereka menagih rezeki di dunia serba fana ini. Rasulullah SAW sendiri seorang peniaga yang adil, bolehkah para peniaga di negara kita mencontohi baginda? Penulis biarkan soalan itu untuk dijawab oleh para peniaga muslim di Malaysia…






Leave a Reply