Menu Utama

Dua panel penasihat SPRM tidak ragu keputusan Peguam Negara

Dua panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tidak ada keraguan dalam keputusan Peguam Negara berhubung penutupan kes berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Musa Hassan berkata hasil mesyuarat Panel Penilaian Operasi (PPO) dan panel khas di Putrajaya hari ini memutuskan untuk menerima keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Musa, yang menghadiri mesyuarat kedua-dua panel itu, berkata kedua-dua panel itu menerima keputusan Peguam Negara bahawa tidak ada kesalahan jenayah yang dilakukan Najib berhubung sumbangan RM2.6 bilion dan kes SRC International.

Justeru, kedua-dua panel itu akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut bagi menerangkan perkara itu kepada rakyat.

“Tidak, tidak ada keraguan dalam kes ini. Kami telah mengambil keputusan untuk bertemu dengan Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut,” kata Musa ketika dihubungi Bernama.

“Ia penting untuk panel mendapatkan penjelasan daripadanya bagi menerangkan perkara itu kepada rakyat nanti agar rakyat lebih faham kenapa kes itu tidak perlu didakwa,” kata Musa.

Semalam, SPRM mengumumkan pihaknya akan merujuk keputusan Peguam Negara kepada PPO untuk penilaian dan pertimbangan.
PPO merupakan satu daripada badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009 dan antara terma rujukan PPO adalah memberi pendapat berhubung tindakan kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh oleh Pendakwa Raya.

Bernama






Satu Komen to Dua panel penasihat SPRM tidak ragu keputusan Peguam Negara

  1. irkiz says:

    Panel Penilaian Operasi (PPO) dan panel khas SPRM mahu Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi penjelasan kepada orang ramai mengapa beliau tidak memberi tekanan untuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang juga jurucakap bagi panel khas itu berkata, ia membantu orang ramai untuk memahami sebab di sebalik keputusan Apandi.

    “Kami rasa terdapat perkara tertentu mereka (orang awam) mahu tahu mengapa kes itu ditutup,” kata Musa dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

    Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, yang juga penasihat SPRM menambah, perkara itu dapat membantu menghilangkan salah faham di kalangan orang ramai.

    “Beliau (Apandi) berhutang penjelasan dengan orang ramai untuk menunjukkan bahawa keputusannya tidak arbitarary atau (dibuat) dengan niat jahat,” kata Noor.

    Sebelum itu, Musa berkata, panel terbabit menasihatkan badan anti rasuah itu supaya melibatkan diri dengan Apandi.

    “Panel mengambil perhatian terhadap keputusan baru-baru ini oleh peguam negara berkaitan dengan RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd (kes RM42 juta) yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Kedua-dua panel menasihatkan SPRM untuk melibatkan diri dengan peguam negara mengenai keputusan itu,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan selepas pertemuan selama hampir lima jam.

    Menurut kenyataan yang disertakan, PPO terdiri daripada mereka yang dilantik perdana menteri untuk meneliti laporan daripada SPRM berhubung keputusan mengenai kertas siasatan yang dibuat AG dan mengemukakan pandangan mengenai tindakan ke atas kes-kes di mana tiada pendakwaan dilakukan.

    Manakala panel bebas khas ini terdiri daripada lima ahli, yang merupakan anggota tiga daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

    Panel ini ditubuhkan atas syor jawatankuasa khas mengenai rasuah dipengerusikan oleh presiden Senat Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang.

    Selasa lalu, Apandi membersihkan nama perdana menteri berhubung derma RM2.6 bilion yang diterimanya dan kes berkaitan RM42 juta SRC International Sdn Bhd serta mengarahkan SPRM menutup kes tersebut

Leave a Reply