Menu Utama

2u2i diperkenal di universiti

Kementerian Pendidikan Tinggi akan memperkenalkan Program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i) di beberapa universiti awam pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, 2u2i merupakan program belajar sambil bekerja yang memperuntukkan penuntut untuk belajar selama dua tahun dan menimba pengalaman dalam industri selama dua tahun lagi.

Katanya, tahun ini Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menawarkan program tersebut.

“Program ini merupakan usaha meningkatkan kebolehpasaran, persediaan dan kemahiran pelajar universiti untuk alam pekerjaan. Pengalaman industri amat penting,
“UMK menyasarkan penuntut menimba pengalaman keusahawanan bersama industri kecil dan sederhana (IKS) pada tahun ketiga dan pada tahun keempat pula, penuntut akan fokus kepada menjalankan perniagaan sendiri. UPM pula akan menempatkan penuntut dalam ekosistem perladangan pada dua tahun terakhir pengajian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat tahun baharunya di sini hari ini.

Sementara itu, Idris memberitahu, bermula tahun ini, penuntut dari negara ASEAN berpeluang mengikuti program pengajian sepenuh masa di tiga buah politeknik premier iaitu di Ipoh, Shah Alam dan Johor Bahru.

Katanya, politeknik menyasarkan pengambilan penuntut luar negara sehingga dua peratus kemasukan menjelang 2020.

“Jabatan Pendidikan Politeknik akan mempertingkatkan pengambilan pelajar dengan penubuhan politeknik baharu di Bagan Datoh, Perak yang memfokuskan bidang industri perkapalan; Seri Menanti, Negeri Sembilan (pengurusan resort) dan Metro Tawau, Sabah (industri perkhidmatan).

“Politeknik secara keseluruhannya menyasarkan kemasukan penuntut melebihi 100,000 menjelang 2020 agar lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Kolej Komuniti akan menerajui projek pembinaan rumah kos rendah menggunakan teknologi komposit dengan kos seunit rumah kurang daripada RM20,000.

Katanya, langkah tersebut merupakan usaha mengupayakan rakyat melalui pendidikan tinggi dan mengubah nasib golongan miskin di negara ini.

“Sebanyak 50 rumah telah mula dibina di Parlimen Besut yang mana pembinaan bahagian asas akan siap selewat-lewatnya minggu ini. Saya jangka rumah ini akan siap pada hujung bulan ini. Projek ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Utusan



« (Previous News)



Leave a Reply

Threesome