Menu Utama

Hutang 1MDB bukan lagi isu

Selepas mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan sejak setahun lalu, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini bangkit daripada fasa kritikal.

Syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu sudah menyusun semula hutangnya dan kini bersedia untuk berkembang, menerusi perniagaan hartanahnya.

“Tempoh sukar bagi 1MDB berakhir. Syarikat sudah memenuhi pembayaran faedah dan prinsipal. Hutangnya kini adalah sepadan dengan aset. 1MDB kini memiliki tiga syarikat persendirian dengan prospek pembangunan pesat,” kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda.

“Walaupun masih ada suara di luar sana khususnya oleh pembangkang dan segmen media tertentu, bagi saya ia tiada lagi isu bagi 1MDB.”

1MDB selesai melaksanakan rancangan rasionalisasinya pada Disember tahun lalu, menerusi tiga urus niaga yang berjaya mengurangkan hutang keseluruhannya RM42 bilion kepada jumlah yang lebih terurus.

Malah, Arul juga memberi jaminan akan membayar balik semua hutang jangka pendek, termasuk hutang kepada kerajaan RM950 juta seawal bulan depan.

Dalam temu bual eksklusif dengan dengan kumpulan akhbar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam, Arul turut menyentuh pelbagai isu membabitkan syarikat itu dan masa depannya, selain kritikan berterusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang terhadap 1MDB.

Ikuti bahagian pertama temu bual wartawan BH Kamarulzaidi Kamis, Ahmad Fiesal Othman dan Nazura Ngah bersama Arul.

Soalan: Boleh ceritakan pelan rasionalisasi 1MDB, macam mana kedudukan liabiliti dan aset?

Arul Kanda: Jika kita lihat kembali pada Jun 2015, di mana 1MDB bentangkan pelan rasionalisasi kepada Kabinet Malaysia, pelan itu merangkumi tiga aspek utama. Yang pertama ialah hutang ditukar dengan aset bersama International Petroleum Investment Co (IPIC), di mana sejumlah RM16 bilion akan diselesaikan. Seterusnya penjualan saham Edra Energy Bhd, yang telah dilaksanakan baru-baru ini dan ketiga penjualan saham atau ekuiti dalam projek Bandar Malaysia.

Alhamdulillah pada 31 Disember lalu kami telah memeterai perjanjian itu. Jadi, ketiga-tiga aspek itu adalah penting untuk kami mengurangkan dan menangani hutang 1MDB. Kalau kita congak ketiga-tiga jumlah terbabit, kira-kira RM42 bilion secara keseluruhan. Maka, pada saya aset 1MDB mempunyai nilai yang telah diiktiraf oleh pelabur tempatan dan antarabangsa. Oleh itu, yang penting ialah segala kemelut syarikat pada saya telah diatasi menerusi pengurangan atau proses menangani hutang yang telah kami laksanakan.

S: Namun, masih kedengaran suara-suara di luar sana masih mempertikaikan 1MDB?

J: Pada saya, segala suara atau kritikan itu adalah daripada pembangkang yang pada saya sebenarnya sudah tiada modal lagi, disebabkan isu ketidakseimbangan atau ketidaksepadanan aliran tunai 1MDB kini sudah diatasi. Apabila ketidakseimbangan itu diatasi, maknanya syarikat dapat memenuhi keperluan untuk membayar faedah dan prinsipal hutang apabila matang. Maka, tiada lagi isu kritikal di 1MDB.

S: Bagaimana paras hutang 1MDB?

J: Paras hutang 1MDB seperti mana dinyatakan penyata kewangan diaudit terakhir iaitu pada Mac 2014, ialah sebanyak RM42 bilion, tetapi kita semua faham bahawa lebih separuh hutang itu dalam bentuk dolar Amerika Syarikat (AS). Jadi, dengan nilai mata wang ringgit yang telah turun berbanding dolar AS, dalam nilai ringgit, hutang itu mestilah naik, tetapi perlu diingat hutang itu hanya akan matang pada tahun 2022 dan 2023. Insya-Allah dalam beberapa tahun lagi, nilai mata wang ringgit akan kukuh dan ia tidak menjadi isu.

Maka, untuk mengambil nilai hutang dalam ringgit pada sesuatu masa sebenarnya tidak ada kesan terhadap syarikat. Apa yang penting ialah, apabila hutang itu matang (tahun 2022 dan 2023), pada masa itu kami mempunyai penyelesaian dan penyelesaian itu ada dalam beberapa aspek seperti yang saya jelaskan tadi.

S: Berapa peratus hutang dalam AS$ dan berapa peratus dalam nilai ringgit?

J: Lebih kurang RM22 bilion hutang ialah dalam mata wang AS$ pada masa itu (2014) dan lebih kurang RM19 bilion dalam ringgit.

S: Dikatakan pada awalnya model perniagaan 1MDB adalah satu yang idealistik dan berdaya maju. Di mana silapnya?

J: Pertama sekali apabila kita berbincang mengenai struktur modal syarikat, apa yang penting ialah memahami pendekatan yang telah diambil untuk menggunakan hutang. Sebenarnya, kita semua menggunakan hutang dalam kehidupan seharian. Contohnya bila kita beli rumah, 80 atau 90 peratus daripada harga belian rumah itu ialah hutang daripada bank, sama seperti apabila kita beli kereta.

Jadi, penggunaan hutang secara tersendiri tiada isu atau tidak salah, apa yang penting ialah kita dapat menjana pendapatan daripada perniagaan untuk membayar faedah atau prinsipal hutang apabila matang atau apabila perlu. Maka, dalam konteks ini, kalau kita lihat 1MDB, kebanyakan hutang syarikat, iaitu lebih 80 peratus hutang syarikat adalah hutang jangkamasa panjang di mana pembayaran pokok atau prinsipal hanya apabila aset telah matang.

Apa yang menjadi masalah kepada syarikat ialah, satu daripada langkah untuk menjana tunai tidak dapat dilaksanakan iaitu tawaran awam permulaan (IPO) Edra pada November 2014. Pada masa sama IPO tidak menjadi, syarikat juga telah mengalami kerugian pertama sebanyak RM665 juta dan pada masa itu juga pokok atau prinsipal sebanyak RM2 bilion hutang yang perlu dibayar.

Jadi, ketiga-tiga isu ini telah berlaku pada masa yang sama dan ini mengakibatkan kehilangan keyakinan dan apabila keyakinan hilang, syarikat tidak dapat melaksanakan apa yang telah dibuat sebelum itu, iaitu untuk membayar hutang dan mengambil hutang baharu untuk membayar hutang yang telah matang ataupun untuk menjual aset bagi menjana tunai. Itulah isu sebenarnya dalam 1MDB, iaitu kehilangan keyakinan yang telah berlaku pada November 2014, menyebabkan ketidakseimbangan tunai dalam syarikat.

S: Maka, adakah itu yang anda panggil ketidakseimbangan tunai?

J: Sudah tentu. Sekiranya usaha menjana wang daripada aset itu berjalan mengikut jadual, 1MDB tidak akan menghadapi masalah ini. Disebabkan isu itu, saya rasa Lembaga Pengarah dan pemegang saham mengambil langkah konkrit seperti mengambil saya dan membuat penilaian strategik serta pelan rasionalisasi direka bagi memperbaiki masalah.

S: Kalau IPO berjaya sekalipun, adakah anda mampu menjelaskan liabiliti sebanyak RM42 bilion?

J: Ia bukan kesnya, tetapi IPO itu akan menjana tunai dan tunai itu akan dapat digunakan untuk menyelesaikan hutang RM2 bilion, ia akan mengurangkan hutang. Tunai itu juga boleh diguna untuk membayar faedah dan sebagainya. Jadi, syarikat tidak akan ada masalah ketidaksamaan tunai disebabkan tunai yang datang daripada IPO akan digunakan untuk tujuan itu.

S: Apa sebenarnya perniagaan 1MDB yang boleh menjana pendapatan atau apakah pelaburannya yang menjana pendapatan?

J: Di sini, ada dua aspek utama. Pertama ialah penjanaan elektrik di mana syarikat Edra mempunyai aliran tunai daripada penjanaan elektrik dan pendapatan setiap tahun sebanyak RM5 bilion. Kedua 1MDB mempunyai beberapa bidang tanah yang di lokasi begitu strategik. Sebagai contoh di Tun Razak Exchange (TRX), usaha 1MDB ialah untuk memecahkan tanah itu melalui satu pelan induk dan kemudiannya menjual plot yang lebih kecil kepada pelabur tempatan dan juga antarabangsa. Jadi, dalam jangka masa terdekat, kedua-dua syarikat itu perlu menjana tunai untuk memenuhi faedah dan pokok hutang yang matang.

S: Pelaksanaan IPO dibatal disebabkan keyakinan pasaran pada masa itu sangat rendah. Jika diteruskan ia akan memberi kesan buruk atau gagal?

J: Itu betul, malah, satu hakikat yang mengecewakan saya sebagai rakyat Malaysia ialah apabila masalah bermula dengan syarikat ini, yang mana ia dimiliki 100 peratus oleh kerajaan dan rakyat mendapat manfaat atau kerugian daripadanya. Apabila masalah itu bermula, serta-merta pembangkang dan mereka yang tidak sehaluan kerajaan mengkritik dan menjadikan situasi lebih buruk.

Pada masa sama, penyiasatan juga bermula. Maka, bagi saya, pendekatan yang lebih baik daripada semua pihak ialah, biarkan syarikat stabil terlebih dahulu, dapatkan kembali keyakinan dan kemudian mulakan siasatan untuk mengetahui apa kesilapan sebenar yang berlaku. Namun, di sebalik apa yang kita lalui, kita hadapi kritikan, tuduhan tidak berasas dilancarkan terhadap syarikat yang secara jujurnya secara drastik mengurangkan pilihan yang ada untuk syarikat. Itu sebabnya akhirnya, satu-satunya pilihan yang ada buat syarikat ialah mula menjual aset untuk membayar hutang.

S: Apakah elemen yang masih tertangguh dalam pelan rasionalisasi?

J: Alhamdulillah, kami sudah menyelesaikan dari perspektif perundangan, bermakna kami sudah memeterai perjanjian dengan IPIC, dah tandatangani dengan Bandar Malaysia dan dah tandatangani dengan Edra. Ini adalah perjanjian yang sah dan Alhamdulillah kita berjaya melakukannya dalam tempoh enam bulan seperti yang ditetapkan oleh Perdana Menteri.

Maka, bahagian itu sudah selesai dan kini, saya pasti anda menghargai apabila anda tandatangani perjanjian seperti bila membeli rumah, kerana terdapat pelbagai perkara berlaku selepas itu. Dalam kes kami, terdapat kebenaran yang perlu kami peroleh daripada peminjam, kami ada kelulusan perundangan yang perlu kami dapatkan dan dalam beberapa kes, kami masih perlu dapatkan kaedah bagaimanapun untuk memindahkan saham, atau aset dan tanah.

Maka, untuk melakukan itu, kami ada tempoh masa untuk menyelesaikan transaksi itu. Untuk Edra, kami meramalkan ia akan berlaku menjelang Februari 2016, untuk Bandar Malaysia dan IPIC menjelang Jun 2016. Tetapi, yang penting ialah kami tertakluk kepada undang-undang dan pihak yang terbabit adalah tertakluk kepada undang-undang dan persoalan kini ialah melaksanakan proses itu.

S: Bagaimana dengan TRX dan tanah di Pulau Pinang serta Pelabuhan Klang?

J: Bagi saya bawa anda selangkah ke belakang. Yang pertama urus niaga Edra ialah urus niaga tenaga dan utiliti yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Ia adalah pelaburan langsung asing (FDI) yang kedua terbesar dalam satu syarikat di Malaysia. Jika lihat Bandar Malaysia, urus niaga yang kami telah laksanakan, ia adalah urus niaga hartanah terbesar dalam sejarah Malaysia. Maka, segala fokus dan usaha kami banyak ditumpukan kepada dua urus niaga ini yang dilakukan dalam tempoh masa yang begitu singkat.

Alhamdulillah, kini kami sudah berjaya melaksanakannya, kini kami akan fokus kepada tanah di Ayer Hitam, Pulau Pinang yang mana hampir pasti kami akan mencari rakan usaha sama pembangunan, maka kami akan memeterai perjanjian dengan syarikat pemaju, untuk mereka membangunkan tanah itu. Dalam kes TRX, pasukan pembangunan kami ada di sana, anda telah lihat penjualan tanah itu tahun ini dan saya cabar anda untuk cari mana-mana syarikat hartanah di Malaysia yang sudah menjual tanah dengan nilai seperti itu dalam tempoh setahun, seperti yang kami telah lakukan di TRX pada harga yang telah mencipta satu penanda aras baharu untuk Kuala Lumpur berdasarkan nilai sekaki persegi.

Maka, bagi saya pasukan itu adalah pasukan yang kuat, saya tidak nampak ada keperluan bagi kami untuk menjual hartanah di TRX dan saya harap perniagaan itu akan berterusan sama ada dimiliki oleh kami ataupun miliki secara terus oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dari segi pembangunan masa depannya.

S: Kenapa anda memilih penjualan 60 peratus Bandar Malaysia dan bukan 100 peratus?

J: Tanah di Bandar Malaysia adalah sangat strategik dan ia adalah projek pembangunan nasional. Maka, adalah penting kerajaan terus memainkan peranan masing-masing. Contoh dari aspek seperti rumah mampu milik serta hab pengangkutan bersepadu dengan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), KTM Komuter, LRT, ERL dan bas Rapid Transit. Maka, dari perspektif itu saya rasa penting kerajaan terus terbabit supaya visi dan objektif di sebalik Projek Bandar Malaysia boleh terus dilaksanakan.

Sebab kedua ialah ada nilai masa depan yang begitu signifikan untuk projek itu. Kami ada tanah pada nilai hari ini RM12.35 bilion. Cuba anda bayangkan apabila pembangunan bermula, nilai itu akan terus meningkat. Maka, dari perspektif saya, memang mahukan Kerajaan Malaysia untuk terus memegang kepentingan bagi manfaat rakyat.

S: Penjualan kepentingan dalam Bandar Malaysia didakwa agak mengelirukan dari segi harga. Adakah dalam perjanjian itu dua angka berbeza?

J: Sebenarnya ia tidak mengelirukan sama sekali. Kami juga sudah berikan kenyataan akhbar yang menyatakan dengan jelas mengenai butiran mengenai transaksi itu. Apa yang penting ialah kita perlu faham kepentingan penjualan 60 peratus itu ialah pada harga RM7.41 bilion dan itu adalah jumlah yang perlu dibayar kepada 1MDB di mana pembeli telah membayar deposit sebanyak 10 peratus daripada harga berkenaan.

Seterusnya, untuk melaksanakan atau menjayakan projek Bandar Malaysia ini, penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) perlu dilaksana atau diselesaikan. Juga terdapat sukuk yang telah diambil oleh syarikat projek Bandar Malaysia Sdn Bhd. Jadi, dalam perjanjian jual beli saham, kami ada dua kaedah untuk menangani penempatan semula dan pembayaran sukuk itu.

Kaedah pertama ialah liabiliti itu akan diambil alih oleh pembeli dan akan dibayar oleh pembeli. Maka, mereka akan membayar jumlah bersih kepada 1MDB iaitu RM5.3 bilion. Jadi, apabila kita langsaikan kos penempatan semula atau 60 peratus kos penempatan semula atau 60 peratus kos sukuk, apa yang perlu dibayar kepada 1MDB ialah RM5.3 bilion. Tetapi untuk pindahkan projek penempatan semula dan pindahkan sukuk itu, kami perlu dapat kebenaran daripada kontraktor, Kerajaan Malaysia dan juga sukuk. Maka, itu mungkin dapat dilaksanakan atau tidak.

Apapun, pembeli tetap perlu bayar RM7.41 bilion kepada 1MDB dan kami akan selesaikan melalui kontrak yang sedia ada. Sebenarnya tidak ada perbezaan, apa yang penting ialah sama ada kita lihat jumlah kasar atau jumlah bersih. Bezanya ialah, kami masih mendapat RM7.41 bilion daripada pembeli tetapi sama ada mereka bayar dulu atau bayar kepada kami jumlah bersih, atau mereka bayar jumlah yang RM7.41 bilion dan kami pula bayar seterusnya.

S: Kaedah mana yang terbaik untuk 1MDB?

J: Pada saya, jika pembeli mengambil alih projek penempatan semula dan juga sukuk, itu adalah yang terbaik supaya setelah menjual, kami tidak mempunyai liabiliti berterusan ke atas projek itu dan ini akan memudahkan proses rasionalisasi 1MDB.

S: Tetapi ada juga pihak tidak gembira bila ada entiti asing mengambil alih penempatan?

J: Itu silap, ia satu tohmahan atau perkara separuh benar yang diberikan oleh pembangkang. Sebenarnya, kontrak penempatan semula itu telah lama diberi dan kontraktor induk ialah PPHM atau Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia yang dimiliki 100 peratus oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan kontraktor itu mempunyai beberapa 50 subkontraktor Bumiputera yang bertauliah dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan kontrak berkenaan. Maka, tidak ada persoalan sama sekali sama ada PPHM atau subkontraktor itu akan ditukar. Persoalannya hanya siapa yang akan bayar untuk kos itu. Maka, tiada persoalan mengenai keselamatan negara dan sebagainya daripada penjualan atau penempatan semula itu.

S: Juga mengenai Bandar Malaysia, rakan kongsi baharu buat kenyataan akan ada pembangunan bandar bawah tanah, apa pendapat anda?

J: Pada saya, satu daripada sebab besar kenapa kami memilih konsortium itu ialah mereka mempunyai latar belakang dan kejayaan di dalam melaksanakan pelan induk sama ada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa. Itu yang pertama sekali. Di samping itu, setiap pelabur baharu akan mempunyai idea dan perancangan tersendiri, termasuk idea unik seperti bandar bawah tanah dan sebagainya.

Kami terbuka untuk melihat prospek dan kejayaan yang dapat dijana daripada cadangan itu tetapi semua ini tertakluk kepada kebenaran merancang yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Maka, semua idea itu akan kami lihat dengan hati terbuka dan sebagai pemegang 40 peratus saham, kami akan lihat apa yang sebaiknya.

Bersambung..

sumber: Berita Harian






5 Komen to Hutang 1MDB bukan lagi isu

  1. Safar says:

    Syabas Mr Arul kanda

  2. geekpuk2 says:

    Betul tu. Hutang bukan isu lagi

    Inilah contoh perniagaan terbaik

    Buat hutang beli aset juat aset bayar hutang

    Business school seluruh duia akan jadikan company ini sebagai rujukan setaraf IBM dan Honda

  3. maula says:

    Company buluh kasap

  4. rockers says:

    tu kate kau. ape jd dgn duit yg dilaburkn. ko lebur kt mane jib..

  5. jebon says:

    Mana pemakan2 dedak Najib.
    Masuklah menjawab.
    Hutang konon selesai.
    Ada untung tak?
    Aset strategik pun dah terbang.

    Apa punya bangang punya model perniagaan.
    Seluruh dunia tengah ketawakan Malaysia yg makin menjadi Chinasia.

Leave a Reply

Threesome