Menu Utama

Guru Perlu Beri Peluang Pada Senior Yang Sudah Lama Berdukalara…

abc

Masalah ini sudah bertahun-tahun lamanya terbiar sepi. Masalah ini juga sudah sekian lama menghantui ramai guru-guru di negara kita. Masalah terpisah dari pasangan akibat tugas di berlainan kawasan sudah lama dirintih.

Ada yang suaminya mengajar di Johor Bahru dan isterinya terpaksa mengajar di Perlis. Ada yang bertahun-tahun terpisah, seorang di Sarawak dan seorang lagi di Pahang. Ada pula yang menabur bakti di Sabah, namun pasangannya pula terpaksa bertugas di Selangor. Itulah episod ‘duka lara’ guru-guru kita sejak sekian lama…

Namun pada hujung tahun lalu, seorang hamba Allah itu tiba-tiba telah diamanahkan memegang kuasa untuk mengubah status quo berkenaan. Menyelami hati guru berdasarkan pengalamannya, maka beliau berusaha untuk menamatkan ‘duka lara’ tersebut.

Dalam kenyataannya, ‘duka lara’ tersebut akan dihapuskan secara berperingkat mengikut fasa. Katanya sejumlah 30,000 pendidik yang bakal dihapuskan ‘duka lara’ mereka. Yang terbaru, katanya sudah 1,848 guru yang sudah tersenyum gembira…

Namun hakikatnya, sasaran 30,000 itu masih lagi belum selesai dan penulis yakin ia akan dapat dipenuhi mengikut tempoh fasa demi fasa. Hanya masa saja yang akan menentukan. Bagi 1848 orang guru itu, khabarnya mereka kini sudah mampu tersenyum lebar, terhapus sudah ‘duka laranya’…

Apa yang menjengkelkan penulis ialah sikap tidak sabar sebilangan guru-guru yang mendakwa ‘duka lara’ mereka belum terhapus. Mereka menagih janji dan begitu mendesak supaya terpilih untuk menjadi sebahagian dari program ‘menghapuskan duka lara’ itu.

Soalnya, tidak boleh bersabarkah? Sekiranya sebelum ini bertahun-tahun mampu menahan sabar, tidak bolehkah bersabar untuk beberapa bulan? Mengapa tidak diberikan ruang untuk pihak terbabit menentukan keutamaan mereka yang wajar ditamatkan ‘duka lara’nya?

Pada pandangan penulis, sekiranya terlalu didesak dan hampir setiap hari ‘mengugut’, merengek-rengek di laman sosial, rasanya penulis sendiri pun akan menyampah. Dari berniat mahu membantu tamatkan ‘duka lara’, jika diikutkan hati mahu saja dibiarkan ‘duka lara’ itu berpanjangan…

Ada juga yang dilihat baru setahun dua ‘berduka lara’, tapi tahap merintih pilu duka laranya bagaikan sudah 20 tahun derita berpisah dengan keluarga. Padahal ketika ditugaskan sebagai guru dua tahun lalu mereka masih bujang dan baru saja mendirikan rumahtangga setahun lalu.

Pada penulis, apalah kiranya jika diutamakan ‘abang kakak’ yang lebih ‘senior’ dalam episod duka lara mereka, kan? Maksudnya, wajarlah diberi keutamaan pada mereka yang lebih lama dan punya masalah yang lebih kritikal berbanding pasangan yang masih ‘muda’ duka laranya…

Pada pandangan penulis, berilah ruang kepada hamba Allah itu laksanakan pelan dan rancangan menamatkan ‘duka lara’.

Selain perlu berdepan dengan kerenah birokrasi dan ‘top-top gun’ yang kurang bersungguh menamatkan duka lara berkenaan, beliau juga perlukan masa meneliti guru mana yang wajar diutamakan untuk ditamatkan duka laranya…

Apa yang penting, kerapkanlah berdoa pada Allah untuk dipermudahkan dan dipilih sebagai salah seorang yang terlibat dalam program tersebut. Dia yang menentukan segalanya, bukan hamba Allah itu. Hamba Allah itu hanyalah perancang dan berusaha, namun Allah yang tentukan terpilih atau tidak. Guru-guru tidak percaya pada kuasa ketentuan Allah?

Sekiranya terpilih, maka bersyukurlah pada Allah SWT. Namun sekiranya tidak terpilih, yakinlah bahawa terdapat hikmah di sebalik ketetapan Allah itu. Setiap qadha dan qadarNya itu terselit hikmah yang kadangkala kita ‘buta’ untuk menilainya, bukan? Percaya pada qadha dan qadar Allah?

Justeru itu penulis meminta kepada semua guru supaya bersabar. Mujurlah Allah SWT menghantar dan mengilhamkan hamba Allah itu untuk menamatkan duka lara cikgu-cikgi kita. Jika diharapkan seperti yang sebelumnya, ‘masaklah’ guru-guru kita dengan sistem-sistem yang ‘huru-hara’, kan?






Satu Komen to Guru Perlu Beri Peluang Pada Senior Yang Sudah Lama Berdukalara…

  1. dkds says:

    Sekurang2nya menteri baru ini ada usaha untuk menyatukan para guru yang terpisah jauh dengan pasangannya tanpa merujuk pada akujanji perjanjian jawatan yang kata sanggup ditempatkan dimana-mana apabila tanat belajar dahulu…berbeza dengan menteri dahulu yang keras kepala dan jenis hanya memuaskan nafsu kroni buat projek berbillion

Leave a Reply

Threesome