Menu Utama

Berita baik untuk golongan pendidik

Kementerian Pendidikan mengumumkan beberapa be­rita baik kepada golong­an pendidik di negara ini sebagai inisatif untuk mengekalkan ‘keharmonian’ dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antaranya adalah menambah pembukaan permohonan pertukaran bagi guru ‘duka lara’ kepada tiga kali tahun ini berbanding dua kali sebelum ini dengan dimulakan untuk guru di Sabah dan Sarawak pada 15 hingga 25 Januari ini.

Selain itu, beliau berkata, kementerian juga akan mengkaji se­mula kewajaran sekolah menghantar data termasuk melibatkan kehadiran pelajar ke peringkat kementerian secara harian.

Beliau berkata, untuk kebaikan setempat pula, kementerian akan turut melihat semula syarat pelantikan guru besar dan pengetua di sekolah yang sebelum ini perlu memiliki sijil Program Kelayakan Profesional Pe­mimpin Kebangsaan (NPQEL).

“Kalau tahun-tahun sebelum ini kita buat dua kali pertukaran guru, tahun ini kita cadang tiga kali pertukaran dengan syarat, guru yang mengajar di kelas peperiksaan ti­dak termasuk dalam kategori ini.

“Sebagai contoh, kalau guru itu mengajar kelas peperiksaan tahun enam, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan tingkatan lima, dia tidak bolehlah minta. Elok dia minta hujung tahun sebab kelas sedang berjalan,” katanya kepada pembe­rita selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, keja-kerja menghantar pangkalan data secara online ke kementerian oleh pihak sekolah juga perlu dilihat semula memandangkan wujud pelbagai kekangan terutama dari segi capaian liputan Internet di sekolah-sekolah tertentu.

Kata beliau, sekiranya terdapat data-data yang dilihat tidak diperlukan dengan kadar segera, data tersebut boleh disimpan di peringkat sekolah dan pejabat pendidikan daerah (PPD) terlebih dahulu.

“Biar data itu ada di sekolah dan di peringkat PPD kerana sebelum ini penghantaran data tersebut menjadi antara keresahan. Jadi, kita rasakan adalah tidak perlu semua data dipusatkan. Kita akan agih-agihkannya,” katanya.

Berhubung pelantikan guru be­sar dan pengetua yang mensya­ratkan sijil NPQEL, beliau berkata, sebelum ini seseorang itu per­lu memiliki sijil NPQEL di Institut Aminuddin Baki untuk mela­yakkannya menjadi guru besar dan pengetua.

“Jadi, ini juga boleh dikaji semula untuk tujuan kebaikan setempat atas nasihat atau sokongan Pengarah Pendidikan negeri,” katanya.

Utusan






Satu Komen to Berita baik untuk golongan pendidik

  1. DZUL says:

    Menteri Pendidikan yg baharu ini begitu prihatin kpd guru2 berbanding sblmnya…treimakasih YB..

Leave a Reply