Menu Utama

SKMM Sekat Portal The Sarawak Report


KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan untuk menyekat laman sesawang The Sarawak Report http://www.sarawakreport.org kerana ia didapati boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

SKMM dalam satu kenyataan di sini berkata tindakan itu dibuat susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai bahawa laman sesawang itu telah memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.

“Sekatan terhadap laman sesawang The Sarawak Report itu juga dibuat mengikut peruntukan sedia ada dalam Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tempoh sekatan terhadap laman sesawang berkenaan berkuatkuasa untuk sementara waktu sehingga tamatnya siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, satu laporan polis dibuat yang mendakwa portal The Sarawak Report telah memalsukan fakta berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan itu, polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat laporan berkenaan.

Pada 22 Jun lepas, polis Thailand dilaporkan menahan bekas pengarah PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo kerana cuba memeras syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi itu, yang menjadi tumpuan dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan penjualan dokumen itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan oleh portal berita Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

Dalam kenyataan yang sama, SKMM turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman sosial, terutama kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Kandungan sedemikian dikhuatiri boleh mewujudkan keadaan tidak tenteram dan seterusnya menganggu-gugat kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi,” katanya.

Orang ramai boleh memajukan sebarang maklumat berhubung mana-mana laman sesawang yang dipercayai menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi kepada aduanskmm@cmc.gov.my.

Sementara itu, Presiden Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee Abdul Aziz berkata tindakan SKMM menyekat portal Sarawak Report itu tepat memandangkan ia telah menjadi punca pelbagai spekulasi oleh pihak lain.

“Portal-portal lain yang mengambil maklumat daripada The Sarawak Report telah menokok tambah fakta yang memburukkan lagi keadaan.

“Banyak pihak yang mengambil kesempatan seperti menangguk di air keruh,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Khaireel Azlee mendakwa maklumat yang dipaparkan The Sarawak Report berhubung 1MDB itu juga ‘bersifat hitam putih (hard copy) yang boleh disunting oleh sesiapa.’

— BERNAMA






Satu Komen to SKMM Sekat Portal The Sarawak Report

Leave a Reply

Threesome