Menu Utama

Jiwa besar Najib dan masa untuk bertawakal

BEBERAPA jam sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung parti itu semalam, tersebar posting terbaharu Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Ya­ssin dalam Facebook mengulas ucapan dasar Presiden UMNO itu.

Antara lain, Muhyiddin mencatatkan, “Dalam Islam kita dituntut supaya patuh dan taat kepada pemimpin. Hal ini disebut oleh Presiden dalam ucapan dasarnya. Pemimpin yang wajib ditaati ialah pemimpin yang taat kepada titah perintah Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih serta menjauhi perkara-perkara mungkar.”

Dikhabarkan catatan Muhyiddin itu telah menyinggung pera­saan Perdana Menteri. Maka ter­sebarlah khabar bahawa Najib akan menjadikan ucapan penggulungannya sebagai ‘pentas’ untuk membalas kembali serangan terbaharu Muhyiddin itu.

Ramai yang resah gelisah. Mereka tidak mahu pertelingkahan antara kedua-dua pemimpin itu berlanjutan. Terdapat riak-riak kecewa dan sedih di wajah masing-masing ketika penulis berbual-bual dengan beberapa ahli MT, pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri.

Tepat pukul 5 petang, Najib muncul di pentas perhimpunan. Wajah beliau kelihatan cukup tenang. Beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO mengenai firman Allah dalam surah Al-Asr yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Debaran semakin kencang apabila Najib berkata, selepas merujuk kepada alim ulama, maksud ‘kerugian’ itu ditujukan kepada kelompok manusia yang menghabiskan masa mereka untuk melakukan fitnah, berbohong dan mengadu domba. Najib melanjutkan dengan memetik dua lagi ayat al-Quran iaitu surah Al-Imran ayat 54 yang bermaksud: “Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik Perancang (membalas tipu daya).” dan surah Al Hujurat ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – de­ngan sebab kejahilan kamu (me­ngenainya) – sehingga menja­dikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Semua orang memahami, ayat-ayat itu ditujukan kepada Muh­yiddin dan sudah tentulah Najib akan meneruskan serangannya. Tetapi ternyata seperti mana janjinya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Khamis lalu bahawa beliau berjiwa besar, maka Najib ‘mengejutkan’ perwakilan, pemerhati dan orang ramai apabila menghulurkan silaturahim kepada semua pemimpin terma­suk Muhyiddin demi kepentingan perjuangan UMNO.

Ternyata Najib memenuhi hasrat, impian dan kehendak perwakilan yang mahukan ‘perdamaian’ antara pemimpin-pemimpin mereka. Lalu bergemalah Dewan Merdeka de­ngan tepukan gemuruh dan ada yang menitiskan air mata.

Walaupun reaksi Muhyiddin ketika bersalaman dengan Najib selepas ucapan penggulungan Pre­siden UMNO itu, amat-amat tidak memberangsangkan, namun sekurang-kurangnya Najib telah me­laksanakan apa yang diperintah oleh Allah dalam surah Al-Imran ayat 159 yang bermaksud”

“Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

Ayat inilah juga yang disebut oleh Muhyiddin ketika mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang memutuskan hanya Presiden sahaja akan berucap pada perhimpunan berkenaan. Kini ‘bola’ di tangan Muhyiddin. Beliau dijangka mengadakan sidang akhbar hari ini bagi mengulas salam silaturahim yang dihulurkan oleh Najib.

Apapun harapan ahli-ahli UMNO di seluruh peringkat terhadap beliau amat tinggi. Mereka masih sayangkan Muhyiddin, mereka mahu Timbalan Presiden UMNO itu terus dalam bahtera parti keramat orang Melayu itu. Tetapi buat masa ini mereka sudah berusaha mendamaikan keadaan dan ia sudah hampir tercapai me­lalui jiwa besar yang ditunjukkan oleh Najib, kini seperti mana kata Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, “masa untuk bertawakal kepada Allah.”

Semoga Muhyiddin yang pernah menyatakan biarpun dicincang beliau tetap bersama UMNO dan melakukan segala tindakan selama ini demi kepentingan parti keramat orang Melayu itu akan membuat satu pendirian yang benar-benar mencerminkan kata-kata tersebut kerana itulah harapan ahli-ahli UMNO.

Zulkiflee Bakar
Utusan






3 Komen to Jiwa besar Najib dan masa untuk bertawakal

  1. daud says:

    Sendiri declare `berjiwa besar’ …
    Sendiri offer sanggup `memaafkan’…
    Sendiri buat buat lari tajuk…
    Tanah Tabung Haji di TRX dah berjaya jual ke belum?
    Banyak lagi kita nk tanya ni…
    Takpa, kita tanya slow slow lah…sebab nk jawab satu bab pun berbulan bulan `mengadjust skript’…
    Mengalahkan Anwar Ibrahim dah jadinya… 🙂

  2. sireh ke gagang says:

    yang kau sakit hati kenapa daud ? tipu daya kau gagal ke ?

  3. tony fernandes merapu says:

    nasib baik najib razak mengaku dia berjiwa besar.. bayangkan bila najib razak mengaku dia berjiwa kecil..

    berjiwa besar, berjiwa kecil.. entahlah muhyiddin nak jadi perdana menteri malaysia.. jaga-jaga.. ramai lagi yang bersedia untuk jatuhkan muhyiddin pulak nanti. ingat muhyiddin sorang nak jadi perdana menteri ke?? hey, orang lain pun nak jugak jawatan perdana menteri tu.. mulut memang kata support muhyiddin, dalam hati memang tau muhyiddin ni tak boleh diharap, tak boleh pakai punya orang.. senang sikit nak jatuhkan muhyiddin jika muhyiddin tak ikut cakap.

Leave a Reply

Threesome