Menu Utama

Empat IPTS digantung 
ambil pelajar asing baharu

Sebanyak empat buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) telah digantung daripada mengambil pelajar asing yang baharu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tindakan penggantungan itu dibuat selepas mendapati IPTS berkenaan melanggar peraturan ditetapkan oleh pihaknya.

“Kementerian telah mengambil tindakan kepada empat buah IPTS yang tidak mengikut peraturan yang mana mereka telah digantung daripada mengambil pelajar antarabangsa.

“Oleh itu, kita akan terus turun padang untuk memastikan setiap institusi pengajian tinggi mengikut peraturan-peraturan Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS) dan tindakan tegas akan diambil terhadap IPTS mahupun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tidak mengikut setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh kementerian,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya isu perbuatan jenayah yang sering dikaitkan dengan pelajar-pelajar asing khususnya dari Afrika.

Laporan khas Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan mengenai sindiket jenayah penipuan oleh warga Afrika yang semakin parah apabila ribuan rakyat Malaysia dijangka menjadi mangsa dengan angka kerugian melebihi RM100 juta tahun hadapan jika tiada sebarang tindakan lebih agresif dilaksanakan.

Menjawab satu soalan, Idris berkata, tindakan menggantung empat IPTS berkenaan juga adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan kementerian.

“Apabila kita turun ke padang, mereka (pelajar asing) didapati tiada dalam kelas.

“Selain IPTS tidak terkecuali pusat-pusat bahasa. Jika pelajar datang ke Malaysia untuk kursus tiga bulan kita akan pastikan mereka berada di sini dalam tempoh itu di bawah sistem EMGS,” ujarnya.

Beliau berkata, menerusi EMGS, setiap pelajar asing sama ada di IPTA, IPTS mahu pun pusat bahasa akan diberikan kad pelajar antarabangsa.

“Melalui kad pelajar ini kita boleh mengesan sama ada pelajar berkenaan telah tinggal lebih masa atau sebaliknya. Jika mereka tinggal di negara ini lebih dari tempoh yang ditetapkan tindakan penguatkuasaan boleh diambil,” ujarnya.

Dalam pada itu, Idris sekali lagi menekankan bahawa setiap pelajar asing yang mahu melanjutkan pelajaran di Malaysia perlu menjalani saringan pihak polis dan imigresen melalui sistem EMGS.

Mengenai satu soalan lain Idris memberitahu, ada dalam kalangan pelajar asing dibenarkan bekerja separuh masa di negara ini terutama yang berkaitan dengan pengajian mereka.

Utusan






Satu Komen to Empat IPTS digantung 
ambil pelajar asing baharu

  1. kakak says:

    Memang benar, setakat belajar Bahasa Inggeris, di pusat tuisyen pun boleh belajar. Jadi memang benar, kursus yg ditawarkan seperti kursus asas Bahasa Inggeris bukan tulen tetapi strategi untuk memanipulasi sistem dan keharmonian masyarakat negara ini.

    Sama juga di kota raya seperti London, iklan kursus Bahasa Inggeris terpapang di banyak tempat. Saya bukan menuduh, tetapi diandaikan banyak kes penipuan terbit dari kaedah sebegini.

    Harap kementerian dan pihak berwajib di Malaysia lebih peka dan siasat dengan terperinci yang boleh supaya kita tidak terus dipermain-mainkan dan menjadi sasaran untuk pendatang luar melakukan jenayah.

Leave a Reply

Threesome