Menu Utama

Mesti peka hal keselamatan negara.

Begitu banyak interpretasi yang boleh dibuat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa rakyat perlu sensitif dalam hal keselamatan supaya kerajaan dapat menangani apa jua ancaman dari dalam dan luar negara termasuk pemerdagangan manusia, pelarian dan kumpulan militan dengan lebih berkesan.

“Kita mesti lebih sensitif dalam soal keselamatan dan sekiranya kira-kira 29 juta rakyat Malaysia amat prihatin dalam soal ancaman keselamatan, maka apa yang negara kita hadapi, kita mampu tanganinya bersama,” tegas Najib semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Pakaian Seragam Operasi Digital kepada Rela Daerah Pekan, Pahang beberapa hari lepas.

Timbul kegusaran apabila diandaikan bahawa rakyat Malaysia sememangnya kurang prihatin dan peka terhadap isu keselamatan yang secara langsung akan mencabar kedaulatan negara dan interpretasi sebegini tidak jauh lari dari kebenaran jika diteliti daripada beberapa peristiwa yang melanda negara kebelakangan ini.

Paling ketara adalah peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 2013 yang mempamerkan jati diri rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara. Tetapi paling menyedihkan apabila ada segelintir kumpulan yang memperlekehkan peristiwa tersebut demi kepentingan agenda politik masing-masing. Mungkin pada ketika itu senario sahih mengenai pengganas masih samar yang membuatkan kumpulan ini menggunakan isu ini untuk meraih manfaat politik.

Tetapi setelah dua tahun peristiwa Lahad Datu berlalu di mana pengumpulan bukti dilaksanakan sehingga membenarkan pendakwaan di mahkamah, kumpulan yang sama memperlekehkan isu tersebut sekali lagi menimbulkan kemusykilan dengan mengadakan pertemuan dengan individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan pengganas tersebut.

Kemusykilan paling ketara adalah apakah kumpulan rakyat Malaysia ini tidak sensitif terhadap isu keselamatan kerana begitu tersurat pencerobohan Lahad Datu berkait rapat dengan kedaulatan negara.

Jika hendak diandaikan mereka ini ingin meraih manfaat politik dari pertemuan tersebut, perhitungan tersebut agak tidak logik kerana berurusan dengan individu yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas tidak akan memberi kelebihan politik.

Jika peristiwa seperti pencerobohan Lahad Datu masih tidak mampu dibaca oleh segelintir rakyat Malaysia sebagai mencabar keselamatan negara, bagaimana pula dengan isu yang begitu tersirat tetapi kesannya amat terkesan sekali. Keadaan sebeginilah yang paling dibimbangi oleh Perdana Menteri sehingga memaksa beliau mengeluarkan kenyataan mengenai tahap sensitiviti rakyat terhadap isu keselamatan.

Paling membimbangkan adalah ada pihak luar yang mempergunakan isu demokrasi dan hak asasi manusia sebagai alasan untuk campur tangan politik dalaman Malaysia. Begitu tersirat sekali strategi yang digunakan sehinggakan ada rakyat Malaysia terikut-ikut dengan rentak pihak asing yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi hakikatnya kaedah ini mampu menggugat keselamatan dan kestabilan negara.

Kegusaran mengenai tahap sensitiviti rakyat Malaysia terhadap ancaman tersirat ini juga mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang berkata sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menjadikan media baharu di alam maya sebagai medan untuk memanipulasi maklumat.

“Persepsi yang dimanipulasi ini boleh mencetuskan kekeliruan dan kekacauan. Lantas, ia akan mengakibatkan pembentukan keganasan persepsi melalui corak pemikiran yang negatif dan budaya ekstremisme sekiranya isu ini tidak ditangani secara strategik”, tegas beliau ketika berucap menutup Forum Keganasan Persepsi: Komunikasi Digital dan Keselamatan Negara dua hari lepas.

Timbul pertanyaan di mana silapnya sehinggakan wujud keadaan di mana rakyat bukan sahaja tidak sensitif terhadap isu keselamatan yang tersurat tetapi juga gagal menghayati strategi tersirat pihak luar yang mampu gugat kestabilan negara.
Berbeza pula dengan rakyat Singapura di mana senario kehidupan mereka tidak kira jika membabitkan isu ekonomi, politik, budaya, sosial dan pendidikan kesemuanya itu dibaca dari sudut cabaran terhadap kedaulatan negara mereka.

Umpamanya dalam kemelut kadar harga bekalan air mentah di antara Malaysia dan Singapura yang pada satu ketika menjadi isu panas. Rakyat Malaysia menilai isu ini dari sudut ekonomi kerana kadar yang ditentukan beberapa dekad lepas tidak menggambarkan senario taraf kehidupan masa kini. Tetapi bagi rakyat Singapura pula mereka telah diasuh bahawa permintaan Malaysia supaya kadar tersebut dirunding semula seolah-olah mencabar kedaulatan negara mereka dan strategi ini berjaya kerana rakyat Singapura berdiri teguh dengan kerajaan mereka dalam hal ini.

Mungkin juga berjayanya kerajaan Singapura mewarnai persepsi rakyat mereka mengenai hal keselamatan adalah kerana konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang diamalkan mereka sejak 1984 lagi. Malah pada 15 Februari setiap tahun hari HANRUH Singapura diraikan untuk memberi peringatan kepada rakyat supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran dalam bentuk kedaulatan dan kemerdekaan negara mereka.

Sudah tiba masanya Malaysia juga mempunyai konsep HANRUHnya yang tersendiri kerana ancaman keselamatan bentuk baharu seperti yang berleluasa di alam maya tidak boleh ditangani dalam struktur formal sahaja. Ini adalah kerana agensi berkaitan akan berhadapan dengan kekangan dan rintangan jika rakyat Malaysia masih tidak sensitif dengan isu yang dihadapi.

Jika Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dinaik taraf menjadi Agensi Keselamatan Sempadan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pula menjadi Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) dan besar kemungkinan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan di struktur semula sepadan dengan tanggung jawab hakiki, maka inilah masa paling sesuai untuk memperkenalkan konsep HANRUH kepada rakyat Malaysia.

Azmi Hassan
Penulis ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.
Utusan.






Satu Komen to Mesti peka hal keselamatan negara.

  1. Memang Terok says:

    SiNurul pergi keManila untuk berkempen pembebasan ayahnya. Dia mengaku. Tapi dia jugak kata bertemu dengan keluarga pengganas itu cuma secara kebetulan. Duduk makan semeja, kebetulan. Ambil gambar pegang banner jugak kebetulan.

    Kerana semua kebetulan, tentunya Nurul pergi situ jumpa president Filipina untuk berkempen. Lepas jumpa president Aquino dan orang2nya dia pun pergi berjalan sekitar bandaraya metropolitan Manila lalu terjumpa keluarga Jacey. Masa itu banner masih ada pada dia. Begitulah agaknya.

    Wow… puak ini hidup mereka tak habis2 bercerita ala ‘peanut’ / kartoon. Sekurang2nya pelukis kartoon peanut yang sudah bersara tahu dia pelukis kartoon dan apa yang dilukisnya semua fantasi, tidak betul, tidak menasabah kerana itu memang cerita kartoon. Dan dengan cerita kartoon itu lah pelukis itu menyara hidup dari muda hingga keakhir hayatnya.

    Malang sekali NuarBerahim anak beranak bukan pelukis saperti peanut. Tapi cerita kelakar mereka lebih dari peanut. Jam omega mereka, perut buncit dalam video mereka dan bermacam2 lagi. Sekarang isu pengganas pulak.

    Inilah dia ahli parlimen Malaysia keluaran terKini.

Leave a Reply

Threesome