Menu Utama

Dakwaan terhadap Tabung Haji fitnah.

Kewujudan spekulasi dan dakwaan negatif terhadap pengurusan Tabung Haji dilihat sebagai fitnah yang mempunyai agenda tertentu bagi menjatuhkan kredibiliti institusi agama oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendeposit perlu memahami serta memahami Akta Tabung Haji yang memberi jaminan daripada kerajaan dalam setiap simpanan dan caruman yang dibuat oleh mereka.

Katanya, rekod Tabung Haji juga turut membuktikan syarikat tersebut tidak pernah gagal dalam membayar dividen dan bonus kepada pendepo­sit walaupun ketika negara mengalami krisis ekonomi pada tahun 1997.

“Pendeposit tidak seharusnya mengeluarkan wang hanya bersandarkan cerita di media sosial. Kebimba­ngan Bank Negara Malaysia (BNM) lebih menjurus kepada aspek pengurusan risiko kecairan Tabung Haji jika berlakunya pengeluaran deposit secara mendadak dan berskala besar.

“Walau bagaimanapun mereka hari ini telah mengeluarkan ke­nyataan perakuan bahawa pengurusan Tabung Haji diiktiraf proaktif dalam menguruskan risiko ke­cairan sebagaimana yang disarankan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, masyarakat per­lu memahami isi kan­dungan surat BNM yang merupakan pandangan sebuah agensi kawal selia institusi kewangan di negara ini.

Menurutnya, walaupun tiada kuasa mengawal selia Tabung Haji, tetapi mereka membuat beberapa syor bagi memastikan operasinya berjalan lancar dan tidak mengalami masalah kecairan jika berlakunya krisis kewangan.

“Harus difahami bahawa struktur kewangan dan model perniagaan Tabung Haji amat berbeza dengan institusi bank terutamanya dalam konteks pengurusan risiko kecairan yang amat bergantung kepada rizab yang tinggi.

“Tabung Haji mempunyai pelbagai kategori aset pelaburan seperti saham, simpanan tetap dan hartanah yang tidak sukar untuk dicairkan berbanding operasi bank yang bergantung kepada aset bersifat hutang yang tidak mudah dicairkan,” katanya.

 

Utusan






Leave a Reply