Menu Utama

Polis Tahan Jamal Md Yunos Mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia Datuk Jamal Md Yunos ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya malam ini.

Beliau ditahan pada 8.50 malam mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah berhubung kenyataannya tentang rusuhan akan berlaku pada perhimpunan di Jalan Petaling esok.

Penahanan Jamal disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Zainuddin berkata Jamal kini berada IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Sebelum itu, Jamal ke IPD Ampang Jaya pada 7.45 malam selepas dipanggil memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya Rabu lepas mengenai beberapa fitnah yang dibuat terhadapnya termasuk mengenai kenyataan memijak gambar dan meludah muka bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dan dakwaan cuba merogol artis.

Beliau diiringi dua peguamnya termasuk Suzana Norlihan dari Suzana Norlihan and Co.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Ampang Jaya, Jamal menafikan beliau terlibat dengan perhimpunan esok.

“Saya akan berada di Sungai Besar, Selangor esok bagi menghadiri satu majlis korban sempena Aidiladha,” katanya.

Perhimpunan di Jalan Petaling diadakan bagi membantah kehadiran warga asing yang menjalankan peniagaan di kawasan itu, termasuk menjual barangan larangan dan tiruan di lokasi berkenaan.

Semalam, polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di Jalan Petaling.

Selasa lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz menegaskan pihaknya tidak membenarkan sebarang perhimpunan di kawasan Jalan Petaling atau di mana-mana kawasan, yang dilihat boleh menganggu-gugat ketenteraman awam.

— BERNAMA






Satu Komen to Polis Tahan Jamal Md Yunos Mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah

  1. kakak says:

    Semua sudah selesai. Tiadapun tergugat apa-apa di Petaling Street. Dato’ Jamal lagi faham akan keadaan itu semua. Kita tidak perlu risau.

Leave a Reply

Threesome