Menu Utama

PLKN berwajah baharu dengan 
enam aspek transformasi

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan kembali beroperasi Januari tahun depan bakal menyaksikan transfor­masi dalam enam aspek merangkumi modul, pelatih, jurulatih, kem, alumni dan pelan komunikasi.

Menteri Pertaha­nan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beberapa pembaharuan itu diputuskan selepas kajian makmal dilakukan terhadap PLKN dari Februari hingga Mac lalu bertujuan memastikan program tersebut kekal relevan.

Menurutnya, dari segi modul, PLKN akan dijalankan menerusi dua fasa iaitu, fasa integrasi pembelajaran (selama lapan minggu) sebelum disusuli fasa latihan kemahiran lasak (minimum tiga bulan dan maksimum sehingga tempoh 24 bulan).

Bagi aspek kemasukan pelatih pula jelas beliau, pengambilan akan dibuat secara sukarela secara berperingkat-peringkat yang pelaksanaan sepenuhnya pada 2019 dengan kekerapan pengambilan pelatih adalah sebanyak empat kali setahun.

“Bagi memastikan kesemua enam aspek ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan melaksanakan projek perintis selama dua bulan bermula 19 Oktober hingga 19 Di­sember ini.

“Projek perintis mem­babitkan penyertaan se­ramai 400 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini akan dilaksanakan di Kem Princess Haliza di Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, tujuan projek perintis itu dilaksanakan adalah untuk menguji keberkesanan modul baharu seperti Fit4Life, Tech & Talk, Malaysiaku, iUpgrade serta pelaksanaan beberapa latihan kemahiran oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pengambilan pelatih PLKN berwajah baharu mempunyai signifikannya kerana Kementerian Pertahanan melalui JLKN menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam mengenal pasti calon pelatih.

“Calon pelatih adalah terdiri daripada mereka yang tidak dapat melanjutkan pengajian ke intitusi pengajian tinggi (IPT) dan PLKN memberikan mereka peluang kedua melanjutkan pengajian ke institusi latihan kemahiran selepas PLKN,” katanya.






Leave a Reply