Menu Utama

TPPA : Hak bumiputera dipelihara

Laporan Analisis Kepentingan Nasional Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mendapati tiada gangguan terhadap hak-hak bumiputera termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) dan perolehan kerajaan sekiranya perjanjian dagangan itu dimuktamadkan.

Kajian itu yang dijalankan firma antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan sekurang-kurangnya 42 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam sektor pembuatan, perkhidmatan makanan dan perkhidmatan persendirian menerima impak positif kepada akses pasaran dan perdagangan merentasi sempadan.

Menurut firma berkenaan, penyertaan sebahagian besar lagi PKS yang berada dalam sektor liberalisasi dengan pemilikan ekuiti asing terhad sehingga 30 peratus, tidak akan membawa perubahan ketara dari segi tahap liberalisasi dan implikasi buruk.

Bagaimanapun jelas PwC, perniagaan bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpotensi untuk menerima kesan negatif tetapi sebahagian besar impaknya diimbangi dengan jaminan konsesi di Malaysia.

“Kesan negatif yang berpotensi itu disebabkan kebanyakan bumiputera menjalankan perniagaan secara domestik dan bergantung kepada kontrak kerajaan dan program vendor.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk perniagaan bumiputera dan PKS berubah supaya mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya perjanjian tersebut yang melibatkan 12 buah negara setakat ini,” katanya dalam laporan berkenaan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menerusi laman web fta.miti.gov.my hari ini.

Rundingan TPPA yang berjalan sejak lima tahun lalu membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.

Analisis berkenaan dijangka dibahaskan di Parlimen pada Januari atau Februari depan sebelum perjanjian dagangan itu dimuktamadkan.

Sementara itu, Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS) dalam kajian Kesan Terhadap Kepentingan Negara mendapati pembekal bumiputera perlu lebih berorientasikan merit, efisien, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dalam aktiviti tambah nilai bagi menghadapi persaingan yang sengit.

“Mereka yang mempunyai keupayaan untuk bersaing dalam situasi ini kebanyakannya adalah pengeluar bumiputera,” katanya.

Menurut kajian itu juga, nilai tanda aras yang tinggi bagi Hak Pengeluaran Khas (SDR) 63 juta untuk perolehan projek pembinaan tidak boleh melindungi kontraktor bumiputera daripada persaingan syarikat luar.

Jelas ISIS, berdasarkan statistik rasmi daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), hanya syarikat G7 (syarikat pembinaan yang besar dengan had kewangan melebihi RM10 juta) akan menerima kesan selepas perjanjian itu berkuat kuasa.

“Ini bermakna syarikat G7 akan terdedah kepada persaingan hebat dalam industri yang selama ini dipenuhi dengan kontraktor tempatan dengan projek perolehan kerajaan bernilai tinggi.

“Bagaimanapun, syarikat pembinaan bagi saiz G1 hingga G6, yang mewakili jumlah terbesar dalam kontraktor kerajaan, kekal tidak menerima kesan apabila ia dikuatkuasakan,” kata laporan itu.

Di bawah bab perolehan kerajaan itu juga menyatakan tiada had bagi bumiputera terlibat dalam kontrak perkhidmatan pembinaan di atas nilai tanda aras.

“Memandangkan syarikat G7 sudah bersaing dalam pasaran terbuka, jadi penyertaan berterusan kontraktor bumiputera bagi projek-projek pembinaan di atas nilai tanda aras boleh mengakibatkan penyertaan mereka melebihi 30 peratus daripada yang diperuntukkan,” katanya.

Sementara itu, laporan tersebut mendapati penyertaan Malaysia dalam TPPA tidak menghalang SOE daripada menjalankan tanggungjawab sosial kepada pembekal bumiputera.

Bagaimanapun, katanya, dengan mengambil kira pembekal bumiputera yang menyediakan perkhidmatan dan bekalan kepada SOE dalam skala yang besar, sebarang sekatan terhadap amalan semasa akan dipertandingkan.

“Sekatan terhadap pembelian ini hanya termaktub kepada SOE dengan perolehan tahunan SDR 500 juta untuk lima tahun pertama (dan selepas, SDR 200 juta) dan mereka termaktub kepada maksimum 40 peratus daripada peruntukan tahunan SOE. Pengecualian itu perlu dikongsi dalam kalangan syarikat bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak serta PKS,” katanya.

Menurut kajian itu lagi, di bawah TPPA, kerajaan dibenarkan untuk memberi layanan istimewa terhadap sektor pembinaan dalam tempoh 25 tahun apabila perjanjian itu berkuat kuasa sekali gus memberi lebih banyak faedah kepada syarikat pembinaan bumiputera dan SOE.

“Ini kerana industri pembinaan memainkan peranan penting dalam memacu negara keluar daripada krisis ekonomi dan layanan istimewa akan digunakan bagi mencapai impak yang lebih besar,” jelasnya.

Utusan






3 Komen to TPPA : Hak bumiputera dipelihara

  1. semangat dato' haron says:

    Kes Tan Sri Rebecca mengutuk Najib dh siasat. Jgn bg pengkhianat berada dlm MITI. Pecat beliau

  2. rockers says:

    gadai la h ape yg ade…x cukup gst blh naik lg thn dpn.

  3. Hantu Gigi Jarang says:

    Tang mana yang hak bumiputera dilindungi tu? Ini baru soalan melindungi…bukan lagi soalan meningkatkan hak peniaga bumiputera…

Leave a Reply