Menu Utama

Mukhriz Dakwa Pemangku Sultan Kedah Tersinggung Dengan UMNO

Di saat rakyat Negeri Kedah Darul Aman sedang bergembira meraikan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang ke-88, sekumpulan pemimpin UMNO negeri ini telah bertindak mendesak saya berundur dari jawatan Menteri Besar.

Tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari 2016 lalu adalah tidak bertanggungjawab.

Malah sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat. Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah.

Perbuatan kumpulan ini telah mencemar pelbagai acara sambutan Ulangtahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar, saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media tersebut, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kedah pada hari Rabu, 27 Januari 2016 yang lalu. Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai Penjawat Awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, keengganan menghadiri Mesyuarat EXCO menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di negeri ini. Saya dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan turut murka dengan keingkaran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli UMNO yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Saya mendesak agar kesemua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari 2016 lalu, dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tidak hadir Mesyuarat EXCO pada 27 Januari 2016 segera memohon maaf secara rasmi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Sehingga kemelut ini selesai, semestinya setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Udangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah



« (Previous News)



4 Komen to Mukhriz Dakwa Pemangku Sultan Kedah Tersinggung Dengan UMNO

  1. SHARIZAL MAZALAM says:

    BAI² MUKHRIZ..!

  2. semangat dato' haron says:

    Dosa bapa harus ditanggung anak. Apa mamak kutty fikir dia akan terlepas dgn semua dosa dan fitnah yg dia buat pd najib

  3. mukhriz bersandiwara says:

    menguap pulak baca kenyataan akhbar ni.. masuk telinga kanan keluar telinga kiri.. one word, sandiwara main wayang dilakukan oleh mukhriz.. akan dijayakan pula dengan kenyataan akhbar ayahandanya yang disanjung sekalian crony network berkaitan, tun dr. mahathir.. yeehaaa… sekadar menghitung hari bila kedah nak ada menteri besaq baru.. ceq tak sabaq aih.. exco pun akan dirombak jugak.. adun bn sekalian yang nak merasa jawatan exco, ni lah masanya cari nakhoda.. berpautlah kamu.. demand lah jugak dekat nakhoda apa yang kalian nak..

    mukhriz akan jadi senator dan jadi menteri kabinet.. tak pun diberi jawatan pengerusi whatever glc.. najib tahulah apa yang nak diputuskan nanti… kita tunggu je.. mm fikir benda lain dulu.. mm dah masuk 1 februari.. azam baru.. selamat hari wilayah persekutuan..

  4. mukhriz bersandiwara says:

    ”Saya mendesak agar kesemua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terlibat secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari 2016 lalu, dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tidak hadir Mesyuarat EXCO pada 27 Januari 2016 segera memohon maaf secara rasmi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.”

    mohon maaf tak mohon maaf sekalipun, menteri besar kedah tetap ditukar dalam bulan februari 2016.. bila dah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah sahaja tanpa jawatan Menteri Besar, berpeganglah pada kenyataan akhbar tu.

    ”semestinya setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Udangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.”’

Leave a Reply

Threesome