Menu Utama

Zulkifli Lalui Prosedur Biasa Perundangan Bila Libatkan Kehilangan Nyawa – Peguam

Kisah seorang lelaki dengan nama Mohammad Zulkifli Ismail yang dilaporkan ditahan dan akan dituduh kerana didakwa membunuh perompak yang menceroboh rumahnya, mendapat perhatian warga media sosial.

Namun dari sudut perundangan, apa yang sedang dihadapi Zulkifli adalah satu prosedur biasa perundangan terutamanya apabila terdapat kes yang membabitkan pembunuhan dan kematian.

Itu yang dijelaskan oleh peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

“Apa yang berlaku sekarang adalah prosedur biasa apabila adanya kes membabitkan kehilangan nyawa. Alasan Zulkifli tentang dia membela diri dan keluarga, hal itu perlu diperjelaskan sewaktu pembelaan nanti,” kata Khairul ketika dihubungi Astro AWANI.

Jika benar ia adalah kes mempertahankan diri, ia pasti akan diambil kira semasa proses perbicaraan di mahkamah, kata Khairul.

Beberapa portal media sebelum ini melaporkan Zulkifli ditahan selepas menikam mati seorang perompak yang juga penagih dadah, yang dikatakan memasuki kediamannya di Kerteh, Terengganu, awal Disember lalu.

Zulkifli pada mulanya dilaporkan ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, namun ditukar kepada Seksyen 304 kanun yang sama kerana membunuh tanpa niat, dan dibenarkan diikat jamin RM15,000.

Bagaimanapun, kejutan diterima Zulkifli dan keluarganya apabila dia dimaklumkan kesnya akan disebut di bawah seksyen 302 dan seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan.

Sebutan kes di bawah seksyen 302 bermakna pesalah boleh ditahan semula tanpa ikat jamin. Dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Perubahan seksyen, kata Khairul, adalah perkara biasa apabila terdapatnya keperluan dan penentuan seksyen kesalahan jenayah adalah tertakluk kepada Peguam Negara.

Peguam yang mewakili Zulkifli boleh membuat representasi kepada Peguam Negara untuk mengkaji semula kes atas alasan-alasan yang munasabah, seperti mempertahankan diri.

Khairul bagaimanapun enggan mengulas tentang faktor yang membuatkan penukaran seksyen berkenaan kerana tidak mengetahui kes itu secara mendalam, namun berpendapat mereka yang terbabit tentunya punya sebab untuk berbuat demikian.

Di  media sosial pula, sebuah akaun Facebook dengan nama Selamatkan Zulkifli diwujudkan 29 Disember lalu sebagai tanda sokongan terhadap Zulkifli, dan ia telah mengumpul lebih 50 ribu likes setakat ini.

Beberapa hastag juga diwujudkan, antaranya #selamatkanzulkifli dan #zulkifliherorakyat.

Netizen rata-ratanya memahami prosedur undang-undang yang perlu dihadapi Zulkifli, namun marah dan kesal kerana dia didakwa ditahan dan akan dibicarakan seperti seorang penjenayah, sedangkan pada hakikatnya, Zulkifli dianggap hanya mempertahankan keluarganya.

Khairul menasihatkan agar keluarga Zulkifli melantik peguam kerana membela diri adalah haknya, apatah lagi jika benar insiden yang berlaku adalah kerana mempertahankan diri dan keluarga.

Dalam masa yang sama beliau meminta agar keluarga Zulkifli bersabar dan tidak bimbang kerana ia hanya prosedur perundangan.

Zulkifli, yang mengusahakan sebuah warung makanan bersama isterinya, juga merupakan bapa kepada tiga orang anak, di mana salah seorangnya dilaporkan menghidap autisme.

Zulkifli kini dtempatkan di Penjara Marang dan kesnya bakal disebut di mahkamah pada 24 Januari depan

– Awani –






Leave a Reply