Menu Utama

Kerajaan DAP Pulau Pinang 
atau rakyat 
yang bankrap?

KETIKA banyak persoalan mengenai projek kontroversi terowong dasar laut masih belum terjawab, rakyat Pulau Pinang dihadapkan pula dengan projek tambak laut yang dirancang di selatan negeri ini.

Secara mudahnya kawasan laut itu ditambak bertujuan mencari modal untuk Kerajaan DAP Pulau Pinang melaksana Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang dianggarkan menelan kos mencecah RM27 bilion.

Pelan itu bertujuan mengurangkan masalah trafik di bahagian pulau dengan pembinaan pelbagai infrastruktur pengangkutan yang menggabungkan air, udara, kereta api dan jalan raya.

Agak menghairankan apabila kerajaan negeri menjadikan sebahagian kawasan laut di Permatang Damar Laut sebagai korban bagi memberi laluan kepada usaha menguraikan masalah trafik di negeri ini.

Keadaan itu memperlihatkan seolah-olah kerajaan negeri tidak mempunyai pelan yang lebih baik untuk mengurus sistem pengangkutan. Malah, jika difikir-fikirkan, apa kaitannya projek tambak laut dengan usaha meningkatkan kecekapan trafik di negeri ini?

Penduduk boleh memahami kerajaan negeri memerlukan sumber dan dana yang besar untuk melaksana pelan pengangkutan dirancang. Tetapi apakah berbaloi untuk mengorbankan kawasan laut bagi memenuhi hasrat tersebut?

Bukankah lebih baik untuk kerajaan negeri melaksana projek itu berdasarkan kemampuan kewangan sedia ada?

Sementelah, projek bertaraf mega itu bukanlah keperluan mendesak kepada rakyat ketika ini. Masalah trafik sekiranya berlaku sekali pun masih boleh diselesaikan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti menaik taraf lampu isyarat dan membesarkan beberapa jalan sedia ada.

Sistem laluan sehala yang banyak dilaksana kerajaan negeri dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga wajar dikaji semula. Ini kerana daripada rungutan orang ramai, sistem laluan sehala itu adalah antara punca keadaan trafik semakin sesak.

Lebih daripada itu, kawasan laut yang mahu ditambak kerajaan negeri tersebut bukannya kawasan ‘mati’. Banyak kehidupan sedang berlangsung terutama golongan nelayan pesisir pantai yang mencari rezeki.

Apakah kerajaan negeri mempunyai perancangan dalam membela nasib golongan nelayan ini yang bakal kehilangan sumber pendapatan? Jika ada, kenapa tidak pernah didedahkan kepada umum malah golongan nelayan di kawasan itu juga tidak pernah dimaklumkan mengenai rancangan tambak laut berkenaan.

Bagaimana pula dengan kajian impak kesan sosial dan kesan alam sekitar (EIA) daripada rancangan tambak laut berkenaan? Adakah kedua-dua kajian itu secara positif membenarkan tambak laut dibuat di kawasan itu meskipun pada asasnya projek itu bakal mengganggu ekosistem dan kehidupan marinnya?

Persoalan lebih penting, pihak mana yang menjalankan kedua-dua kajian itu? Adakah pihak pemaju atau konsortium sama yang mendapat projek seperti dalam kes pembinaan terowong dasar laut? Jika begitulah keadaannya, maka penduduk sekali lagi boleh mempersoalkan mengenai kredibiliti dan kejujuran kajian tersebut.

Ini adalah antara persoalan yang masih misteri dan dibangkitkan banyak pihak khususnya penduduk Pulau Pinang berhubung projek itu. Namun, seperti biasa Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak berminat untuk menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat, sebaliknya mengambil jalan mudah menyalahkan pihak lain.

Kononnya kerajaan negeri terdahulu juga banyak meluluskan projek tambak laut dan mereka tidak boleh melakukan apa-apa berhubung perkara itu atau berdepan kemungkinan bankrap. Dakwaan sebegini yang sering diulang-ulang tidak ubah seperti ugutan kepada rakyat. Ia ibarat paksaan untuk rakyat berserah dan menerima projek tambak laut itu tanpa sebarang syarat.

Tetapi bagaimana pula dengan projek tambak laut terbaharu yang dirancang di Permatang Damar Laut itu? Bukankah projek itu diputuskan ketika pembangkang menjadi pemerintah? Jika sebelum ini mereka lantang mengkritik projek tambak laut yang dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN), mengapa hari ini, dalam keadaan mempunyai kuasa, mereka merancang projek sama yang saiznya lebih besar?

Dalam isu tambak laut ini hanya ada dua kemungkinan untuk dipertimbangkan. Sama ada kerajaan negeri yang akan bankrap sekiranya projek itu tidak diteruskan, atau penduduk yang akan bankrap jika projek tersebut dilaksanakan. Terpulanglah kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dipilih oleh rakyat untuk membuat keputusan.

Utusan






2 Komen to Kerajaan DAP Pulau Pinang 
atau rakyat 
yang bankrap?

  1. Anak Sngor says:

    Itulah jasanya ‘khalifah umar’ ala lge, Pakatan Haprak senyap jer bila tanah rakyat marhaen dirampas lebih 26 kg tergadai, kemana mereka nak pergi selepas ini? itulah yg perjuangan keluarga KETUM rakan pengganas sulu

  2. James Wong says:

    Sebab itulah saya tidak sokong sangat dengan DAP ni. DAP sengaja mempergunakan parti Melayu untuk meraih sokongan daripada kaum Melayu. Hal ini sendiri yang dikatakan oleh Tony Pua, sebab sokongan kaum Cina telah mencapai tahap yang tepu… Apapun, DAP mengamalkan autokratiknya dengan hanya memberi LGE menjadi ketua menteri, talaupun si Chow yang mendapat undian tertinggi di Pulau Pinang sendiri. Kaum komunis hanya mementingkan diri sendiri, itulah ketua dalam DAP sekarang.

Leave a Reply