Menu Utama

Sarawak Report disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan

Polis akan memulakan siasatan ke atas portal berita Sarawak Report kerana menyebarkan laporan palsu kononnya terdapat draf pertuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, portal berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana cuba menimbulkan dan mengganggu gugat demokrasi berparlimen di negara ini.

Menurutnya, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga sudah menafikan dakwaan kewujudan draf pertuduhan tersebut, justeru tiada keperluan sekiranya perkara ini dirujuk semula kepada bekas peguam negara.

“Penafian telah dibuat oleh AG (Peguam Negara) semalam, jadi adakah perlu kita tanya kepada bekas peguam negara? Pada pandangan saya tidak perlu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Khalid memberitahu, tindakan pengarang Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown yang menyebarkan laporan palsu dengan menggunakan sumber dan dokumen yang tidak sahih telah melanggar beberapa undang-undang negara.

Sehubungan itu, katanya, siasatan akan dijalankan terhadap tuduhan tidak berasas yang dilakukan Claire berikutan beberapa laporan polis telah diterima sejak semalam berhubung draf pertuduhan itu.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, tuduhan bahawa bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat berikutan isu tersebut adalah tidak benar.

Beliau juga enggan mengulas lanjut isu berkaitan Abdul Gani kerana bukan bidang kuasa polis.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, tiada keperluan menyiasat Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penyebaran rakaman video perbualan yang menyatakan sejumlah wang disalurkan ke akaun Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan, rakaman video perbualan Muhyiddin mengenai kewujudan sejumlah wang yang disalurkan kepada akaun Najib bukanlah satu kesalahan.

“Rakaman perbualan yang menyatakan berlaku pemindahan sejumlah wang kepada akaun mana-mana individu… saya tidak merasakan ia satu kesalahan,” ujarnya ketika menjawab soalan pemberita mengenai perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, rakaman berdurasi 53 saat itu hanyalah memaparkan bekas Perdana Menteri itu menyebut sejumlah wang dipindahkan dari akaun individu dari Timur Tengah.

Baru-baru ini, pengguna laman sosial aktif berkongsikan video rakaman perbualan Muyiddin yang mengatakan Najib mengakui wang berjumlah RM2.6 bilion disalurkan ke akaun peribadinya.

Utusan






4 Komen to Sarawak Report disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan

  1. rockers says:

    wow.is that mean ape yg tmy ckp tu betul.no wonder.

  2. esamanja says:

    Dah terang2 dalam video china dol pun anwar x mengaku, ini hanyalah kenyataan TSMY yang menyatakan PM mengaku.

  3. rockers says:

    sampai skg najib x nk jwb.kenapa.

Leave a Reply